PUTRAJAYA: Masyarakat Islam di negara ini tidak boleh membuat andaian bahawa semua ruamh sembelihan yang tidak memiliki sijil halal itu tidak mematuhi operasi penyembelihan mengikut hukum syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, masyarakat juga diseru supaya membezakan antara dakwaan yang tular dengan hasil siasatan yang disahkan.
Katanya, ketidakpatuhan di sesebuah premis tidak seharusnya dijadikan kesimpulan terhadap semua rumah sembelihan atau keseluruhan Sistem Pensijilan Halal Malaysia.
Bagaimanapun, jelasnya, pengguna disaran mengutamakan bekalan daripada sumber yang dipersijilkan halal dan menyemak status pensijilan melalui Portal Halal Malaysia.
“Perbezaan utama antara rumah sembelihan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dengan yang tidak dipersijilkan ialah pematuhan premis pemegang SPHM telah melalui proses penilaian dan pengesahan di bawah Sistem Pensijilan Halal Malaysia.
“Ketiadaan SPHM tidak dengan sendirinya membuktikan sesuatu sembelihan tidak halal, namun premis tersebut belum memperoleh pengesahan pematuhan melalui sistem pensijilan berkenaan. Pemilikan lesen operasi pula tidak boleh disamakan dengan pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Zulkifli bersama pasukan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengikuti operasi pemeriksaan di sebuah rumah sembelihan pemegang SPHM di Petaling Jaya, Selangor bagi melihat sendiri pelaksanaan kawalan halal dalam aktiviti penyembelihan dan pengendalian ayam.
Beliau turut menyaksikan pemeriksaan ayam sebelum penyembelihan serta meneliti kesahan tauliah penyembelih, pelaksanaan pengasingan ayam yang tidak memenuhi keperluan halal dan penyelenggaraan rekod kebolehkesanan bekalan.
Selain itu, beliau berinteraksi dengan beberapa orang pekerja bagi menilai kefahaman mereka tentang prosedur penyembelihan dan tanggungjawab menjaga pematuhan halal sekali gus menunjukkan bahawa pematuhan halal disokong oleh kawalan yang teratur dan dilaksanakan secara konsisten sepanjang operasi.
“Ingin saya tegaskan disini bahawa inilah kelebihan rumah sembelihan yang mempunyai SPHM. Pematuhannya dinilai melalui pengauditan dan dipantau sepanjang tempoh pensijilan.
“Ia sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa proses penyembelihan dan pengendalian ayam tertakluk kepada keperluan Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Zulkifli, pensijilan halal bukan sekadar paparan sijil atau logo.
Katanya, permohonan SPHM melibatkan penilaian dokumentasi dan pemeriksaan lapangan terhadap sumber bekalan, proses penyembelihan, pengendalian, kebersihan serta sistem kawalan halal dalaman.
Selepas dipersijilkan, katanya pemegang SPHM tertakluk kepada pemantauan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Walaupun Pensijilan Halal Malaysia bersifat sukarela, manfaatnya amat besar kepada pengusaha rumah sembelihan dan masyarakat.
“Pensijilan ini membantu pengusaha memperkukuh kawalan halal sepanjang operasi, di samping memberikan keyakinan kepada pengguna terhadap sumber bekalan serta proses penyembelihan dan pengendalian produk yang dibeli,” katanya.
Justeru, katanya, pengusaha rumah sembelihan sangat digalakkan untuk memohon SPHM bagi memperkukuh kawalan operasi, memudahkan kebolehkesanan bekalan dan meningkatkan keyakinan pelanggan.
Katanya, pensijilan ini turut membantu restoran, pasar raya serta peniaga membuat pemilihan sumber bekalan berdasarkan pengesahan yang boleh disemak. – UTUSAN











