WALAUPUN menghadapi banyak halangan dan cabaran kemelesetan global, Malaysia tetap menjadi antara destinasi pelaburan asing berimpak tinggi berbanding kalangan negara ASEAN lain. Ia menunjukkan bagaimana Malaysia, di bawah karisma kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuba menjadi kuasa baharu ekonomi dan penyatuan strategik di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Kini, Malaysia mengalihkan tumpuan dan perhatian kepada cabaran penting seterusnya iaitu mempengerusikan ASEAN. Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN. Sebelum ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. Penyerahan jawatan pengerusi ASEAN dari Laos kepada Malaysia dilakukan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada November tahun lalu.
Di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global semasa, terdapat sekurang-kurangnya tiga cabaran utama yang akan dihadapi Malaysia semasa menjadi pengerusi forum serantau terbesar di negara-negara Asia Tenggara. Ini termasuk membawa negara-negara ASEAN bersama-sama dalam isu-isu global, memperkukuh kerjasama serantau dan mendorong lebih banyak semangat multilateralisme.
BERSATU & LANTANG
Sebagai pengerusi, Malaysia bertanggungjawab mengetuai pelbagai usaha dalam menyelesaikan krisis serantau dan global. Negara-negara ASEAN pada masa ini berpecah dalam isu-isu besar, seperti Laut China Selatan dan Myanmar. Setiap negara anggota mempunyai pendirian, perspektif dan kepentingan yang berbeza mengenai perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan negara anggota ASEAN terdedah untuk berpecah dan dieksploitasi oleh kuasa besar.
China dan Amerika Syarikat (AS) kini bersaing untuk mendapatkan pengaruh sebagai sebahagian daripada persaingan global antara kuasa besar. Asia Tenggara terletak secara strategik di tengah-tengah Indo-Pasifik, rantau yang mendapat perhatian dan tumpuan daripada kedua-dua pembuat dasar serta pakar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Malaysia bukan sahaja perlu mengambil kira kepentingan negara anggota ASEAN, ia juga perlu mengimbangi kepentingan dan daya saing.
MEMPERKUKUH KERJASAMA SERANTAU
Walaupun Malaysia adalah antara negara ekonomi terbesar di ASEAN serta membuktikan kejayaan serantau pada masa lalu dan kini, Malaysia tidak boleh mengharungi cabaran secara bersendirian. Malaysia perlu ada iltizam untuk membina permuafakatan dalam kalangan ahli yang mempunyai kepentingan serta matlamat berbeza. Hal ini sesuai dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan yang akan dikemudi Malaysia.
Oleh itu, Malaysia perlu merangkul semua negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama serantau, mengurangkan perbalahan idea dan lebih banyak penumpuan kepada kepentingan bersama. Isu seperti keselamatan makanan dan daya tahan, keselamatan maritim serta jenayah rentas negara boleh menjadi aspek permulaan bagi melihat kepentingan ASEAN kepada negara anggota.
Malaysia boleh menerajui usaha di peringkat serantau untuk mendorong kerjasama ASEAN selanjutnya dan diterjemah melalui resolusi bersama mengenainya.
Kesan pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine yang berlarutan terhadap rantaian bekalan serta ekonomi global seharusnya menyedarkan negara ASEAN. Mereka memerlukan kerjasama lebih kukuh di peringkat serantau dan nilai bekerja dalam rangka kerja ASEAN, bukannya melaksanakan dasar secara unilateral.
MENOLAK MINILATERALISME
Malaysia perlu memimpin ke arah gagasan multilateralisme, yang kini terancam oleh percambahan minilateralisme. Kegagalan berbuat demikian akan mendorong ASEAN terpinggir dan berdiri atas belas ehsan kuasa besar.
Multilateralisme boleh ditakrifkan sebagai kerjasama antarabangsa antara tiga negara atau lebih. Minilateralisme tidak mempunyai definisi khusus, tetapi untuk artikel ini, saya menggunakan definisi sebagai bilangan negara terkecil yang mungkin perlu mempunyai kesan yang paling besar untuk menyelesaikan masalah tertentu dengan bilangan negara berbeza-beza bergantung kepada hal ehwal yang unik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, minilateralisme memudahkan kemunculan institusi seperti pakatan keselamatan trilateral antara Australia, United Kingdom (UK) serta AS, untuk wilayah Indo-Pasifik (AUKUS) dan Dialog quadrilateral berkaitan Indo-Pasifik antara Australia, India, Jepun dan AS (QUAD).
Institusi itu menjadi ancaman terhadap peranan ASEAN di rantau ini, kerana mereka cenderung untuk membincangkan dan merangka dasar eksklusif dengan penglibatan ASEAN yang minimum. Negara-negara Barat semakin berusaha untuk menentang kuasa China di rantau Indo-Pasifik menggunakan QUAD dan AUKUS, bukannya bekerjasama dengan ASEAN.
Contohnya, pada November 2022, Jepun menjadi tuan rumah Latihan Tentera Laut QUAD Malabar 2022 di Laut Filipina, di luar pantai Jepun. Ia melibatkan latihan di laut dengan kapal tentera laut, pesawat dan anggota tentera dari Australia, India, Jepun dan AS. China mengkritik latihan tentera laut berkenaan, menyifatkan ia sebagai usaha untuk menyekat dan membendung pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.
Untuk menentang minilateralisme dan mengukuhkan multilateralisme, Malaysia harus mendorong forum yang diketuai ASEAN, seperti Forum Serantau ASEAN, yang melibatkan bukan sahaja kuasa besar tetapi juga kuasa serantau dan pertengahan seperti Jepun dan Korea Selatan.
Sebarang dialog dengan mereka tidak seharusnya tertumpu kepada isu kontroversi dan sensitif, seperti pertikaian Laut China Selatan. Sebaliknya, mereka harus memberi tumpuan kepada isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama, seperti ketersambungan teknologi, perubahan iklim dan keselamatan maritim.
Melibatkan kuasa pertengahan seperti Jepun dan Korea Selatan akan menunjukkan pemusatan ASEAN dan jika berjaya berjaya akan menunjukkan multilateralisme, terutamanya proses yang disokong ASEAN, masih aktif dan relevan.
MENGELAK PEREBUTAN HEGEMONI KUASA BESAR
Cabaran yang bakal dihadapi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN adalah rumit, tetapi ia pasti dapat diatasi dengan segala kaedah seperti solidariti dan perundingan. Semua isu ini akan menjadi sebahagian daripada usaha yang lebih luas bagi Malaysia untuk menghalang ASEAN daripada menjadi medan pertempuran seterusnya untuk politik kuasa besar.
Malaysia perlu memimpin dalam memperkukuh dan memperdalam kerjasama ASEAN dalam pelbagai sektor untuk meningkatkan daya tahannya daripada pengaruh luar.
Jika dapat memintas halangan, mengharungi situasi geopolitik dan mewujudkan konsensus serantau, Malaysia boleh mengubah cabaran menjadi peluang yang akan menguntungkan bukan sahaja negara, tetapi rantau ini secara keseluruhan.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengurus Operasi Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan alumni Fakulti Sains Pentadbiran Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










