Pesta Pulau Pinang ‘direhatkan’, hal tuju penganjuran belum dimuktamad

Pesta Pulau Pinang ‘direhatkan’, hal tuju penganjuran belum dimuktamad

RAMLI Ngah Talib (tengah) dan Chow Kon Yeow (dua dari kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang di Tapak Sungai Nibong, Pulau Pinang, malam tadi. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Masa depan Pesta Pulau Pinang masih menjadi tanda tanya apabila kerajaan negeri belum memuktamadkan hala tuju penganjurannya buat masa ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini, kerajaan negeri mengambil keputusan ‘merehatkan’ pesta berkenaan selama enam tahun bagi memberi laluan kepada pembangunan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di tapak Sungai Nibong iaitu lokasi penganjuran pesta.

Ketika ini pula, Kon Yeow berkata, pihaknya bersama beberapa agensi berkaitan dan MRT Corp selaku pemaju sedang meneliti pelan induk pembangunan semula kawasan pesta itu dengan fokus utama diberi kepada pembinaan depoh, stesen LRT serta penempatan semula Terminal Bas Sungai Nibong.

Oleh itu katanya, keputusan mengenai penganjuran semula Pesta Pulau Pinang itu hanya boleh dibuat selepas pelan pembangunan dimuktamadkan, termasuk kemungkinan menganjurkan pesta dalam skala lebih kecil di baki tanah yang masih ada atau memindahkannya ke lokasi sementara.

“Kerja-kerja perancangan itu masih berjalan. Kalau dihidupkan semula, pesta tidak melibatkan kawasan seluas sekarang sebab kita perlu tolak depoh dan lain-lain yang akan dibina di situ.

“Melainkan, selepas ini, kita dapat cari satu tapak yang mungkin sesuai untuk penganjuran sementara. Tetapi, kita belum buat apa-apa kajian lanjut atau pencarian tapak buat masa ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, malam tadi.

Terdahulu, ketika berucap sempena majlis tersebut, Kon Yeow mengesahkan bahawa Pesta Pulau Pinang Edisi ke-59 itu merupakan edisi terakhir di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum direhatkan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek LRT oleh MRT Corp.

“Saya memaklumkan kemungkinan Edisi ke-58 (tahun lepas) menjadi edisi terakhir sebelum penganjuran ditangguhkan. Namun, berdasarkan perkembangan terkini, MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak pada April 2026 dan ini membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan sekali lagi pada tahun ini,” ujar beliau.

Bermula sebagai karnival jualan pada 1966 di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum, pesta tahunan yang dianggap meninggalkan banyak nostalgia buat penduduk negeri khususnya kemudian dipindahkan ke Tapak Sungai Nibong sejak 1974 sehingga kini di atas tanah yang berkeluasan kira-kira 8.14 hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN