TASEK GELUGOR : Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan melibatkan tiga buah kereta iaitu Perodua Kancil, Perodua Axia dan Proton Saga berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.41 pagi itu, mangsa, Zuraini Jaafar, 60, yang menaiki Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akibat cedera parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kemalangan yang sama turut menyebabkan seorang mangsa mengalami cedera ringan manakala seorang lagi mangsa terselamat.
“Dalam kemalangan tersebut, dua daripada tiga mangsa termasuk si mati berada dalam keadaan tersepit dengan mangsa pertama yang menaiki Perodua Axia berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum kedatangan bomba.
“Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 10.19 pagi selepas mangsa kedua (si mati) yang tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 9.13 pagi,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN










