GEORGE TOWN : Keputusan muktamad mengenai lokasi penganjuran Pesta Pulau Pinang dijangka diputuskan dalam tempoh satu hingga tiga minggu lagi susulan rundingan yang sedang dijalankan antara kerajaan negeri serta pihak berkuasa berkaitan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, mandat telah diberikan kepada Pejabat Kewangan Negeri untuk meneruskan rundingan dengan agensi Persekutuan, termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) berhubung cadangan menjadikan kawasan di Seberang Perai Utara (SPU) sebagai lokasi sementara penganjuran pesta berkenaan.
Menurut beliau, cadangan menggunakan tapak milik Perda di Kubang Menerong, Tasek Gelugor itu antara pilihan yang sedang diperhalusi bagi menggantikan tapak asal di Sungai Nibong yang akan terlibat dengan pembinaan depot serta stesen projek Transit Aliran Ringan (LRT).
“Ketika ini, beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan dan opsyen pertama ialah untuk tidak mengadakan langsung pesta tersebut sepanjang tempoh pembinaan depot dan stesen LRT,” katanya selepas merasmikan Simposium Penglibatan Pihak Berkepentingan Mengenai Draf Pelan Induk Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) untuk Sungai Nibong (Tapak Pesta), hari ini.
Sebelum ini, tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong telah dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan depot dan stesen LRT Laluan Mutiara, sekali gus memerlukan kerajaan negeri mencari penyelesaian sementara bagi memastikan penganjuran acara tahunan itu dapat diteruskan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, opsyen kedua pula ialah meneruskan penganjuran pesta di baki kawasan Sungai Nibong yang tidak terlibat dengan pembinaan.
Bagaimanapun, katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri berpandangan pilihan itu kurang sesuai memandangkan aktiviti pembinaan sedang berlangsung dan boleh menimbulkan isu keselamatan kepada orang awam.
“Justeru, wujud opsyen ketiga iaitu untuk mengadakan Pesta Pulau Pinang di lokasi lain dan cadangan yang dikemukakan oleh Perda dilihat lebih sesuai untuk tempoh sementara ini,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan akhir pula, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri perlu membuat ketetapan dalam masa terdekat bagi memberi ruang mencukupi kepada penganjur melakukan persiapan.
“Kita perlu membuat keputusan dalam tempoh mungkin satu, dua atau tiga minggu lagi supaya masa yang mencukupi dapat diberikan untuk menganjurkan pesta tahunan itu di lokasi baharu yang dicadangkan,” katanya. – UTUSAN








