GOMBAK: Falsafah pemerintahan yang berteraskan kebijaksanaan, akhlak dan amanah bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi Melayu-Islam, malah telah lama terkandung dalam manuskrip sejarah seperti Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, penelitian terhadap kedua-dua manuskrip itu memperlihatkan gambaran sebuah taman yang membawa makna lebih mendalam dalam tradisi keilmuan Melayu-Islam.
“Namun, ketika mengkaji Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang, saya mendapati bahawa gambaran sebuah taman membawa makna yang jauh lebih mendalam dan telah lama berakar dalam tradisi keilmuan Melayu-Islam kita,” titah baginda.
Beliau bertitah demikian dalam titah ucapan baginda selepas menerima Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, di sini, hari ini.
Tunku Azizah berjaya menamatkan pengajian menerusi kajian baginda bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’ atau ‘The Hukum Kanun Pahang: A Study of Sovereign Malay-Islamic Constitution’.
Tunku Azizah bertitah dalam Hukum Kanun Pahang menyatakan, “Raja-raja itu ibarat seorang pekebun yang mengusahakan sebuah taman. Setiap pohon ditanam di tempat yang paling sesuai baginya.”
Titah baginda, petikan itu menerangkan bahawa seorang pekebun yang bijaksana tahu apa yang patut ditanam dan di mana tempatnya.
“Setiap pohon hendaklah memberi buah, wangian, teduhan atau khasiat penyembuh. Jika sebatang pohon sudah tidak memberi manfaat, malah memudaratkan taman, pohon itu hendaklah dicabut dan digantikan.
“Melalui nasihat tentang pohon dan taman ini, terserlah suatu falsafah pemerintahan,” titahnya.
Bsginda bertitah, raja ialah pekebun, negeri ialah taman dan para menteri dan pembesar ialah pohon-pohonnya.
Titahnya, setiap orang hendaklah dipilih berdasarkan akhlak, kebijaksanaan, rasa tanggungjawab dan keupayaan untuk memberi manfaat kepada orang lain.
“Hukum Kanun menghendaki raja melantik orang yang baik nama dan elok budi pekertinya. Para pembesar hendaklah adil, berwaspada, sabar, berani serta mampu memberikan nasihat yang bijaksana. Kuasa yang diberikan kepada mereka ialah amanah.
“Lama sebelum universiti moden membicarakan epistemologi atau pandangan alam, manuskrip kita sudah mengajarkan bahawa ilmu dan akhlak tidak dapat dipisahkan, bahawa pemegang kuasa mesti bertanggungjawab atas tindakannya, dan bahawa pemerintahan yang baik bermula dengan manusia yang baik,” titahnya. – UTUSAN











