GELSENKIRCHEN: Luciano Spalletti mengakui beliau mahu pemain Itali beraksi seperti Sepanyol selepas pasukannya tunduk 1-0 kepada La Roja, pagi ini.
Sepanyol mara ke pusingan kalah mati dalam aksi yang menyaksikan mutu permainan yang memiliki jurang besar antara pemain kedua-dua pasukan.
“Semua orang mahu meniru Sepanyol yang mempamerkan persembahan hebat sejak sekian lama. Saya terpaksa memberitahu pemain Itali akan cuba memahami cara permainan yang seimbang kerana jika kamu bermain dengan cara begitu (kalah) kamu akan berdepan kesukaran,” kata Spalletti.
Sepanyol lebih banyak menguasai bola dan mencipta deretan peluang di depan gawang lawan tetapi hanya menjaringkan satu gol ekoran persembahan cemerlang penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.
“Daripada keputusan itu menunjukkan mereka (Sepanyol) bermain seperti pasukan dan kami tidak. Bayangkan cara mereka semalam yang sepatutnya boleh menyumbat begitu banyak gol.
“Kami tidak mampu mencapai tahap permainan seperti Sepanyol,” kata Spalletti.
Meskipun tewas, Itali masih berpeluang mengekori Sepanyol ke saingan kalah mati jika mencatat keputusan menang atau seri dengan Croatia pada Isnin ini. – AFP/UTUSAN










