Rakyat tidak perlu takut, negara tidak akan berperang

Rakyat tidak perlu takut, negara tidak akan berperang

MOHAMED Khaled ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

RAKYAT perlu yakin dalam tindakan yang kerajaan sedang usahakan demi memastikan perairan negara membabitkan pertikaian pertindihan Laut China Selatan tidak terancam. Itu tegas Menteri Pertahanan, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN.

Dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID di pejabatnya, Isnin lalu, beliau menjelaskan secara lebih terperinci sekali gus menoktahkan isu berkenaan yang sengaja ‘diangkat’ oleh beberapa pihak untuk menakut-nakutkan rakyat, kononnya negara kita terancam, sedangkan segalanya termaktub secara jelas dalam Doktrin Pertahanan Negara.

Dalam dalam wawancara yang turut dibantu jurufoto, MUHAMMAD IQBAL ROSLI dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD. IDERIS, beliau juga mengulas beberapa isu yang berlegar berkaitan kementeriannya.

 


PERTIKAIAN PERTINDIHAN LAUT CHINA SELATAN TIDAK AKAN BERAKHIR
Dalam isu sebegini, kerajaan bergantung kepada Doktrin Pertahanan Negara sepertimana yang dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara, Kertas Putih Pertahanan dan Strategik Pertahanan Negara, demi memastikan keselamatan perairan negara kekal terjamin.

Doktrin dan pendekatan pertahanan kita adalah untuk mempertahankan negara dan bukannya menyerang mana-mana negara lain.

Kita lebih menjaga kawasan kita. Itu sebabnya kita tidak perlu membeli aircraft carrier (pembawa pesawat udara) atau iron dome (kubah besi) seperti dicadang sesetengah wakil rakyat.

Ini bukan soal kita diserang sebaliknya situasi tuntutan bertindih. Jika melihat hujah-hujah sebahagian ahli Parlimen, seolah-olah negara ini diserang sedangkan ia hanya berkaitan cara Malaysia mengurus kawasan-kawasan tuntutan bertindih, itu sahaja.

Dalam negara ASEAN, semua bersetuju dalam perkara-perkara pertikaian, mesti berdasarkan undang-undang antarabangsa dan konvensyen undang-undang laut.

Kita telah menandantangi Deklarasi Perilaku Pihak-pihak (DOC) antara ASEAN dan China pada 2002, yang mana dalam perjanjian itu, semua negara ASEAN mengambil pendekatan untuk memastikan tindakan yang diambil di Laut China Selatan tidak meningkatkan ketegangan.

Ketika ini kita sedang berunding mengenai Kod Tata Kelakuan (COC) di Laut China Selatan supaya dapat mengelakkan konflik dan ketegangan.

Sekiranya kita dapati ada mana-mana kapal memasuki kawasan perairan milik Malaysia, kita akan terus membuat bantahan atau protes secara konsisten.

Kita juga melaksanakan pelbagai operasi dan kawalan secara bersepadu bersama tentera udara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim. Yang penting memperagakan kehadiran di semua kawasan-kawasan kita.

Ini termasuk memastikan kesedaran dominan maritim yang merujuk kepada kemampuan sesebuah negara atau organisasi untuk memahami dan memantau semua aktiviti di kawasan perairannya, termasuklah aktiviti perikanan dan sumber mineral.

Kita akan tahu apa aktiviti yang berlaku di laut dan sebagainya melalui kesedaran domain maritim, apa yang ada di zon ekonomi eksklusif (ZEE) kita.

Ini semua saya perlu terangkan, supaya rakyat tidak ditakut-takutkan.

Pada masa sama, radar kita dengan keupayaan memantau sejauh 20 batu nautika. Bermakna kita akan tahu bila mereka hadir dan boleh ambil tindakan segera. Ini kerana kawasan kita itu tidak jauh dari tanah besar, kita boleh sampai dengan cepat.

Dalam masa sama kita juga meningkatkan keupayaan dan memodenkan aset-aset pertahanan. Kita sudah membeli dua unit pesawat peronda maritim yang akan siap pada 2026, tiga buah Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) yang akan diterima pada 2025.

