Ternakan katak semakin tinggi, 1.3 juta direkod tahun ini

Ternakan katak semakin tinggi, 1.3 juta direkod tahun ini

TERNAKAN katak secara komersial mampu beri pendapatan lumayan kerana permintaan haiwan amfibia ini amat popular di seluruh dunia. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Industri penternakan katak tempatan secara komersial semakin bertambah hebat apabila bilangan haiwan amfibia tersebut merekodkan peningkatan sepanjang tahun ini.

 Berdasarkan rekod terbaharu diterbitkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang disiarkan menerusi laman sesawang rasminya, ternakan tahun ini diunjurkan 1,329,838 ekor mengatasi jumlah tahun lepas iaitu sebanyak 1,304,527 ekor katak diternak di seluruh negara.

 Bilangan tersebut bahkan mengatasi rekod DVS sepanjang 2020 lalu iaitu hanya 1,211,927 ekor, iaitu merosot berbanding tahun sebelumnya sebanyak 1,736,600 ekor katak.

Melaka terus unggul sebagai pengeluar katak paling besar di Malaysia untuk unjuran tahun ini dengan menjangkakan negeri itu mampu menternak 1,020,530 ekor.

 Statistik terkini itu turut menyaksikan pihak DVS memasukkan semula Perak sebagai antara pengeluar katak di Malaysia setelah negeri berkenaan dipadam daripada senarai tahun lalu dengan mencatatkan unjuran sebanyak 147,289 ekor diternak berbanding tahun lepas merekodkan 140,600 ekor.

 Ia sekali gus menjadi negeri kedua ternakan katak terbesar di Malaysia mengatasi Johor yang jatuh kepada posisi ketiga dengan diunjurkan cuma 90,409 ekor haiwan amfibia berkenaan.

 Sebahagian besar hasil produk katak yang diternak di negara ini akan dipasarkan ke Kuala Lumpur dan Singapura dengan harga jualan runcit antara RM10 sehingga RM15 sekilogram dengan kebanyakan penternak tempatan menggemari baka Bullfrog daripada jenis Rana Catesbeiana kerana saiz badannya besar dengan isi banyak.

 Ternakan amfibia ini lebih kepada pembekalan makanan eksotik di restoran dan lazimnya menerima permintaan tinggi pelanggan yang gemar rasa enak daging atas faktor kesihatan.

Dianggarkan sebanyak 3.2 bilion ekor katak dieksport ke seluruh dunia setiap tahun dengan pengguna terbesarnya ialah pelbagai negara anggota Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Seekor katak dewasa komersial mampu dijual pada harga boleh mencecah RM55 di pasaran global dengan China dan Indonesia merupakan dua negara pengeksport utama haiwan itu.

 Bagaimanapun di Eropah, katak mula mendapat pasaran besar untuk hidangan di restoran mewah terutamanya baka gergasi Jawa dari Indonesia yang terkenal dengan khasiat kakinya,

 Media luar melaporkan sejumlah 160 juta kaki katak dibekalkan bagi menampung keperluan di seluruh Perancis setiap tahun untuk hidangan popular yang dikenali cuisses de grenouille. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya