PERTH: Gergasi perlombongan dunia, Rio Tinto, memperuntukkan dana A$28 juta (RM79 juta) bagi membina zon kawalan khusus untuk menyekat kemaraan katak tebu beracun daripada menembusi wilayah Pilbara di Australia Barat.
Projek selama lima tahun yang diusahakan bersama Universiti Curtin itu bertujuan mewujudkan zon sekatan sumber air di kawasan seluas 7,500 kilometer persegi bagi mengelakkan spesies invasif berkenaan merebak ke bahagian selatan.
Walaupun kehadiran spesies katak beracun itu tidak menjejaskan operasi perlombongan bijih besi milik Rio Tinto secara langsung, haiwan berkenaan merembeskan toksin berbahaya yang berupaya membunuh hidupan liar tempatan serta mengancam ekosistem Pilbara.
Langkah pelaburan ini turut dilihat sebagai usaha berterusan syarikat perlombongan berkenaan untuk membina semula hubungan serta kepercayaan dengan komuniti pribumi tempatan.
Rio Tinto sebelum ini pernah berdepan kecaman hebat masyarakat antarabangsa berikutan tindakan memusnahkan dua gua purba warisan Orang Asal di Pilbara yang terletak di atas rizab bijih besi.
Renjer Kawasan Perlindungan Orang Asal Nyangumarta Warrarn, Roberta Hunter menyambut baik pembinaan zon sekatan itu bagi memastikan biodiversiti serta sumber air di tanah warisan mereka kekal terpelihara daripada ancaman katak beracun.
Strategi utama projek berkenaan merangkumi penutupan dan pengubahsuaian sumber air buatan manusia seperti kolam ternakan dan tangki simpanan di kawasan laluan darat antara Gurun Great Sandy dan Lautan Hindi.
Katak tebu memerlukan bekalan air setiap beberapa hari untuk bertahan hidup pada musim kemarau dan ketiadaan sumber air semula jadi memaksa haiwan itu bergantung kepada kemudahan pengairan ternakan.
Antara hidupan liar tempatan yang terancam sekiranya spesies invasif ini berjaya memasuki Pilbara termasuklah tikus northern quoll, cicak goanna serta kelawar.
Spesies katak tebu pada asalnya dibawa masuk ke Australia dari seberang laut pada tahun 1935 bagi mengawal populasi kumbang perosak di ladang tebu sebelum ia membiak secara tidak terkawal.
Projek sekatan air berskala besar ini dijadualkan bermula secara rasmi pada tahun 2027 sebagai langkah jangka panjang memelihara kawasan biodiversiti penting di Australia. -AGENSI











