Agenda skuad kebangsaan jadi keutamaan MFL

Agenda skuad kebangsaan jadi keutamaan MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski boleh menarik nafas lega bagi mengumpulkan pemain terbaik terutama yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi menghadapi saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang berlangsung, hujung Ogos ini.

Ia susulan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia menghentikan sementara saingan Liga M yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos ini, untuk memberi laluan kepada skuad kebangsaan memanggil pemain terbaik bagi memberi cabaran terbaik pada kejohanan terbabit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya sentiasa menyokong visi dan misi skuad kebangsaan dengan agenda skuad kebangsaan menjadi keutamaan badan pengendali liga itu.

“Secara dasarnya, selain menguruskan liga, keutamaan kita juga adalah pada pembentukan skuad kebangsaan kerana apabila skuad kebangsaan akan bermain di Piala CAFA itu nanti, ia akan mengambil beberapa hari sebelum kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kita sedia maklum apabila pasukan kebangsaan dihimpunkan, ia akan membabitkan beberapa pasukan utama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, mungkin juga Sabah FC dan juga Kuala Lumpur City.

“Keutamaan akan diberikan kepada pasukan kebangsaan yang mana pada tempoh itu, saingan liga tidak akan dijalankan,” kata Shazli.

Kempen Piala CAFA 2025 akan bermula pada 26 Ogos sehingga 9 September melibatkan penyertaan lapan pasukan termasuk Iran (18) dan Uzbekistan (57) yang telah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.

Selain itu, lima lagi pasukan turut dijangka menyertai kejohanan itu termasuk Oman (77), Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan juga Afghanistan (160).

Shazli turut memberi jaminan bahawa agenda skuad kebangsaan itu tidak akan menjejaskan perjalanan liga, malah tiada perlawanan yang akan ditangguhkan untuk memberi ruang kepada persiapan skuad Harimau Malaya.

“Tidak akan timbul isu penangguhan perlawanan kerana ketika ini, kalendar dan jadual liga pun belum keluar. Jadi kita mengambil segala makluman permohonan skuad kebangsaan bagi memastikan ia tidak menjejaskan perjalanan liga.

“MFL juga sentiasa berkomunikasi dengan semua pasukan supaya mereka faham dengan perancangan kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN