KEMELUT antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akhirnya menemui jalan damai apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menandatangani satu deklarasi bersama demi memastikan kelangsungan industri minyak dan gas negara.
Perjanjian yang dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ini diharap dapat mengakhiri ketegangan yang berlarutan lebih setahun antara kedua-dua pihak.
Namun begitu, persoalan mula timbul, adakah deklarasi ini benar-benar adil dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak? Bagaimana pula dengan kesan jangka panjangnya?
Berikut kupasan serta ulasan daripada penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi mengenai isu ini:
DEKLARASI ADIL BAGI KEDUA-DUA PIHAK?
Deklarasi ini pada asasnya mencerminkan kompromi strategik yang cuba mengimbangi kepentingan Persekutuan dan hak autonomi negeri.
Bercakap tentang soal adil, ia kelihatan adil secara prinsip kerana Petros diiktiraf sebagai agregator gas untuk Sarawak, satu pengiktirafan rasmi terhadap hak negeri di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Petronas masih kekal dalam kedudukan penting sebagai rakan industri dan peneraju nasional dalam industri tenaga.
Namun, dari sudut kritikal, perjanjian ini masih tertakluk kepada pelaksanaan sebenar dan tafsiran operasional yang boleh dimanipulasi secara teknokratik.
Isu seperti pengagihan hasil, kawalan ke atas lesen dan kuasa peraturan masih berpotensi menjadi medan pertikaian teknikal.
Justeru, deklarasi ini hanya bersifat ‘adil’ sekiranya mekanisme kawal selia, pelaksanaan dan semakan bersama benar-benar telus, tanpa campur tangan politik pusat.
BAGAIMANA OPERASI HARIAN PETRONAS DI SARAWAK?
Deklarasi ini akan membawa beberapa perubahan signifikan iaitu pengurusan bekalan dan penjualan gas akan melalui Petros, bermakna Petronas perlu menyelaraskan operasi logistik, pemasaran dan pengedaran mereka mengikut garis panduan negeri.
Kelulusan teknikal dan perundangan mungkin memerlukan pertindihan proses, kerana Petronas perlu mendapatkan lampu hijau dari kedua-dua Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang boleh memperlahankan kelulusan projek atau meningkatkan kos pematuhan.
Petronas mungkin perlu melatih semula kakitangan tempatan atau menyusun semula peranan pengurusannya di Sarawak untuk memastikan kepatuhan terhadap dasar negeri.
Namun, Petronas masih mempunyai kelebihan modal, teknologi dan rangkaian global menjadikan mereka tetap dominan, cuma dengan ruang autonomi negeri yang lebih luas.
JAMINAN HAK, KEPENTINGAN SARAWAK
Setakat ini, jaminan utama hanyalah melalui deklarasi bersama dan semangat rundingan MA63 yang belum sepenuhnya termaktub dalam pindaan perundangan menyeluruh.
Sekiranya tiada perincian undang-undang yang mengikat seperti melalui pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 atau Ordinan Sarawak, deklarasi ini boleh dianggap bersifat administratif, bukan perundangan.
Tiada badan pemantau bebas disebutkan bagi mengawasi pelaksanaan deklarasi ini secara telus.
Maka, satu-satunya jaminan adalah melalui kecekalan politik kepemimpinan Sarawak serta kekuatan undang-undang negeri (seperti Ordinan Minyak dan Gas 2018) dan tekanan berterusan terhadap Kerajaan Persekutuan.
KESAN PELANTIKAN PETROS SEBAGAI AGREGATOR GAS
Pelantikan Petros sebagai agregator gas akan membawa perubahan struktur yang ketara apabila syarikat itu kini menjadi penyambung utama antara pengeluar dan pembeli gas di Sarawak, menggantikan Petronas dalam rantaian utama – satu perubahan struktur ekonomi yang besar.
Ini akan mewujudkan rantaian nilai domestik yang lebih dikawal oleh negeri, dengan peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai sektor hiliran.
Namun, daripada sudut cabarannnya kapasiti teknikal dan kewangan Petros masih terbatas berbanding Petronas.
Risiko berlaku konflik kepentingan dan kecekapan pengurusan dalam mengawal selia pasaran jika struktur tadbir urus Petros tidak diperkukuhkan.
Pelantikan ini secara simbolik dan praktikal menyusun semula hierarki kuasa dalam industri gas sekali gus menjadikan Sarawak sebagai pemain autonomi, bukan sekadar pengguna dasar persekutuan.
Maka, deklarasi ini adalah langkah penting ke arah penghormatan terhadap semangat MA63, namun keberkesanannya bergantung kepada implementasi yang konsisten, pelaporan yang telus serta keberanian politik Kerajaan Negeri Sarawak dalam mempertahankan autonomi mereka dan ketelusan kerajaan pimpinan Anwar.
HARAPAN JANGKA PANJANG
Deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak berhubung isu Petronas–Petros dilihat sebagai satu langkah bersejarah ke arah penyelesaian kemelut jangka panjang dalam industri minyak dan gas negara.
Walaupun deklarasi ini dilihat mengimbangi peranan antara kerajaan pusat dan negeri dengan pengiktirafan rasmi terhadap Petros sebagai agregator gas Sarawak, namun kejayaan sebenar masih bergantung kepada sejauh mana ia dilaksanakan secara telus dan adil.
Tanpa mekanisme kawal selia yang jelas dan pindaan undang-undang yang mengikat, deklarasi ini berisiko kekal sebagai dokumen simbolik semata-mata.
Dalam konteks praktikal, operasi harian Petronas di Sarawak bakal berdepan penyesuaian besar dari segi prosedur teknikal, pentadbiran dan pematuhan dasar negeri, manakala pelantikan Petros membuka ruang kepada ekonomi domestik lebih dinamik di peringkat negeri.
Namun, cabaran terbesar terletak pada keupayaan teknikal dan institusi Petros, serta keazaman politik kedua-dua belah pihak untuk benar-benar merealisasikan semangat MA63.
Secara keseluruhan, deklarasi ini memberi harapan baharu kepada hubungan Persekutuan–Sarawak dan masa hadapan industri tenaga negara, tetapi ia hanya akan bermakna jika diikuti dengan tindakan berani, reformasi undang-undang dan pelaksanaan yang telus serta konsisten.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










