Lembaga fatwa Libya haramkan jenama Nike

Lembaga fatwa Libya haramkan jenama Nike

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRIPOLI: Institusi fatwa tertinggi Libya, Dar al-Ifta mengeluarkannya satu fatwa rasmi yang melarang umat Islam daripada membeli, menjual atau memakai pakaian yang memaparkan logo jenama sukan terkemuka, Nike.

Keputusan yang dikeluarkan oleh institusi bertempat di Tripoli itu menyatakan bahawa nama jenama berkenaan diambil daripada nama dewi kemenangan mitologi Greek purba, manakala logo swoosh miliknya diilhamkan daripada bentuk kepak dewi tersebut.

Dar al-Ifta berhujah tindakan memaparkan atau memakai logo berkenaan secara terbuka disifatkan sebagai mempromosikan simbol yang berkait rapat dengan syirik atau amalan menyembah pelbagai tuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain faktor sejarah dan agama, jawatankuasa penyelidikan institusi berkenaan turut menuduh syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu menyokong Israel serta menggesa boikot menyeluruh ke atas mana-mana entiti Barat yang menyokong rejim berkenaan.

Gesaan itu merujuk kepada ketetapan Majlis Penyelidikan dan Pengajian Syariah pada November 2023 yang menyeru umat Islam memboikot syarikat yang didakwa menyokong serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Fatwa rasmi berkenaan telah diluluskan oleh Mufti Besar Libya, Sadiq al-Gharyani yang memegang pengaruh keagamaan tempatan di wilayah barat negara berkenaan.

Bagaimanapun, ketetapan hukum keagamaan berkenaan bukannya perintah rasmi kerajaan dan tidak dikuatkuasakan dari sudut undang-undang negara.

Ketetapan terbaharu itu juga tidak menetapkan sebarang bentuk hukuman atau penalti bagi mana-mana individu yang terus membeli atau memakai barangan berjenama tersebut.

Sebelum ini, Dar al-Ifta pernah mengeluarkan fatwa melarang pemakaian aksesori jenama barangan kemas Perancis, Van Cleef & Arpels atas alasan rekaan lambang empat daunnya mempunyai kaitan dengan kepercayaan Kristian.

Perkembangan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Libya, dengan sebahagian menyambut baik fatwa berkenaan manakala sebahagian lagi menganggapnya sebagai perkara sampingan di tengah-tengah krisis politik negara.

Langkah institusi keagamaan itu dibuat ketika Libya menyaksikan peningkatan gelombang konservatisme agama dalam kehidupan awam dan aktiviti kebudayaan masyarakat tempatan.

Pada tahun 2025, pihak berkuasa di timur Libya mengumumkan sekatan terhadap muzik rap, teater dan persembahan tarian atas alasan bimbang sesetengah lirik dan persembahan melanggar moral awam serta nilai-nilai Islam sebelum diperluaskan ke bahagian barat Libya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini