MOSCOW/LONDON: Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova, menolak dakwaan bahawa penulis blog, Alexey Navalny yang dikenali sebagai pemimpin pembangkang tetapi dianggap sebagai pengganas dan ekstremis di negaranya telah diracun dengan toksin daripada katak.
Beliau menganggapnya sebagai rekaan propaganda Barat.
Zakharova membuat dakwaan itu sebagai mengulas kenyataan bersama Jerman, Britain, Belanda, Sweden dan Perancis dengan mendakwa bahawa Navalny didakwa diracun dengan epibatidine, toksin yang berasal daripada kulit katak beracun Ecuador.
Kesimpulan itu dilaporkan berdasarkan analisis sampel biologi Navalny.
“Apabila keputusan ujian tersedia dan formula bahan tersebut didedahkan, kami akan memberi komen sewajarnya,” kata Zakharova.
“Sehingga kini, semua dakwaan sedemikian hanya propaganda yang bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu mendesak di Barat, ” tambahnya.
Navalny, 47, yang berjuang menentang rasuah dan menganjurkan protes anti-Moscow sebagai musuh paling tegar Presiden Russia, Vladimir Putin, meninggal dunia di Artik pada 16 Februari 2024, ketika menjalani hukuman penjara 19 tahun yang beliau dakwa bermotifkan politik.
Zakharova turut mengkritik masa dakwaan itu dikemukakan dengan menyatakan: “Tepat ketika siasatan mengenai letupan Nord Stream (rangkaian saluran paip gas asli di dasar Laut Baltik yang menghubungkan Russia dengan Jerman) hampir membuahkan hasil, tiba-tiba isu keracunan Navalny diketengahkan.”
Lima negara tersebut menuduh Russia melanggar Konvensyen Senjata Kimia berhubung insiden itu.
Epibatidine secara semula jadi ditemui dalam katak beracun tetapi boleh dihasilkan di makmal, sesuatu yang disyaki oleh saintis Eropah sebagai kes bagi dakwaan keracunan Alexey Navalny.
Sementara itu, Kedutaan Russia di London, Britain menyatakan rasa jijik terhadap apa yang digelar sebagai rekaan Barat tentang punca pembunuhan Navalny.
“Apakah jenis orang yang akan mempercayai kebodohan sebegini mengenai seekor katak? Namun, aspek yang paling membimbangkan ialah propaganda kematian yang digunakan oleh ahli-ahli politik Barat, satu percubaan yang mengejutkan untuk memperolok orang yang telah meninggal dunia,” kata kedutaan tersebut. – AGENSI










