SERUAN agar sekolah vernakular diberi ruang, difahami dan dihormati adalah bukan sahaja tepat. Juga ia seharusnya begitu. Namun ia tidak boleh sebegitu kepada sebilangan pihak. Ini kerana sekolah vernakular, misalnya yang Cina, walaupun kewujudannya tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memang bermasalah untuk sekian lama, bermula dari zaman penjajahan Inggeris.
Antaranya dari segi penyerlahan jati diri kebangsaan oleh murid dan lepasannya dalam konteks perpaduan negara.
Isu sekolah vernakular harus disedari sebagai benar-benar wujud dan bukan sesekali tohmahan seperti yang didakwa oleh etnik Cina. Secara umumnya murid dan lepasan Cina dari sekolah Cina rata-ratanya didapati tidak nasional, antaranya tidak mengetahui bahasa Melayu sebagai bahasa negara, apatah menguasainya.
Isu generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa negara yang dititahkan Ketua Negara tidak lama dahulu, ada kaitan rapat dengan gejala tidak nasional ini.
Sehubungan ini, etnik Cina tidak boleh lagi berdalil, malah berdalih bahawa ia menjadi bebanan besar kepada anak kecil mereka untuk menguasai tiga bahasa, iaitu bahasa ibunda, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Dalam hal ini, hasrat belajar di sekolah vernakular yang merupakan pilihan ibu bapa, bukan arahan, apatah lagi paksaan oleh kerajaan, jadi, hendaklah mencari jalan penyelesaian dengan apa-apa cara jua sekalipun.
Sehubungan ini, sesungguhnya tidak pernah ada prakarsa, apatah lagi tiwikarma oleh etnik Cina misalnya ke arah itu.
Sebaliknya pelbagai saranan kerajaan untuk menangani masalah linguistik ini bukan sahaja dibantah keras, juga ditolak habis-habisan. Ia dilakukan atas alasan saranan itu akan menghakis identiti sekolah vernakular.
Dalam pada ini, nama rasmi sekolah vernakular ialah Sekolah Jenis Kebangsaan. Dengan ini, ia institusi pendidikan kerajaan yang seharusnya mengutamakan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat dan bukannya identiti etnik Cina sahaja dan dalam bentuk totok pula.
Oleh itu, ia wajib bertindak sebagai entiti nasional dan bukan sebaliknya yang mahu terus mengekalkan identiti etnisiti dan warisan Cina pada tahap tertinggi sehingga mengetepikan kepentingan nasional.
Inilah sebenarnya isu dengan sekolah vernakular, iaitu ia mahu terus bersifat totok Cina dalam kes Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Kehadiran sekitar 20 peratus murid bukan Cina di SJKC selalu digunakan untuk menepis dakwaan bahawa ia penghalang perpaduan negara. Sekiranya ini sesuatu yang positif dalam konteks perpaduan negara, mengapakah generasi hari ini, khususnya lepasan sekolah vernakular didapati masih tidak memahami budaya hidup etnik lain, misalnya Melayu yang merupakan kelompok majoriti lagi dominan. Isu ini ikut dititahkan sebagai cabaran kenegaraan lain yang genting.
Sebenarnya kehadiran ramai murid bukan Cina itu hanya jukstaposisi, iaitu kewujudan sebelah-menyebelah sahaja tanpa adanya pergaulan bebas lagi bermakna antara murid Cina dengan bangsa lain.
Sebenarnya pergaulan begitu mustahak untuk mewujudkan persahabatan mesra lagi tulen yang agregatnya apabila besar adalah penting untuk perpaduan negara.
Titah itu seterusnya menyeru kerajaan merangka dasar demi perpaduan negara yang lebih kukuh dan harmoni. Ia disarankan dilakukan pada usia muda lagi untuk melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Untuk ini, kerajaan mahu menggunakan cara Islam, dengan memanfaatkan surah tertentu yang berkaitan dengan kepentingan wujudnya perkenalan sesama kita ekoran daripada perbezaan etnisiti kita.
TERBUKA
Kejayaan dasar yang dititah itu tidak boleh prakarsa daripada kerajaan sahaja, ia harus juga tiwikarma dari semua etnik, lebih-lebih lagi yang bukan Melayu, khususnya Cina yang didapati begitu konservatif.
Dalam hal ini, etnik Cina hendaklah berpada-pada dalam mempertahan warisan mereka yang tidak dapat dinafikan sangat dibanggai kerana menjadikan mereka sombong budaya dalam erti kata hanya budaya Cina warisan yang paling superior. Mereka hendaklah berubah untuk menjadi lebih bertoleransi.
Untuk sekolah vernakular dihormati, etnik Cina terutamanya wajib mengubah sikap untuk lebih bersedia, tanpa sebarang kecurigaan langsung, bagi menerima unsur Melayu dan juga Islam dalam kehidupan nasional termasuklah segala urusan pendidikan di SJKC.
Dengan ini, apa-apa jua unsur pendidikan kebangsaan yang ditetapkan yang selalunya tidak dapat lari sepenuhnya daripada perikatannya dengan banyak unsur Melayu-Islam, hendaklah diterima etnik Cina bukan sahaja dengan hati terbuka.
Juga dengan penuh tanggungjawab kenegaraan sebagai warganegara yang sama sekali tidak boleh lagi dipertikai semangat kebanggaan dan kecintaan mereka kepada negara ini.
Untuk ini betul-betul berlaku dan dengan jayanya pula, etnik Cina khususnya hendaklah, malah wajib bertukar daripada semata-mata kelompok konservatif Cina, kepada juga kelompok nasionalistik. Sehubungan ini, ia tidak lain tidak bukan hendaklah berlaku dalam konteks pepatah Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Ini bermakna etnik Cina harus akur kepada peraturan di tempat yang bukan sahaja mereka diami, juga yang mereka akui sebagai tanah tumpah darah mereka.
Inilah petua yang sebaik-baik dan semudah-mudahnya untuk bukan sahaja sekolah vernakular mereka dihormati, juga bagi diri mereka sendiri.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










