SETIAP kali musim perayaan di Malaysia, kerajaan mengulangi kenyataan untuk meyakinkan rakyat tentang bekalan telur, ayam dan daging yang cukup. Jaminan yang diberikan kerajaan membuatkan tekanan semasa masyarakat menurun dan kurang perasaan panik terhadap keperluan yang mendesak.
Persoalannya, kenapa mesti dibuat kenyataan sama berulang kali apabila menjelang musim perayaan. Mungkin ada kerisauan rakyat dan rasa tidak yakin dengan kestabilan bekalan ayam, telur dan daging yang mencukupi terutamanya apabila melibatkan terputus bekalan dan harga yang meningkat.
Kerisauan rakyat mungkin berkurangan dan keyakinan mungkin tinggi terhadap bekalan ayam, telur dan daging sekiranya mereka tidak mengalami kekurangan bekalan, bekalan mudah didapati sepanjang masa dan harga yang tidak membebankan di musim perayaan.
Kenyataan kerajaan dalam memberikan keyakinan rakyat setiap kali menjelang musim perayaan selalunya melalui jaminan jabatan kerajaan terlibat seperti FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), yang memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara dan bertindak segera bagi memenuhi keperluan semasa termasuk mengimport bekalan yang diperlukan.
Pengurusan agihan ayam, telur dan daging dalam negara mesti diuruskan dengan baik oleh agensi tertentu. Misalnya, ada negeri yang berlebihan dapat menampung negeri lain yang tidak mencukupi. Pada 2022 misalnya, negeri Perak menghasilkan produk telur dan ayam itik berlebihan dengan 372,825 tan metrik daging, ayam dan itik, dan 2,081 bilion biji telur ayam.
Mungkin sudah sampai masanya kerajaan mempunyai pendekatan baharu dengan memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk seluruh negara bagi kegunaan tempatan dan apabila berlebihan negara dapat mengeksport ke negara lain yang memerlukan atau memenuhi industri hiliran berkaitan.
Idea penubuhan Lembaga Ruminan telah diketengahkan pada 2014 lagi bagi menjaga pembangunan industri penternakan negara. Idea ini dikembangkan lagi pada 2018 dan masih di peringkat perbincangan pada 2025. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang memperhalusi cadangan penubuhan Lembaga Ruminan Negara (LRN) dengan meneliti model bersesuaian bagi memastikan entiti itu berdaya tahan dan mampu mengatasi isu dihadapi industri ruminan.
Lembaga itu juga dilihat boleh memberikan penekanan kepada pembangunan industri tenusu dan pedaging negara secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan, penyelarasan, khidmat nasihat dan keperluan pemasaran. Pasukan interim berkaitan sudah diwujudkan bagi merangka hala tuju serta kaedah pengoperasian, menyelaras dan memperkemaskan jaringan industri melalui libat urus, perundingan dan advokasi.
Penubuhan lembaga itu dikatakan boleh melonjakkan lagi industri penternakan, di samping Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang memberikan tumpuan kepada peraturan penternakan, jaminan kualiti, kawalan penyakit ternakan dan jangkitan kepada manusia serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan yang ditetapkan. Tindakan ini menunjukkan suatu langkah yang baik bagi menjamin industri ruminan negara dan perlu disegerakan.
Jabatan berkaitan penternakan juga perlu terus diperkasakan dalam mentadbir dan menguruskan keterjaminan bekalan ayam, telur dan daging negara dengan lebih cekap selari dengan jabatan lain seperti jabatan pertanian dan perikanan. Satu organisasi pentadbiran yang berdaya maju penting dalam memastikan kelestarian keterjaminan bekalan ayam, telur dan daging.
Cerita tentang kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya pada 2020 dalam media perdana tempatan mungkin masih segar dalam ingatan dan tindak balas yang belum selesai.
Urusan mengimport daging dari luar negara melibatkan banyak pihak seperti JPV (Jabatan Perkhidmatan Veterinar), Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Pelabuhan.
Berikutan daripada isu kartel import daging yang diragukan, cadangan Lembaga Ruminan Negara dikatakan dapat membantu bekalan daging tempatan. Pada 2021, Malaysia diakui tidak berupaya untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSL, Self-Sufficiency Level) bagi bekalan daging tempatan, dan terpaksa terus bergantung kepada import. Kerajaan meletakkan sasaran SSL, 50 peratus bagi daging manakala 100 peratus bagi susu segar menjelang 2030.
Keraguan status halal daging import mempengaruhi aktiviti korban, selain daripada harga yang tinggi. Permintaan haiwan lembu, kerbau dan kambing untuk ibadat korban terus meningkat. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pada 2023 dianggarkan bilangan lembu dan kerbau tempatan sebanyak 39, 857 ekor manakala kambing dan biri-biri sebanyak 29,988 ekor melebihi permintaan pada 2015 sebanyak 15,000 ekor ternakan ruminan besar dan kira-kira 10,000 ekor ternakan ruminan kecil disembelih di seluruh negara untuk tujuan ibadat korban.
Kerajaan menyasarkan sebanyak 100,000 tan metrik pengeluaran daging tempatan menjelang 2030. Negara memerlukan 200,000 tan metrik daging lembu setahun bagi keperluan rakyat dan masih perlu mengimport 80 peratus daging bagi memenuhi permintaan rakyat.
Disamping daging, isu telur juga menjadi perhatian rakyat. Bekalan telur ayam didapati berkurang dan tidak semua gred telur ayam mudah diperolehi. Persekutuan persatuan-persatuan penternak Malaysia (FKFAM) boleh membantu kawalan bekalan ayam dan telur, jika berada dalam struktur organisasi yang sesuai.
Kajian segera diperlukan dalam kalangan pakar berkaitan sains penternakan, ekonomi dan sosial serta alam sekitar untuk bersama melihat isu bekalan ayam, telur dan daging negara. Keterjaminan makanan sangat penting dalam era pasca normal yang penuh ketidaktentuan ini. Pemerkasaan institusi penternakan negara mesti diberikan perhatian segera. Aktiviti penternakan melibatkan daripada baka, tempat yang sesuai, makanan, kesihatan, kualiti daging, bekalan dan pemasaran mesti difikirkan secara menyeluruh termasuk penggunaan teknologi tinggi. – UTUSAN
Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










