Harap tiada sentimen 3R dalam PRK Kuala Kubu Baharu

Harap tiada sentimen 3R dalam PRK Kuala Kubu Baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Kuala Kubu Baharu bakal berlangsung dalam masa dua minggu lagi. Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai membuat pengisytiharan nama calon-calon yang bakal bertanding, maka akan bermulalah tempoh berkempen yang dijangka sengit dan panas membara.

Apa tidaknya? Belum pun memasuki tempoh berkempen, sudah ada yang riuh-rendah menjual cerita. Malah, tanpa PRK ini pun, suhu politik tanah air kita sememangnya sentiasa panas membara. Ada-ada sahaja cerita baharu yang belum tentu benarnya atau cerita lama yang dikitar semula berkali-kali. Belum masuk lagi langkah ini dan itu.

Sembang politik tak pernah habis, seolah-olah itulah tugas hakiki sesetengah pemimpin politik. Ada yang suka menabur janji, biarpun janji lama entah bila akan ditunaikan. Ada pula yang hanya sibuk mencari kelemahan lawan sedangkan kawasan sendiri tidak dijaga.

Walhal, alangkah baiknya jika para pemimpin politik bersikap lebih bertanggungjawab dan mendahulukan nasib rakyat yang memilih mereka daripada berpolitik tanpa henti, tak kira siang atau malam. Masih ramai rakyat yang terkapai-kapai akibat dipukul ombak dan badai kehidupan selain memerlukan sokongan daripada wakil rakyat.

Dengan bermulanya tempoh berkempen hari ini sehinggalah pukul 11.59 malam, 10 Mei nanti, DUN Kuala Kubu Baharu akan menjadi kawasan tumpuan para pemimpin politik negara. Malah, yang liat melawat kawasan sendiri pun akan membuat penampilan istimewa di Kuala Kubu Baharu.

Jentera-jentera parti yang terlibat daripada seluruh negara berserta parti-parti sekutu mereka akan mula berkampung di sini untuk memancing undi. Jalan raya dan kedai makan bakal sibuk dengan kehadiran petugas parti dari luar kawasan.

Seperti biasa, setiap kali menjelang pilihan raya sudah pasti banyak janji-janji manis bergula akan ditabur kepada para pengundi, apatah lagi daripada pihak yang merasa sukar untuk menang. Tidak kurang juga kenyataan-kenyataan politik yang digarap bagi memikat hati pengundi.

Walaupun pada hakikatnya keputusan PRK ini tidak akan merubah atau menggugat kedudukan kerajaan negeri Selangor dan jauh sekali kedudukan kerajaan Pusat, namun ia akan menjadi seakan isyarat tentang arah sokongan pengundi di Selangor.

Walau bagaimanapun, faktor-faktor lain seperti jumlah peratus turun mengundi harus diambil kira dalam menilai hal ini.

Seperti mana yang berlaku dalam kebanyakan PRK, ramai pemerhati politik menjangkakan peratus turun mengundi pada PRK kali ini berkemungkinan besar lebih rendah berbanding ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Pengundi mungkin merasa tiada keperluan untuk membuat pemilihan kerana apa sahaja keputusannya, kerajaan negeri tetap sama. Jika hal ini berlaku, keputusannya tidak akan memberi petunjuk yang tepat tentang trend sokongan semasa para pengundi.

Mampukah Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu daripada genggaman Pakatan Harapan (PH) seperti yang heboh digembar-gemburkan hari ini? Kita tunggu sahaja keputusannya dua minggu lagi.

Amatlah penting bagi PN membuktikan bahawa mereka juga boleh diterima di Pantai Barat khasnya di Selangor dan tidak cuma gah di Pantai Timur dan utara Semenanjung sahaja untuk bersaing di peringkat Pusat.

Pakatan kerajaan pula perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan DUN ini kekal milik mereka, agar tidak diperlekehkan oleh pihak lawan.

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Justeru, mereka harus bijak menilai sentimen pengundi. Faktor kemenangan juga banyak bergantung kepada seramai manakah pengundi putih yang akan turun membuang undi. Maka, jentera parti akan bekerja keras agar mereka keluar mengundi.

DUN Kuala Kubu Baharu merupakan kerusi campuran yang mana pecahan terbesar pengundinya terdiri daripada pengundi Melayu, diikuti Cina, India dan lain-lain termasuk Orang Asli.

Pada zaman kekuasaan Barisan Nasional (BN), kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dimiliki oleh MCA. Namun, sejak 2023, kerusi ini dirampas DAP sehinggalah kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Untuk memenangi PRK ini, PN sudah tentu menyasarkan undi Melayu yang mereka dakwa kini memihak kepada mereka dibantu oleh perpecahan dalam UMNO Selangor.

Sungguhpun begitu, walaupun pengundi Melayu merupakan pecahan pengundi terbesar bagi DUN ini, namun undi daripada pengundi Melayu semata-mata tidak akan dapat memberikan kemenangan kepada calon yang bertanding.

Di kerusi campuran dengan komposisi kaum seperti ini, calon dan parti yang bertanding mesti berjaya mendapat sokongan daripada semua pengundi tanpa mengira bangsa.

Pelbagai ramalan dibuat oleh pakar, termasuk jugalah ramalan yang dikeluarkan dengan tujuan mempengaruhi sentimen pengundi atas pagar yang mungkin akan membuat keputusan pada saat-saat akhir.

 

MAMPUKAH Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dari genggaman Pakatan Harapan (PH) seperti yang heboh mereka gembar-gemburkan hari ini?

 

HARAPAN
Sudah tentu kita mengharapkan sebuah pilihan raya yang sihat dan aman serta bebas daripada ugutan, fitnah, politik wang dan unsur negatif lainnya. Tiada gabungan parti yang boleh mendabik dada bahawa merekalah yang paling bersih kerana semuanya mempunyai masalah, termasuk kes mahkamah yang melibatkan pemimpin mereka.

Bagi yang bertandang ke Selangor untuk berkempen, ingatlah bila bertamu ke tempat orang, hormatilah tuan rumahnya termasuk adat dan undang-undang setempat. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkali-kali bertitah supaya isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan raja-raja Melayu tidak disentuh oleh mana-mana pihak.

Cukup-cukuplah membawa naratif lama dan permainan politik kotor yang memecah-belahkan rakyat. Semoga pengundi DUN Kuala Kubu Baharu akan membuat pilihan yang bijak.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN