Langkah progresif pendigitalan majukan perkhidmatan awam

Langkah progresif pendigitalan majukan perkhidmatan awam

RANG Undang-Undang (RUU) Perkongsian Data 2024 adalah satu langkah proaktif dalam memastikan pengurusan data sektor awam yang lebih cekap, telus dan selamat. – DATA SCIENTEST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA era digital kini, data merupakan suatu aset yang amat bernilai. 12 Disember 2024 merupakan tarikh keramat Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Data 2024. Ia merupakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia memperkukuh pengurusan data sektor awam melalui penubuhan kerangka perundangan yang jelas dan sistematik.

Ia bertujuan untuk mengawalselia perkongsian data antara agensi sektor awam, memperkenalkan kawalan ketat terhadap penggunaan data serta memastikan keselamatan dan privasi maklumat.

RUU ini juga merangkumi penubuhan Jawatankuasa Perkongsian Data Negara, penetapan fungsi dan kuasa Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara serta langkah-langkah perlindungan data semasa perkongsian dilakukan.

Salah satu aspek penting dalam Bahagian 1 ialah keperluan untuk memastikan semua data yang dikongsi adalah selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan arahan keselamatan rasmi yang dikeluarkan kerajaan.

Bahagian 2 memper­untukkan penubuhan Jawatankuasa Perkongsian Data Negara, sebuah badan yang bertanggungjawab menyelia dasar, strategi dan pelaksanaan perkongsian data. Jawatankuasa ini dipengerusikan ketua setiausaha kementerian yang berkaitan dengan hal ehwal digital, dengan keanggotaan terdiri daripada wakil pelbagai kementerian, Jabatan Perdana Menteri serta agensi keselamatan berkaitan.

Fungsi Jawatankuasa termasuk merumuskan dasar berkaitan perkongsian data, mengatasi isu pentadbiran, serta memastikan pelaksanaan undang-undang ini selaras dengan tujuan asalnya. Jawatankuasa juga mempunyai kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa kecil yang bertugas membantu dalam hal-hal teknikal atau pelaksanaan.

Bahagian 3 menumpukan kepada peranan Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara sebagai pemegang tanggungjawab utama dalam menyelaras proses perkongsian data.

Ketua Pengarah diberi kuasa untuk mengeluarkan garis panduan, mengawal selia permintaan data dan memastikan pematuhan semua pihak terhadap undang-undang ini. Ketua Pengarah juga berperanan memastikan keselamatan data melalui penetapan mekanisme tertentu, termasuk kawalan teknikal terhadap proses perkongsian data.

Bahagian 4, bahagian terpenting dalam rang undang-undang ini, merangkumi proses dan syarat-syarat bagi perkongsian data. Agensi sektor awam yang ingin membuat permintaan data mesti menyatakan tujuan khusus, memastikan ia selaras dengan keperluan undang-undang serta memberikan jaminan teknikal terhadap keselamatan data.

Data hanya boleh dikongsi untuk tujuan seperti meningkatkan keberkesanan dasar awam, mengurangkan ancaman keselamatan atau menangani kecemasan awam.

Mana-mana data yang diminta akan dinilai oleh agensi pembekal data berdasarkan faktor seperti keselamatan, kerahsiaan dan kepatuhan undang-undang lain yang berkaitan.

PERLINDUNGAN DATA
Perlindungan data menjadi aspek kritikal dalam rang undang-undang ini. Pembekal data diwajibkan memastikan semua data yang dikongsi diurus dengan teliti, termasuk mengambil langkah-langkah seperti penyulitan data, kawalan akses yang ketat dan pemantauan terhadap sebarang penggunaan tanpa kebenaran.

Sebarang pelanggaran terhadap syarat ini boleh dikenakan penalti yang berat, termasuk denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun. Selain itu, jika data melibatkan pihak ketiga, seperti dalam pemindahan atau analisis data, persetujuan bertulis mesti diperoleh daripada agensi pembekal dan pihak ketiga wajib mematuhi undang-undang yang sama.

Sekatan terhadap penggunaan data turut ditekankan. Data yang dikongsi hanya boleh digunakan untuk tujuan asal seperti yang dinyatakan dalam permintaan. Mana-mana pegawai atau agensi yang menyalahgunakan data untuk tujuan lain akan dikenakan tindakan undang-undang. Perlindungan ini bukan sahaja menjaga kerahsiaan tetapi juga memastikan kepercayaan antara agensi yang terlibat.

Sebagai tambahan, perkongsian data terbuka dibenarkan dalam keadaan tertentu. Data yang boleh diakses secara umum oleh agensi sektor awam tidak memerlukan permintaan rasmi, tetapi masih tertakluk kepada kawalan keselamatan yang ketat. Ini bertujuan menggalakkan inovasi dan kerjasama tanpa menjejaskan privasi atau keselamatan maklumat.

Bahagian ini juga memperuntukkan kewajipan laporan berkala kepada Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara. Semua permintaan, maklum balas serta alasan penolakan data mesti direkodkan dan dilaporkan untuk memastikan ketelusan dalam proses perkongsian data. Langkah ini juga membolehkan audit dan penilaian dilakukan bagi mengesan sebarang pelanggaran.

Bahagian 5 mengandungi peruntukan am, termasuk kuasa penguatkuasaan bagi pegawai yang diberi kuasa, kewajipan kerahsiaan dan perlindungan undang-undang kepada pegawai yang bertindak dalam kerangka undang-undang ini. Pegawai kerajaan yang mendedahkan data tanpa kebenaran boleh didakwa dan dikenakan hukuman berat.

Ciri utama RUU ini ialah tumpuannya terhadap keselamatan data dan integriti sistem digital negara. Dengan peruntukan seperti sekatan ketat terhadap penggunaan data, kewajipan perlindungan oleh pembekal dan penerima, serta kawalan ke atas pihak ketiga, undang-undang ini memberikan jaminan perlindungan yang tinggi terhadap data semasa perkongsian.

Langkah-langkah ini juga mengurangkan risiko penyalahgunaan atau akses tanpa kebenaran yang boleh menjejaskan keselamatan negara atau hak privasi individu.

PERANAN UNIVERSITI
Dalam ruang lingkup peranan sebuah universiti, institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terlibat dalam aktiviti ilmiah yang didukung penggunaan data secara meluas.

UIAM menyumbang kepada peningkatan kecekapan, keselamatan dan inovasi dalam perkongsian data sektor awam, selaras dengan matlamat RUU.

Penglibatan aktif universiti dalam ekosistem ini bagi memastikan pengurusan data sektor awam yang lebih cekap, telus dan selamat selain memacu transformasi digital negara serta memastikan data dilindungi daripada ancaman atau penyalahgunaan.

Secara keseluruhan, RUU Perkongsian Data 2024 bukan sahaja memacu transformasi digital negara tetapi juga memastikan data dilindungi daripada ancaman atau penyalahgunaan.

Dengan pelaksanaan undang-undang ini, Malaysia dapat memperkukuh kedudukannya sebagai negara yang komited terhadap keselamatan digital dan penggunaan data yang bertanggungjawab.-UTUSAN

DR. Mahyuddin Daud ialah Profesor Madya (Undang-Undang Siber) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak Kampus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN