APABILA menulis catatan tangan, saya lebih suka menggunakan tulisan Jawi berbanding rumi. Malah, tulisan Jawi saya juga lebih kemas berbanding tulisan rumi kerana sejak kecil, apabila menggunakan tulisan rumi, saya lebih selesa menaip.
Dunia tanpa sempadan mendedahkan kita kepada pelbagai perkara dan budaya baharu. Namun, dalam keasyikan mengagumi budaya orang, jangan sampai dilupakan kulit sendiri. Kelak, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Masakan dapat mencintai khazanah warisan jika kita tidak mahu mendalaminya, sedangkan itulah identiti negara yang harus dibanggakan.
Khazanah ini harus diangkat ke pentas dunia dan bukannya dibiarkan hilang kerana kealpaan sendiri.
Sebagai anak generasi Z yang lahir dan dibesarkan di kota raya, sejak kecil saya terdedah kepada kebudayaan yang berbeza. Tambahan pula, kami hidup dalam masyarakat majmuk dalam dunia yang moden. Bahasa Inggeris sudah menjadi sebahagian daripada bahasa pertuturan terutamanya kini sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mana bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris.
Maka, ramai yang bertanya apa yang membuatkan saya berminat untuk belajar tulisan Jawi? Itulah juga soalan yang diajukan kepada saya oleh Ahli Parlimen Choa Chu Kang (Singapura), Zhulkarnain Abdul Rahim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa di Singapura dalam satu pertemuan di Majlis Penghargaan Bulan Bahasa di Singapura dua minggu yang lalu.
Semuanya bermula sekitar tahun 2020 selepas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ketika itu Raja Permaisuri Agong mula menulis dalam Jawi di laman sosial Twitter (kini X). Melihat itu, barulah terdetik di hati saya ingin belajar cara menulis Jawi dalam sistem ejaan yang betul.
Saya mula merasa malu pada diri sendiri apabila lebih mahir membaca dan mengeja dalam tulisan rumi berbanding Jawi, walhal tulisan Jawi itu sebahagian daripada identiti diri sebagai rakyat Malaysia. Justeru, saya bertekad untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
Sebenarnya, dari dahulu lagi, tulisan Jawi bukanlah asing kepada saya. Sejak kecil, ibu mengajar membaca dalam tulisan Jawi. Tambahan pula, saya sudah biasa dengan abjad Arab apabila belajar membaca al-Quran. Cumanya ketika itu, saya tidak dapat mengeja dalam Jawi dengan betul.
Ramai daripada kita boleh membaca tulisan Jawi tetapi tidak ramai yang boleh mengeja Jawi dengan tepat. Tambahan pula, kita keliru dengan pelbagai sistem ejaan berbeza yang dikatakan betul oleh pihak-pihak yang mengamalkan atau memperjuangkan tulisan Jawi.
Ramai juga yang cuba mengArabkan Jawi, memadam identiti keMalaysiaannya. Inilah yang menjadikan tulisan Jawi dilihat seakan-akan tiada piawaian ejaan yang khusus dan seterusnya dirasakan amat sukar untuk dipelajari.
Itulah situasi yang saya alami sewaktu saya mula-mula belajar mengeja Jawi secara serius. Memang mengelirukan untuk belajar apabila berhadapan dengan pelbagai versi ejaan Jawi. Namun saya tetap berusaha dan tekad, meletakkan satu sasaran yang besar iaitu untuk menjawab keseluruhan kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran Pendidikan Islam di dalam tulisan Jawi. Alhamdulillah, sasaran tersebut tercapai walaupun saya mempunyai kurang setahun untuk menyediakan diri sebelum menduduki kertas tersebut pada awal 2021.

USAHA ITU TANGGA KEJAYAAN
Tidak pernah bayangkan empat tahun setelah itu, saya akan dijemput mengendalikan sebuah bengkel Jawi. Bengkel Jawi yang berlangsung pada Oktober lalu bertempat di Perpustakaan Negara Singapura itu dijalankan dengan sokongan Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Lembaga Perpustakaan Kebangsaan Singapura sebagai sebahagian daripada sambutan Bulan Bahasa.
Bengkel tersebut dijalankan dengan mengguna pakai sistem ejaan Jawi piawai terkini yang diiktiraf secara rasmi dan diguna pakai oleh Malaysia dan Brunei. Peluang berharga mengajar di negara orang amat istimewa, khasnya kerana ini kelas pertama yang saya kendalikan secara rasmi.
Sebelum bersurai, saya sempat bertukar fikiran bersama peserta bengkel. Saya tertarik dengan minat masyarakat di sana untuk mengangkat kembali tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada lambang kebudayaan mereka.
Menurut seorang Penolong Pensyarah Reka Bentuk di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Muhammad Fauzi Azman, yang ditemui tempoh hari, kini tulisan Jawi semakin dihargai oleh rakyat Singapura tanpa mengira bangsa.
Mereka mengenang nostalgia zaman ketika semua papan tanda mempunyai empat tulisan berbeza-beza, iaitu rumi, Cina dan Tamil dan juga tulisan Jawi. Ada juga yang inginkannya dikembalikan ke tempat-tempat seperti stesen kereta api bagi mengekalkan identiti kepelbagaian kaum Singapura.
Bagaimana pula sentimen rakyat Malaysia tentang tulisan Jawi? Bahasa Melayu dan tulisan Jawi ialah milik kita semua tanpa mengira kaum. Namun kesedaran ini seolah-olah tidak wujud, walhal harus terpahat kukuh dalam jiwa setiap daripada kita kerana inilah antara unsur utama yang boleh menyatupadukan rakyat.
Bagi saya, tidak cukup jika tulisan Jawi hanya digunakan pada papan tanda semata-mata. Ibaratnya cogan kata yang hanya tinggal katanya tanpa tindakan. Pengajaran Jawi di sekolah juga harus diberi perhatian kerana ramai rakan saya yang mengikuti sistem persekolahan biasa bukan hanya gagal mengeja, malah ada yang tidak lancar membaca teks Jawi.
Malah, memang tidak dapat dinafikan bahawa kesenian tulisan Jawi juga produk yang boleh diketengahkan bagi menawan hati para pelancong asing.
Bagi para pelancong dari negara dunia pertama dan kedua, mereka tidak ke luar negara untuk melihat apa yang sudah pun wujud di tempat mereka atau di negara lain. Yang mereka cari tentulah kesenian dan kebudayaan setempat. Jika kita tidak mahu mengangkat budaya sendiri, jangan salahkan yang lain jika kita tewas dalam persaingan.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










