TASEK GELUGOR : Satu mesyuarat khas akan diadakan minggu depan bagi membincangkan secara lebih terperinci mengenai penganjuran Pesta Pulau Pinang 2026 yang akan diadakan buat kali pertamanya di Seberang Perai, Disember ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah berkaitan isu trafik, tempat letak kenderaan serta beberapa isu lain yang berbangkit khususnya di lokasi penganjuran iaitu Kubang Menerong di sini.
Katanya, selain MBSP, turut-serta dalam mesyuarat itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk pemaju kawasan perumahan yang sedang dalam pembinaan di situ.
“Persiapan Majlis (MBSP) pada peringkat sekarang ialah untuk membantu kelancaran trafik di kawasan penganjuran pesta terutamanya ketika waktu puncak sekali gus dapat mengurangkan isu kepada penduduk setempat.
“Begitu juga dengan masalah ‘parking’. Kita akan cuba tangani dengan sebaik mungkin. Jadi, mesyuarat koordinasi ini amat penting untuk memastikan acara tahunan yang sinonim dengan Pulau Pinang ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan projek naik taraf kawasan lapang dan tempat letak kenderaan di Jalan Kubang Menerong, hari ini.
Bulan lepas, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan bahawa penganjuran Pesta Pulau Pinang bagi edisi ke-60 akan diadakan buat pertama kalinya di Seberang Perai iaitu di Kubang Menerong, Tasek Gelugor selepas lebih lima dekad berlangsung di Sungai Nibong.
Pertukaran lokasi itu terpaksa dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) oleh MRT Corp.
Dalam pada itu, Baderul Amin berkata, projek naik taraf kawasan lapang dan tempat letak kenderaan di Jalan Kubang Menerong yang bernilai hampir RM600,000 itu telah siap sejak lebih tiga bulan lalu mengikut kontrak.
Katanya, matlamat projek itu antara lain ialah untuk membangunkan ruang parkir yang lebih teratur, meningkatkan keselamatan pergerakan kenderaan dan pejalan kaki serta memudahkan akses penduduk ke kemudahan rekreasi.
“Selain itu, usaha ini juga dilihat mampu mengoptimumkan penggunaan kawasan lapang sebagai ruang riadah dan interaksi sosial dalam kalangan komuniti setempat,” ujar beliau.-UTUSAN











