Ilmu agama benteng dari ‘terjerat’ ajaran sesat

Ilmu agama benteng dari ‘terjerat’ ajaran sesat

ANAK-ANAK perlu dididik dengan ajaran agama agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AJARAN sesat di negara ini semakin mudah untuk disebarkan memandangkan kemudahan internet dan media sosial yang begitu meluas. Yang terbaharu ialah kumpulan yang dipanggil The Ahmadi, Religion of Light and Peace, berpangkalan di luar negara, khabarnya di United Kingdom (UK) namun disebabkan kemudahan internet, ajaran tersebut berjaya sampai ke negara ini ini melalui platform media sosial.

Akaun TikTok dipercayai milik Bishop atau ketua ajaran The Ahmadi dikatakan mendapat sambutan ketika bersiaran langsung. Akaun tersebut mempunyai lebih 30,000 pengikut.

Ajaran ini menyeru orang ramai untuk menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi didakwa telah muncul masa kini. Mereka ini mempercayai penjelmaan semula (reincarnation) selain mengakui utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum itu, muncul juga ajaran sesat yang diasaskan oleh Suhaini Mohammad atau Si Hulk, yang katanya berpusat di Switzerland. Ciri fahaman yang secara jelas mendakwa Nabi Muhammad adalah Tuhan.
Kedua-dua ajaran sesat ini adalah antara sejumlah kes yang disebarkan melalui internet dengan menggunakan platform media sosial dan berpangkalan di luar negara. Ini menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan kerana undang-undang Malaysia tidak dapat dikuatkuasakan di luar negara.

Apa yang mampu dibuat hanyalah sekadar menggunakan khidmat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses kepada laman terbabit, namun ia tidak akan berkesan sepenuhnya.

Pihak berkenaan masih boleh menukar pautan pelokasi sumber seragam (URL) yang disekat dan pengunjung masih boleh mengakses menggunakan Virtual Private Network (VPN). Sebab itulah sehingga ke hari ini pihak berkuasa masih gagal untuk menyekat sepenuhnya laman-laman lucah atau pornografi yang masuk ke negara kita kerana mereka yang terlibat di sebalik laman-laman ini juga dalam kalangan yang pintar dengan selok belok internet.

Oleh itu, jika mengharapkan kerajaan bertindak menyekat laman-laman ajaran sesat berkenaan, maka ia tidak akan berjaya sepenuhnya dan kita perlu pendekatan lain mengatasi perkara ini.
Dalam kes ajaran sesat sebelum ini lebih mudah untuk diambil tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan kerana berlaku dalam negara. Pada sekitar 2009 ketika muncul ajaran sesat iaitu seorang individu mengaku ‘Rasul Melayu’ iaitu Abdul Kahar Ahmad.

Akhirnya dia berjaya ditangkap, didakwa, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM16,500 selain menerima enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Begitu juga pada sekitar 2005, pemimpin ajaran sesat ‘kerajaan langit’, Ariffin Muhamad atau Ayah Pin, menyifatkan dirinya sebagai ‘Tuhan’ kepada semua agama dan mendakwa menerima wahyu dari langit untuk mengembangkan ajarannya di muka bumi, cuba ditangkap untuk didakwa namun dikatakan sempat melarikan diri dan bersembunyi di negara seberang hinggalah dikatakan pulang ke rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu dan meninggal pada 22 April 2016.

Semasa mengetuai ‘kerajaan langit’, Ariffin dipercayai berjaya mengumpulkan lebih 150 pengikut. Dikatakan Ayah Pin berjaya memperalat dan mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat, agama dan status penduduk di negara ini untuk menyertai ajaran yang disebarkan, termasuklah beberapa orang artis tempatan.

Walaupun ada ajaran-ajaran sesat yang disebutkan disebarkan secara maya melalui media sosial dan ada juga secara berdepan, namun persoalan yang sering berlegar di fikiran ialah kenapa masih ada segelintir dalam kalangan masyarakat masih menerima dan mempercayai dakwaan pengasas ajaran-ajaran sesat ini? Mengaku ‘Rasul Melayu’, mengaku ‘Tuhan’ mengaku ‘Imam Mahdi’ dan sebagainya yang jelas bertentangan dengan faham Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang kita pelajari sejak kecil lagi?

Adakah sebegitu dangkal dan jahil masyarakat kita pada hari ini? Hampir semua pengasas ajaran sesat mampu mempengaruhi orang ramai untuk mempercayai dan menerima ajaran mereka bahkan yang lebih aneh ialah ada dalam kalangan pengikut mereka ini berpelajaran tinggi.

PENDIDIKAN AGAMA
Menginsafi perihal ini, sedarlah kita bahawa pendidikan agama pada awal usia amat penting sekali dan membekas dalam diri. Kalau diteliti majoriti pengikut ajaran sesat adalah dalam kalangan mereka yang baharu mendapat hidayah dan tercari-cari guru kerana ingin mula mendekatkan diri dengan Tuhan pada usia yang sudah dewasa setelah lama lalai dan mungkin juga bergelumang dengan dosa.

Disebabkan itu, sesiapa sahaja yang ditemui yang dilihat mampu membawa mereka dekat dengan Tuhan, nescaya golongan ini sanggup menjadi pengikut dan taat kepadanya.

Justeru, apa ibu bapa boleh lakukan hari ini demi menjaga akidah anak-anak agar tidak mudah terpengaruh dan terpesong dengan ajaran sesat, lebih-lebih yang disebarkan melalui media sosial (yang kita sendiri tidak mampu mengawal apa yang anak-anak layari) ialah dengan membekalkan ilmu agama secukupnya.

Apatah lagi, sekiranya mereka berjaya menyambung pengajian di luar negara dan terdedah dengan pelbagai ajaran sesat dan fahaman songsang.

Ketika masih kanak-kanak dan remaja, dekatkan mereka dengan majlis-majlis pengajian agama, mendorong mereka meluangkan masa menghadiri program pengajian berkitab atau daurah mahupun talaqqi dengan asatidzah yang jelas manhaj fikrah ASWJ agar dengan ilmu, barakah majlis ditambah dengan petunjuk hidayah daripada Allah dapat menjadi bekalan buat mereka.

Ini juga penting sebagai asbab untuk terselamat daripada fitnah ajaran sesat. Moga kita dan zuriat kita semua diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah akhir zaman ini.-UTUSAN

DR. Nik Roskiman Abdul Samad ialah Felow Utama Pusat Kajian Syariah, Undand-Undang dan Sains Politik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN