'Saya bukan katak politik' - Mohamad Nizar - Utusan Malaysia

‘Saya bukan katak politik’ – Mohamad Nizar

MOHAMAD NIZAR Najib (kiri) menafikan dakwaan beliau berjumpa pimpinan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Saya bukan seorang katak politik yang sanggup gadaikan prinsip dan maruah serta ‘menjualkan’ diri kepada mana-mana pembida yang tinggi.”

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib yang menafikan sekeras-kerasnya desas-desus dan dakwaan menyatakan beliau berjumpa pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri itu berkata, pertemuan dongeng tersebut tidak pernah berlaku sama sekali.

“Ayahanda, Datuk Seri Najib Tun Razak selalu berpesan walau bagaimana susah pun keadaan kita agar setia kepada parti. Mana mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia ditubuhkan.

“Mana mungkin saya akan membelot untuk khianati kerajaan negeri Pahang yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, seorang pemimpin yang saya amat kasihi dan hormati.

“Beliau telah banyak membantu pengundi saya di kawasan Peramu Jaya. Seorang pemimpin yang baik hati dan mudah didekati. Mana mungkin saya sebagai seorang Exco kerajaan negeri dan ADUN kerajaan negeri tergamak untuk mengkhianati beliau sebagai seorang pemimpin dan kepercayaan yang beliau berikan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Nizar berkata, cukup-cukuplah menyebarkan fitnah untuk keuntungan politik murahan.

“Nabi Muhammad SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)”.

“Mesejnya jelas. Saya kekal setia bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri Pahang yang ada sekarang,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN