KUALA LUMPUR: Tokoh akademik, ahli sains politik, dan aktivis hak asasi manusia, Allahyarham Dr. Chandra Muzaffar, 79, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Lebih 200 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang dipimpin oleh Imam Amirruddin Sharif.
Menantu Allahyarham, Mohsein Aziz, 49, berkata, bapa mentuanya sentiasa membicarakan mengenai keadilan, pendidikan dan perjuangan serta ketidakadilan dihadapi rakyat Palestin.
“Itulah perkara yang sentiasa dibicarakan di rumah, sama ada waktu makan pagi, tengah hari ataupun malam.
“Apa yang dilihat oleh orang ramai di luar, begitu jugalah beliau di rumah,” katanya.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 6.34 petang semalam selepas dikejarkan ke hospital berikutan masalah jantung.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marina Mahathir dan Zahid Mat Arip.
Sementara itu, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, Allahyarham merupakan salah seorang pengasas PKR dan pembentuk ideologi serta falsafah pendirian parti secara intelek.
“Saya dan dia bersama meletakkan landasan dasar parti yang berasaskan idea progresif dan berbilang kaum,” katanya.
Dilahirkan pada 1947 di Bedong, Kedah, Allahyarham seorang ahli sains politik yang dikenali menerusi pandangan kritisnya berhubung perkembangan geopolitik semasa, dasar luar Malaysia dan hubungan antarabangsa.
Allahyarham juga menerajui Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) sebagai Presiden, selain pernah memegang beberapa jawatan penting dalam pertubuhan masyarakat sivil dan arena politik negara.
Dalam politik, Allahyarham antara tokoh penting dalam penubuhan PKR, selain bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden PKR pada 1999 sebelum meninggalkan politik kepartian pada November 2001.
Beliau juga pernah mempengerusikan Yayasan Perpaduan Malaysia dan berterusan menyuarakan pandangan mengenai kepentingan pendekatan dasar luar negara yang tidak berpihak, dalam menangani konflik antarabangsa.










