BARCELONA: Gergasi Sepanyol, Barcelona selangkah ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara selepas membelasah Borussia Dortmund 4-0 manakala Paris Saint Germain (PSG) mengikuti jejak sama apabila menewaskan Aston Villa 3-1 dalam aksi pertama suku akhir pagi ini.
Anak-anak buah Hansi Flick yang hanya menunggu perlawanan kedua sebelum mencari tempat ke separuh akhir buat pertama kali sejak 2019 meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam 23 perlawanan.
Juara lima kali itu mendahului perlawanan menerusi Raphinha sebelum Robert Lewandowski menokok dua lagi jaringan untuk melengkapkan rekod 40 gol peribadinya sepanjang musim ini.
Bintang remaja Barcelona, Lamine Yamal yang sukar dibendung lawan melengkapkan jaringan keempat tuan rumah.
Barca yang diramal mudah ke separuh akhir akan menentang pemenang antara Inter Milan dan Bayern Munich.
Dalam satu lagi aksi suku akhir di Paris, Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan gol paling cantik dalam kejohanan ketika PSG bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Villa 3-1.
Morgan Rogers meletakkan Villa di depan pada minit ke-35 dalam perlawanan di Stadium Parc des Princes, namun PSG bingkas menyamakan kedudukan menerusi Desire Doue.
Kvaratskhelia meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-49 dan rakan sepasukan, Nuno Mendes menambah derita pelawat dengan jaringan ketiga sekali gus melengkapkan kemenangan 3-1.
Dengan berbekalkan kelebihan dua gol PSG akan bertandang ke Birmingham Selasa depan untuk perlawanan aksi kedua. – AFP/UTUSAN










