PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui artikel yang disiarkan Utusan Malaysia pada 17 Ogos lalu melahirkan rasa kesal dan terkilan gara-gara sikap segelintir rakyat mengkritik tindakan kerajaan membawa pulang sejumlah kecil warganegara Palestin ke negara ini atas tujuan menerima rawatan.
Hakikatnya, ini hanyalah satu tindakan kemanusiaan yang diambil kerajaan atas dasar ihsan untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya dari aspek perubatan serta rawatan setelah hampir setahun hidup dalam tekanan, keganasan, penyiksaan dan kebuluran.
Setakat ini, lebih dari 34,000 rakyat Palestin telah syahid dan lebih 77,000 tercedera sejak berlakunya serangan Israel pada 7 Oktober tahun lalu ekoran serangan pejuang Hamas. Maka, pada 16 Ogos baru-baru ini, dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), seramai 41 warga Palestin dan diiringi oleh 86 ahli keluarga terdekat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang, Selangor.
Kedatangan mereka yang sepatutnya diraikan dan disambut dengan kesyukuran, sebaliknya terselit beberapa suara sumbang dalam kalangan rakyat negara ini yang seolah-olah tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menawarkan khidmat rawatan dan perubatan khususnya kepada mereka yang cedera teruk akibat serangan yang berlaku.
Antara respon diterima Anwar termasuk kata-kata sinis seorang rakyat Sarawak seperti yang dilaporkan media pada 25 Ogos lalu yang menyatakan ‘jika kamu bawa masuk orang Palestin ke Malaysia, jangan jejak ke bumi Sarawak’.
Begitu juga ada yang memerli Anwar dengan mencadangkan lebih baik beliau menjadi perdana menteri di Palestin jika ingin membela kebajikan rakyat negara itu.
Dalam satu hantaran mesej yang lain, ada pula yang mengandaikan bahawa dengan adanya rakyat Palestin di negara ini, maka ‘kelebihan’ untuk memasuki universiti awam tempatan akan sewenangnya diberikan kepada mereka sedangkan rakyat tempatan perlu berusaha keras untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi.
Stigma negatif ini berlarutan sehingga ada yang menyatakan ketibaan warga Palestin ini diberi penghormatan sedemikian rupa apabila kedatangan mereka disambut dengan konvoi dan polis iringan.
Membina persepsi yang buruk tentang seseorang tanpa satu hujah yang berasas adalah tidak wajar. Dalam konteks ini, ada segelintir rakyat Malaysia yang bersangka buruk terhadap warga Palestin dengan beranggapan kedatangan mereka ke negara ini akan mengganggu-gugat kedudukan dan keistimewaan warganegara.
SINDROM TAKUT DAN BENCI
Dalam konteks sosiologi atau ilmu kemasyarakatan, situasi sedemikian dipanggil Xenofobia
University of Edinburgh menyifatkan sikap Xenofobia ini sebagai satu bentuk ketakutan atau kebencian terhadap orang yang tidak dikenali (strangers) yang disebabkan oleh faktor perbezaan dari aspek bangsa, etnik, kewarganegaraan, agama atau apa sahaja kelainan yang ketara pada seseorang individu itu.
Ada ketikanya, kita juga mungkin tidak boleh membezakan antara Xenofobia atau diskriminasi kerana kedua-dua ini melibatkan rasa perjudis terhadap seseorang, namun satu ciri yang jelas ialah Xenofobia biasanya merujuk kepada faktor kerakyatan sesebuah negara dan kebudayaan yang diamalkan individu tertentu.
Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan University of Edinburgh juga menyatakan antara lain ciri-ciri yang jelas jika seseorang itu bersikap Xenofobia ialah :
Membuat andaian prejudis tentang seseorang berdasarkan dari mana mereka berasal. Contohnya, mengatakan bahawa semua orang Melayu suka makanan berlemak.
Mengatakan bahawa seseorang itu tidak dialu-alukan untuk tinggal di sebuah negara atau komuniti kerana mereka berasal dari negara lain.
Meninggalkan komen negatif termasuk dalam talian tentang seseorang mengenai asal-usul dan latar belakang misalnya di mana individu itu dilahirkan.
Menganggap bahawa orang yang datang ke negara lain sebagai punca penduduk asal negara itu kehilangan sumber pendapatan atau peluang pekerjaan atau faedah dalam bentuk apa pun.
Tidak memberikan layanan atau peluang yang adil kepada orang asing untuk bekerja dan apa sahaja bentuk ketidaksamarataan yang ditunjukkan dalam bentuk perkataan atau perbuatan.
Secara jelasnya, sindrom Xenofobia memang wujud dalam kalangan warga Malaysia dan mungkin juga apa yang dirasai oleh warga tempatan ini normal di dalam mana-mana konteks sosial yang luas dan terbuka, namun ia harus dianggap serius oleh pihak berkuasa.
Justeru, pihak terbabit mestilah berusaha untuk menanganinya kerana sikap Xenofobia yang berlebihan akan membawa kepada pergaduhan dan keganasan.
Meskipun usaha murni ini mendapat sokongan sepenuhnya dari pihak kerajaan, namun apabila ada yang tidak menyokong dari akar umbi, ini menunjukkan tahap kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan ini masih tidak memuaskan.
Dalam konteks ini, antara langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan rasa Xenofobia ialah dengan melihat situasi ini secara menyeluruh dan bukan secara melulu kerana ini bukan kali pertama Malaysia menjadi negara yang menawarkan perlindungan kepada warga asing.
Sebelum ini bantuan diberikan kepada warga Aceh dan Rohingya, namun terbukti sehingga hari ini, belum ada lagi rakyat di negara-negara ini yang berjaya daftar masuk ke universiti awam di Malaysia, maka tuduhan dan kebencian terhadap orang Palestin berkaitan andaian ini adalah tidak benar.
Selain itu, dakwaan-dakwaan yang bersifat Xenofobia terhadap rakyat Palestin ini juga dinafikan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, yang antara lain menegaskan bahawa rakyat Palestin yang cedera dan kini menerima rawatan di Malaysia tidak akan tinggal di negara ini secara kekal kerana mereka juga tetap mahu pulang ke negara asal.
Rakyat Malaysia mesti belajar untuk melihat perkara ini dari sudut kemanusiaan dan bukannya hanya berpaksikan kepentingan diri sendiri yang bimbang hak keistimewaannya ‘dicuri’ oleh orang lain.-UTUSAN
DR. Nadiah Abdul Aziz ialah Ketua Program Perhubungan Awam dan Pensyarah Kanan Universiti Tunku Abdul Rahman Teknologi dan Pengurusan Kuala Lumpur. (TAR UMT)