Kemudian kita beli 18 buah kapal terbang daripada Korea, dijangka siap 2026, tiga buah kapal misi pesisir (LMS) yang akan siap pada 2027 dan sudah terima 10 buah kapal pemintas.

Saya juga sudah nyatakan dalam Dewan supaya semua pihak sepatutnya menunjukkan sokongan dan kepercayaan kepada pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia) serta agensi-agensi penguatkuasa yang lain, bukannya mempolitikkan keadaan.

Harus kita ingat, soal tuntutan bertindih berlaku daripada 60, 70an lagi. Dari zaman BN (Barisan Nasional) ke zaman tukar kerajaan sehingga sekarang, takkan zaman ini mahu kita pergi berperang?

Bukan negara tidak buat apa-apa, kita sangat peka dan tidak akan membiarkannya. Ini adalah pendekatan yang rakyat perlu faham.

Begitu jugalah dengan tindakan Filipina menandatangani Akta Zon Maritim Filipna (RA 12064) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (RA 12065). Dia akan kata itu dia punya, kita akan kata kita punya. Dan bagaimana menanganinya, ada dinyatakan dalam Doktrin Pertahan, Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Pertahanan Negara.

Isu pertindihan kawasan pertikaian ini tidak akan selesai semudah dan secepat yang kita harapkan, sebaliknya ia akan berterusan. Tidak akan ada negara yang mahu mengalah.

BELI PESAWAT F/A-18 HORNET UNTUK ISI KELOMPONGAN
Yang menjadi perbualan sekarang adalah mengapa membeli pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) yang terpakai? Apabila pesawat pejuang MiG ditamatkan perkhidmatan, kerajaan membuat keputusan untuk melihat perolehan kapal-kapal terbang yang sesuai.

Pada ketika itu, kerajaan mendapati pihak Kuwait memang mahu melupuskan F/A-18 dan kita telah menghubungi mereka untuk mendapatkan kepastian dan mohon untuk membuat perolehan tersebut. Ini berlaku sejak 2018 hinggalah sekarang.

Kalau kita berpendapat untuk membeli yang baharu sepatutnya kerajaan yang silih berganti membuat keputusan tetapi sehingga hari ini tiada keputusan yang dibuat sebab kalau beli baharu, sekurang-kurangnya ambil masa dalam 10 tahun untuk penghantaran. Sekiranya dibuat sekarang, hanya boleh diterima sekitar 2034. Ini bermakna kita tiada kapal terbang sehingga tempoh tersebut.

Ini akan mewujudkan kelompongan apabila pesawat Hawk dilupuskan. Disebabkan itu pembelian F/A-18 sebagai mengisi kelompongan dan berdasarkan Rancangan Pemodenan Angkatan Tentera Udara, kita hanya merancang untuk mendapatkan kapal terbang baharu pada 2040.

Jika kita ambil dari Kuwait, jangka hayat kapal terbang itu mampu bertahan sehingga 2036 hingga 2038. Pada masa itu kita hanya memerlukan berapa tahun sahaja lagi untuk mendapat kapal terbang baharu. Langkah ini tepat dalam Rancangan Pemodenan Angkatan Tentera Udara seperti dirangka dalam Kertas Putih Pertahanan.

Bahkan, jika dilihat dari segi penilaian, keadaan pesawat itu dalam keadaan baik dengan 90 peratus tahap kebolehperkhimdatan. Jumlah jam penerbangannya pun jauh lebih rendah berbanding pesawat-pesawat yang kita ada.
Jika membeli kapal terbang baharu yang lain, kita akan berdepan masalah untuk latihan, kebolehsamaan jenis-jenis kapal terbang dan sebagainya.

Malah, pasukan teknikal TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) mendapati pesawat ini mempunyai simpanan sehingga 10,000 alat ganti. Selain itu, badan pesawat boleh bertahan sehingga 40 hingga 50 tahun sementara sistemnya sentiasa boleh dinaik taraf.

SUDAH ADA PELAN SANDARAN UNTUK PASUKAN MALBATT
Kita telah menghantar sehingga kumpulan (Pasukan Batalion Malaysia, MALBATT) ke-12, telah tandatangani daripada awal 2006 bagi tujuan untuk menunjukkan komitmen negara kepada keamanan dunia, kepada tindakan-tindakan yang bersifat anti-kemanusian, genosid, peperangan dan sebagainya.

