KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Danny X-Factor, mengakui dirinya seronok bergelar pemandu e-hailing demi meraih pendapatan harian selepas membuat keputusan untuk memperlahankan kerjaya lakonan.
Menurut Danny, dia malah sanggup melabur wang ringgit untuk membeli kereta baharu jenis kenderaan pelbagai guna (MPV), Mitsubishi Xpander demi keselesaan penumpangnya untuk jarak jauh.
“Buat masa sekarang, saya terpaksa memperlahankan karier lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada perjalanan semula kumpulan X-Factor dalam bidang nyanyian selepas melancarkan lagu baharu, Walu-Walu pada Jun lalu.
“Bagaimanapun, saya masih lagi aktif menjadi pemandu e-hailing yang laluan perjalanan saya lebih fokus mengambil dan menurunkan penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu kota.
“Hampir 10 tahun saya memandu e-hailing sejak 2017 memang seronok dan sangat menenangkan jiwa. Malah, saya sebenarnya sama sekali tidak pernah berasa menurun taraf bekerja dalam bidang e-hailing. Kerja ini betul-betul seronok.
“Dalam tiga hingga empat hari saya fokus memandu e-hailing dari pagi sampai malam, Alhamdulillah bayaran diperoleh sangat berbaloi. Kiranya dalam sehari, kalau rajin dapatkan penumpang boleh cecah pendapatan RM300 atau RM400,” katanya.
Danny berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Festival Fesyen Islamik (IFF) Kuala Lumpur 2026, pada selasa.
Mengulas mengenai X-Factor, Danny berkata kerjaya seni mereka berjalan dengan lancar selepas membuat kemunculan semula beberapa bulan lalu meskipun masing-masing terikat dengan kerjaya hakiki.
“Jadi, kami saling menghormati kelapangan masa masing-masing yang ada kerja tetap dan sudah berkeluarga. Apatah lagi, kemunculan semula X-Factor dalam industri untuk memeriah serta mewarnai bersama bakat-bakat baharu, itu sahaja.
“Dari segi populariti, kami sudah pernah merasainya pada hujung era 1990-an dulu. Sekarang, X-Factor tampil hanya untuk menghiburkan peminat-peminat yang masih menyokong serta menyukai lagu-lagu kami. Terima kasih saya ucapkan,” jelasnya.











