DALAM menghadapi dunia yang semakin mencabar dengan pelbagai isu kemanusiaan, bencana alam dan hambatan sosial menyebabkan peranan generasi muda pada sudut mahasiswa semakin ampuh dalam membina masyarakat yang prihatin, bertanggung jawab serta sejahtera.
Kerja-kerja kesukarelawanan dan misi bantuan bencana bukan sekadar aktiviti luar bilik kuliah tetapi merupakan platform pembentukan jati diri dan nilai insaniah yang amat berharga.
Sukarelawan bukan hanya tentang memberi bantuan fizikal tetapi melibatkan empati, ihsan dan keprihatinan terhadap penderitaan mangsa.
Mereka belajar memahami realiti kehidupan dari perspektif yang lebih luas dalam memupuk nilai murni yang tidak diajar sepenuhnya dalam kuliah apabila terlibat dalam misi bantuan banjir, tanah runtuh atau menangani masalah sosial.
Penglibatan dalam kerja kesukarelawanan memberi ruang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi, pengurusan masa, kepimpinan, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan untuk menjadi manusia yang matang dalam keluarga mahupun masyarakat.
Pada minggu terakhir bulan Ramadan dan minggu pertama bulan Syawal, Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) di bawah naungan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), termasuk mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), terlibat dalam misi pasca bantuan kesukarelawanan di tiga lokasi tragedi dalam negara.
Tragedi itu ialah kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya; misi bantuan pasca banjir di Pulau Pangkor dan Tampoi, Johor bagi membantu komuniti yang terjejas akibat pelbagai bencana.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut turun padang untuk bersama-sama mahasiswa MASKUM. Beliau mengorbankan cuti Hari Raya Aidilfitri bagi membantu mangsa kebakaran di Putra Heights dan mangsa banjir di Pulau Pangkor.
KPT, MASKUM, UPM dan sukarelawan Selangor di bawah kerajaan negeri berganding bahu menyediakan bantuan keperluan asas, sokongan psikososial dan perubatan kepada mangsa yang terjejas.
Saya berkesempatan bersama-sama 140 sukarelawan mahasiswa UPM ke Putra Heights yang merupakan sukarelawan terbesar universiti awam.
Di Pulau Pangkor, Perak, saya juga berkesempatan menyertai 33 sukarelawan mahasiswa dan staf UPM untuk membantu Skuad Ihsan Madani KPT melalui MASKUM dalam Misi Bantuan Pasca Banjir pada hari raya keenam dan ketujuh dengan memberi tumpuan terhadap pembersihan rumah, membuang barangan rosak serta mencuci kawasan sekitar.
Sementara itu di Tampoi, Johor, lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, MASKUM termasuk 25 mahasiswa UPM turut membantu mangsa banjir dalam kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas, pengagihan bantuan keperluan asas dan sokongan moral kepada mangsa yang terkesan.
Komitmen MASKUM yang terdiri daripada 20 universiti awam Malaysia dan bernaung di bawah KPT berfungsi sebagai platform utama dalam menggerakkan misi bantuan bencana, menganjurkan program pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar serta melatih kepimpinan sukarelawan mahasiswa.
Melalui pelbagai misi bantuan ini, MASKUM terus memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang cakna, prihatin dan sedia berbakti kepada masyarakat, selaras dengan matlamat KPT untuk melahirkan graduan yang holistik serta berdaya saing.
Berdasarkan pemerhatian semasa misi ini, mahasiswa dapat belajar untuk menjadi rakyat prihatin, aktif dan bersedia membantu apabila negara dilanda musibah selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan serta kesejahteraan bersama.
Saya berharap kerja kesukarelawanan MASKUM ini dapat dikembangkan dengan lebih aktif dalam misi bantuan antarabangsa kerana platform ini mempertemukan pelajar daripada pelbagai latar belakang, bidang dan universiti bagi membuka ruang kerjasama dan jaringan sosial yang luas.
DEMI KESEDARAN, BUKAN MERIT
Walaupun tanggungjawab membaja usaha ini sejak akar umbi terletak di bahu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar universiti masing-masing, namun cabaran utama setiap universiti ialah bagaimana untuk menjadikan aktiviti kesukarelawan yang diceburi mahasiswa dibuat atas dasar kesedaran untuk membantu dan bukannya untuk memenuhi syarat kokurikulum mahupun mendapatkan merit.
Risiko ini boleh menjadikan pengalaman kesukarelawan mereka kurang memberi impak peribadi dan sosial.
Oleh kerana mahasiswa ialah pemimpin masa hadapan, pendedahan kepada kerja-kerja bantuan bencana sejak dari universiti akan menyemai rasa tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira keuntungan.
Mahasiswa akan menjadi individu yang tidak mementingkan diri tetapi mementingkan kesejahteraan umum kerana negara memerlukan warganegara yang seimbang dalam akademik dan khidmat bakti kepada negara.
Kemahiran ini sangat diperlukan dalam dunia kerjaya selepas tamat pengajian kerana majikan mula mencari calon pekerja yang mempunyai pengalaman kesukarelawanan.
Zambry menyatakan usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara ialah dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi (IPT) dan pemerkasaan mahasiswa melalui aktiviti kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.
Beliau percaya penglibatan aktif mahasiswa dalam MASKUM dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan kepimpinan yang tinggi.
Zambry menunjukkan komitmen dalam memperkukuh peranan MASKUM sebagai platform utama kesukarelawanan mahasiswa.
Beliau menekankan kepentingan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti masyarakat bagi membentuk graduan yang holistik dan berdaya saing seperti program Pemindahan Ilmu (KTP) yang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam projek komuniti berimpak kepada masyarakat.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman, kesukarelawanan bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi sebagai elemen penting dalam pembangunan sosial dan pendidikan tinggi.
Beliau yang turut turun padang bersama mahasiswa di Putra Heights menekankan keperluan untuk menyediakan latihan yang sesuai, sokongan psikososial dan pengiktirafan kepada sukarelawan bagi memastikan keberkesanan mereka dalam menjalankan tugas.
Sementara Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, memperkenalkan konsep Jiwa Putra kepada mahasiswa UPM sebagai penjenamaan aktiviti kesukarelawanan mahasiswa atas nama universiti untuk berbakti kepada universiti dan masyarakat tanpa bergerak secara berasingan mengikut nama kolej asrama atau fakulti.
Membudayakan kerja kesukarelawan dan misi bantuan bencana mahasiswa bukanlah satu alternatif, tetapi satu kewajiban untuk membentuk bangsa yang seimbang, berilmu dan berjiwa besar.
Universiti bukan sekadar tempat mengejar segulung ijazah, tetapi juga platform untuk membina nilai diri yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Semua pihak iaitu institusi pendidikan, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mahasiswa perlu memainkan peranan dalam membudayakan kesukarelawan sebagai gaya hidup dan identiti lestari anak muda Malaysia sejak berusia mahasiswa.
PROFESOR Dr. Arifin Abdu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM).