Komitmen kepada kita untuk memastikan keamanan sejagat. Antara sebab itu, kita mendukung dan menghantar pasukan tentera untuk menjayakan apa-apa misi keamanan yang dipelopori oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Kehadiran kita secara berterusan juga untuk pastikan dapat menjaga dan memelihara reputasi negara.

Kita harus menyedari apabila kita mula-mula menghantar pasukan pengaman MALBATT, ketika itu memang situasi di Lubnan tidak selamat, memang berperang dan bergaduh. Dan tujuan kita untuk memastikan keamanan dapat diwujudkan.

Disebabkan komitmen untuk pastikan keamanan dan keselamatan di sesuatu tempat, maka jangan diragui kehadiran dan penghantaran pasukan kita.

Bila menjadi pasukan pengaman, kita berada di bawah naungan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL). Apa-apa keputusan akan kita patuh dan bersama dengan UNIFIL. Ini kerana keputusan berasaskan persetujuan bersama semua negara yang menghantar pasukan termasuk Indonesia dan negara-negara lain.

Kita sudah siap pelan sandaran jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

Apa yang kita dapat tahu dari maklumat sumber tidak rasmi adalah ancaman daripada darat iaitu daripada Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sudah kurang. Kalau ada ancaman atau serangan daripada darat, kita bernasib baik kerana kedudukan pasukan dihimpit oleh pasukan-pasukan pengaman daripada negara lain yang lebih dekat dengan sempadan Lubnan-Israel.

Jika ada serangan daripada darat, kita ada masa untuk bersedia sebab mereka perlu melalui pasukan pengaman negara lain. Cuma yang tidak dapat jangka, apabila ada serangan udara.

Isu yang berlegar berkaitan keadaan enam anggota yang cedera ringan. Kita perlu faham serangan itu bukan secara langsung terhadap kita daripada IDF tetapi letupan sebuah kereta yang menjadi sasaran. Letupan itu menyebabkan cermin bas yang dinaiki pasukan kita pecah dan terkena anggota.

Kita sentiasa memberi kerjasama dan mendapat arahan daripada UNIFIL yang mana dari masa ke semasa akan maklumkan apa jua perkara yang berlaku ketika ini. UNIFIL mengarahkan supaya ditangguhkan kerja kerja logistik dalam kawasan tanggungjawab kita atau mesti berada dalam pagar dan pasukan kita pernah lalui pengalaman berada dalam bunker (kubu bawah tanah) sehingga 12 jam.

Dari segi ini, kita tidak akan menyerah kerana kita adalah pasukan pengaman tetapi saya percaya kalau ada apa-apa yang perlu, kita mesti mempertahankan diri.

PLKN TETAP DITERUSKAN
Walaupun ada pandangan daripada wakil rakyat yang menyatakan ia sesuatu yang tidak wajar dibuat tetapi kerajaan akan teruskan.

Kerana pertama, kita memang membuat kajian-kajian terperinci untuk melaksanakan PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) 3.0. Kita akan mula melalui latihan percubaan pada 12 Januari hingga 8 Mac, tahun depan selama 45 hari di Rejimen 515 Askar Wataniah dengan melibatkan 200 orang pelatih lelaki sahaja.

PLKN yang dibuat di kem-kem wataniah melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas manakala untuk IPTA (institut pengajian tinggi awam) akan bermula pada April 2026.

PLKN 3.0 juga melibatkan murid tingkatan empat dalam fasa pra PLKN. Modul latihan asas melibatkan 70 peratus ketenteraan dan 30 peratus kenegaraan. Ia lebih fokus kepada cintakan negara, semangat patriotisme dan sebagainya.

Kita mempunyai 13 fasiliti kem wataniah, 20 universiti awam, 27 IPG (Institut Pendidikan Guru) dan beberapa politeknik yang terlibat.

