PETALING JAYA: Pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula tengah malam esok sempena sambutan Deepavali 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif Kerajaan Madani itu dilaksanakan sehingga 11.59 malam, 7 November ini bagi membantu meringankan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga.
Beliau berkata, pemberian diskaun itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, diskaun berkenaan tidak melibatkan Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu dianggarkan membabitkan pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang akan ditanggung kerajaan tertakluk kepada pengesahan data trafik.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan pemberian diskaun ini bersama-sama syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan serta manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna lebuh raya yang layak,” katanya dalam kenyataan hari ini. –UTUSAN











