ALAMAK Raya Lagi! Lagu raya dendangan De Fam menjadi fenomena perpaduan dalam suasana rakyat Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri pada tahun ini. Pelbagai aksi dan rakaman cukup bermakna menyerlahkan lagi makna perpaduan rakyat dalam meraikan perayaan dalam suasana yang cukup harmoni dan membanggakan.
Keharmonian yang diterjemahkan oleh lagu ini cukup signifikan dengan era kini menyambut Aidilfitri sehingga tersebar meluas merentas benua. Sudah tentu karya ini menjadi ‘duta kecil’ kepada citra perpaduan Malaysia yang unik.
Kita semua perlu membaca serta menghayati Dasar Perpaduan Negara Membangun Malaysia Madani melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian yang menuntut iltizam bagi merealisasikan citra perpaduan agar terus utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
Peristiwa 13 Mei 1969 adalah rakaman sejarah yang benar-benar memberi keinsafan buat kita semua. Amat penting untuk memelihara perpaduan ibarat kaca yang mudah retak dan pecah.
Pelbagai usaha kita laksanakan secara bijaksana dan berstrategi agar perpaduan negara ini dapat diperkasakan dan antara yang paling terpenting ialah menerusi prinsip Rukun Negara dan tumpuan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sejak 1888, di Johor Bahru dengan penubuhan Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa Diraja sehinggalah kepada penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kini merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan, kesedaran bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan pendidikan negara terus ulung menjadi alat paling dominan dalam memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai keturunan dalam negara ini.
Mengapa kita begitu menitikberatkan bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan yang paling signifikan mencitrakan perpaduan negara ini? Sudah tentu kerana bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca dan telah direkodkan mampu mengupayakan dalam urusan bernegara, diplomatik, bidang ilmu merangkumi juga ekonomi.
Menurut S.Kumaran (2008) dalam konteks kebangkitan semangat kebangsaan menuntut kemerdekaan negara Malaysia oleh pelbagai kaum, bahasa menjadi salah satu tunjang yang penting. Sebagai negara yang memiliki pengalaman yang luas di bawah campur tangan pelbagai kuasa asing, para pemimpin yang mengemudi perjuangan kemerdekaan amat bijaksana apabila meletakkan bahasa ini sebagai agenda utama dan khusus dalam menyatupadukan rakyat negara yang ingin bebas merdeka.

Menelusuri sejarah yang panjang ini, perpaduan nasional menjadi tanggungjawab bersama semua warganegara dan pemimpin memainkan peranan penting dalam menetapkan contoh yang positif dan menyelaraskan matlamat perpaduan negara. Dengan usaha bersama dan kesedaran kolektif, Malaysia boleh terus maju sebagai sebuah negara yang berbilang budaya dengan perpaduan yang kukuh.
Kami melihat kepada cabaran isu kesantunan perlu dikembalikan dengan penggunaan bahasa yang baik dan berupaya mencerminkan peri laku dan tindakan yang bertatasusila sehingga boleh membawa kepada matlamat kehidupan sejagat yang harmoni dan bebas konflik.
Kesantunan dalam pengurusan perbezaan dan pendekatan integrasi adalah penting untuk membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup dalam harmoni.
Hal ini demikian akan membolehkan setiap individu mengekalkan identiti dan ciri kebudayaan mereka sambil merangkul kesamaan dan kebersamaan. Keharmonian dan kesejahteraan dalam hubungan masyarakat memerlukan pemahaman yang mendalam tentang peranan individu dan nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dalam interaksi seharian. Ini memerlukan usaha bersama dari semua lapisan masyarakat.
Mendepani cabaran global, kesedaran ibu bapa terhadap penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar tidak wajar dijadikan alasan untuk meminggirkan roh bahasa kebangsaan yang memiliki kesantunan citra Malaysia dalam jiwa anak-anak.
Pendekatan yang berhemah dan penuh rasa hormat terhadap perbezaan perlu diterapkan. Ini termasuk mempromosikan sesi dialog antara pelbagai kumpulan masyarakat, menggalakkan pemahaman dan toleransi antara agama dan budaya, serta memastikan bahawa hak asasi manusia dihormati untuk semua individu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang budaya.
Indirawati (2005) berpendapat kesantunan amat penting dan masyarakat di dunia menganggap ia mencerminkan budaya sesuatu masyarakat.
TINDAKAN PROAKTIF
Selain itu, negara juga perlu mengambil tindakan proaktif untuk mengatasi ancaman krisis ekonomi, politik dan sosial yang boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan masyarakat. Ini mungkin melibatkan pelaksanaan dasar-dasar yang adil dan inklusif, peningkatan pendidikan dan peluang ekonomi untuk semua lapisan masyarakat serta memperkuat institusi-institusi demokrasi dan keadilan.
Tahukah anda kanak-kanak di seluruh dunia membaca tentang Malaysia yang dikongsikan oleh laman sesawang National Geographic Kids? Perkongsian itu menyebut Malaysia memiliki sejarah unik dan tersendiri selain memiliki banyak keistimewaan. Sudah tentu hal kesantunan yang dimiliki oleh rakyat negara ini menjadi ‘kimia yang terikat’ untuk memikat masyarakat dunia luar mengenali Malaysia dan jatuh cinta dengan negara ini.
Justeru, perpaduan nasional memerlukan kerangka kerja yang komprehensif dan nilai-nilai seperti keadilan, penerimaan dan toleransi sebagai asas yang penting. Hubungan baik dalam masyarakat berbilang bangsa tidak boleh dijadikan taruhan oleh pihak yang mempunyai agenda peribadi atau kelompok. Keamanan dan kestabilan negara adalah keutamaan yang harus dijaga oleh semua pihak, termasuk pemimpin pelbagai peringkat.
Perpaduan berbilang kaum ialah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara. Dengan pendekatan yang berhemah dan tindakan yang bersepadu, negara dapat mengatasi cabaran yang dihadapi dan membina masyarakat yang lebih harmoni, aman dan bersatu.
Kita perlu ingat semula jasa pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara dengan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