PLKN ini untuk menyemai semangat patriotisme pelatih serta menghayati pengorbanan untuk tanah air, memupuk jati diri, toleransi dan semangat perpaduan kaum, membentuk perwatakan positif, ciri-ciri kepimpinan pelatih melalui penerapan nilai-nilai murni serta melahirkan generasi muda yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Modul-modul penting yang telah ditambah baik dan diperbaharui seperti Modul Kenegaraan elemen jati diri yang mengandungi mata pelajaran konsep Jati Diri dan Identiti Nasional, Kita dan Sejarah, Patriotism Sebagai Pembentukan Jati Diri dan Pembinaan Identiti Nasional.

Dalam Elemen Cinta Negara pula mengandungi mata pelajaran konsep Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Proses Pilihan Raya, Sistem Federalisme serta Malaysia dan Hubungan Luar.

Bagi elemen Perpaduan mengandungi mata pelajaran Masyarakat Kepelbagaian, Pembinaan Negara Bangsa, Rukun Negara, Isu dan Cabaran Perpaduan, Strategik dan Pendekatan Perpaduan manakala modul asas Ketenteraan berasaskan pengalaman melalui latihan berkumpulan merangkumi asas ketenteraan, mempelajari dasar dan keselamatan pertahanan negara, meningkatkan kemahiran kepemimpinan dan meningkatkan asas kesejahteraan hidup.

Sebelum melaksanakan PLKN ini, kita telah melaksanakan kajian akademik oleh beberapa universiti dan tinjauan awam melibatkan beberapa responden. Dari tinjuan itu lebih daripada 85 peratus menyatakan keterujaan dengan modul ketenteraan sebagai asas kepada latihan khidmat negara.

Manakala 85 peratus faham kenapa program ini perlu dilaksanakan semula dan 87 peratus bersetuju dengan penambahan modul. Bahkan, semua setuju PLKN mampu membentuk belia untuk tidak terlibat dengan permasalahan sosial serta mempersiapkan mereka untuk berkhidmat sekali gus menyumbang kepada negara secara sukarela.

Bagi kementerian pula, usaha untuk memupuk patriotisme dan nilai jati diri yang baik dalam diri anak muda bukan perkara yang bersifat sampingan atau sisipan kepada negara. Ia sesuatu yang tidak boleh dikompromi tau ditangguh dengan pelbagai alasan.

Dalam situasi agak mencabar dihadapi negara sekarang, perkara ini semakin diperlukan kerana kita memerlukan generasi dengan semangat patriotik, mempunyai jati diri yang baik, mempunyai ketahanan serta kekentalan untuk menghadapi situasi sukar.

Bahkan, dalam program ini mereka juga akan didiedahkan penggunaan senjata.

PENCEN : KERAJAAN FOKUS BANTU RAKYAT
Kita tahu ada kes di mahkamah dan walaupun belum diputuskan oleh mahkamah rayuan susulan adanya rayuan daripada pihak kerajaan.

Kerajaan sudah bersetuju bagi veteran yang bersara sebelum Januari 2013 yang menjadi pertikaian pelarasan akan juga dilaksanakan melalui dua fasa iaitu fasa pertama pada Disember ini, dengan penyelarasan gaji bersamaan lapan peratus manakala penyelarasan kedua pada awal tahun 2026 sebanyak tujuh peratus. Jadi, mereka akan menerima kenaikan 15 peratus.

Isu ini sebenarnya sudah berlanjutan daripada 2013. Isunya dikatakan tiada pelarasan tetapi kerajaan yang ada sekarang ini memberi fokus kepada golongan ini dibawah kepimpinan perdana menteri. Atas sebab itulah penyelenggaraan rumah-rumah anggota mendapat perhatian yang tinggi daripada Kerajaan Perpaduan. Kalau dulu masa kerajaan di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan untuk penyelenggaraan dalam RM90 juta bagi tujuan membaiki rumah, begitu juga zaman Perikatan Nasional (PN) tidak sebegitu tinggi tetapi melalui Kerajaan Perpaduan peruntukannya naik mendadak kepada RM200 juta lebih pada 2023, RM400 juta (2024) dan RM430 juta (2025) khusus untuk naik taraf serta menyelenggara rumah anggota.

Begitu juga bantuan sara hidup kepada veteran. Kalau dulu, memang tiada. Maknanya kerajaan hari ini memang fokus untuk membantu rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×