Rezeki beralih bidang, mampu pasarkan lebih 2,000 ekor ayam kampung sebulan - Utusan Malaysia

Rezeki beralih bidang, mampu pasarkan lebih 2,000 ekor ayam kampung sebulan

MOHD. Fansuri Ahmad (dua dari kanan) turut menerima kunjungan daripada pihak luar yang ingin melihat secara lebih dekat kaedah penternakan dijalankan olehnya itu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka percubaannya menukar bidang pekerjaan daripada seorang petugas industri minyak dan gas kepada penternak membuahkan hasil apabila Mohd. Fansuri Ahmad kini menjadi antara pembekal ayam kampung terbesar di Perlis.

Selepas menubuhkan syarikat miliknya sendiri dikenali sebagai Mount Valley Agritech, anak kelahiran Alor Sena itu kini mampu membekalkan sekitar 1,500 ke 2,000 ekor ayam kampung sebulan untuk pasaran di seluruh negeri itu.

Mohd. Fansuri berkata, dia mula mendapat pendedahan dalam bidang penternakan selepas terlibat dalam urusan import eksport barangan termasuk ayam mentah dari Thailand sekitar tahun 2010.

“Kemudian saya beralih dalam bidang penternakan dengan membela ayam daging dan ayam kacuk pada tahun 2015 di Alor Sena dengan jumlah tak sampai 100 ekor.

“Ketika itu pelbagai dugaan dan proses pembelajaran terpaksa dilalui bagi mengusahakan penternakan ini,” katanya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, dia bersama adiknya mula bertindak berani apabila cuba mengusahakan penternakan ayam kampung asli di sekitar Bukit Chabang, di sini, dalam skala lebih besar sekitar 2019.

Selepas beberapa ketika, beliau berkata, pihaknya mendapati ayam kampung asli tidak begitu mendatang pulangan berikutan proses kematangannya mencapai tempoh sehingga lima ke enam bulan dan turut melibatkan pertambahan kos makanan.

“Selepas itu, dalam pertengahan tahun lalu, kami membawa masuk kumpulan pertama anak ayam kampung baka saga yang dibeli daripada pengeluar parent stock dari Melaka.

PENTERNAKAN diusahakan Mohd. Fansuri Ahmad menunjukkan peningkatan selepas menukar baka jenis ayam kampung saga. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

“Baka ayam kampung saga ini lebih cepat membesar dan berkualiti berbanding ayam kampung lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fansuri berkata, dia kini mengusahakan lapan reban di atas sebidang tanah berkeluasan 24,000 kaki persegi bagi menjalankan penternakan ayam kampung saga berkenaan.

Katanya, kos permulaan bagi menjalankan penternakan dan perusahaan itu adalah sekitar RM500,000 sehingga RM600,000.

REBAN ternakan ayam kampung milik Mohd Fansuri Ahmad yang diusahakan sekitar kawasan Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

“Kami cuba bangunkan perusahaan ini dengan tidak memikirkan margin keuntungan dan mungkin selepas lima ke enam tahun ke depan baru kita fokuskan ke arah itu. 

“Buat masa ini kita juga memberi tumpuan kepada penyelidikan untuk bangunkan lagi perusahaan penternakan ini,” katanya.

Selain menjual daging ayam kampung, Mohd. Fansuri berkata, pihaknya turut memberi fokus kepada pengeluaran anak ayam dan dedak yang dikenali sebagai bokashi.

“Bokashi adalah sumber makanan organik yang ditapaikan dan ia lebih sihat serta kurang berbau. Ayam lebih sukakan bokashi ini kerana kandungan nutrien sama seperti dedak biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fansuri berkata, reban miliknya juga turut menggunakan kaedah solar bagi menyalurkan bekalan elektrik buat sistem inkubator bagi penetasan telur ayam kampung.

Katanya, dia turut mengaplikasikan penggunaan sistem kebocoran air automatik bagi mengesan bau amonia yang boleh menyebabkan penyakit kepada ayam di reban berkenaan.

“Salah satu musuh ketat dalam penternakan ayam ialah kebocoran air di mana apabila ia berlaku, akan menyebabkan bau kuat setelah bercampur dengan sekam padi yang mempunyai najis.

MOHD. Fansuri Ahmad (dua dari kanan) turut mendapat bimbingan daripada wakil agensi seperti MARDI dan Jabatan Veterinar dalam menjalankan penternakan berkenaan. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

“Keadaan dalam reban ayam sepatutnya kering bagi mengelakkan kehadiran lalat yang boleh membawa penyakit,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mendapat bimbingan daripada beberapa agensi dalam menjalankan penternakan berkenaan antaranya seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Saya juga bercadang untuk kembangkan lagi perusahaan ini pada masa hadapan dengan membuka lebih banyak reban bagi penternakan ayam kampung ini untuk pasaran luar Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya