AKHIR minggu lalu, berulang lagi kes pelajar meninggal dunia akibat dipukul di asrama sekolah. Tragedi yang berlaku di asrama Kolej Vokasional Lahad Datu di Sabah ini memperlihatkan betapa seriusnya masalah sosial dalam kalangan remaja yang kini melanda negara.
Sukar membayangkan bagaimana perkara sebegini boleh berlaku di asrama sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat buat penghuninya. Tambahan pula, asrama sekolah semestinya mempunyai peraturan bagi mendisiplinkan pelajar serta mewujudkan suasana harmoni sesama mereka.
Sekolah bukan sekadar tempat pelajar menimba ilmu, tetapi juga tempat bagi pelajar dididik dari sudut akhlak, kerohanian serta disemai perasaan hormat, kasih sayang dan belas kasihan sesama insan. Jadi, di manakah silapnya sehingga kes separah ini boleh berlaku berkali-kali?
Kes sebegini amat tragis dan boleh menyebabkan kesan trauma yang mendalam terhadap keluarga dan rakan-rakan mangsa serta para penghuni lain di asrama berkenaan. Maka, pihak berwajib harus memberi perhatian serius dalam menangani masalah ini bagi mengelakkan timbulnya masalah susulan ekoran daripada apa yang telah berlaku.
Nyawa manusia tiada galang gantinya. Berapa beratnya mata memandang, beratlah juga bahu memikul. Bayangkan betapa sedih dan remuknya perasaan ibu bapa dan keluarga mangsa yang selama ini percaya bahawa anak mereka akan selamat dan terjaga selama berada di asrama.
Bayangkan pula perasaan rakan mangsa dan penghuni asrama tersebut setelah melihat kejadian kejam berlaku di asrama yang mereka tempati.
Bahkan, tidak menghairankan jika terdapat ibu bapa dan pelajar daripada sekolah lain turut merasa bimbang dan tidak selamat. Lebih-lebih lagi dengan laporan kes-kes buli yang banyak berlaku di sekeliling kita termasuk di sekolah.
Sampai bilakah kita akan berhadapan dengan kes-kes jenayah serupa ini di sekolah? Sudah tentu tindakan tuntas harus diambil oleh pihak berwajib dan para ibu bapa bagi mengelak kejadian begini berulang. Jangan kita tunggu sehingga keadaan menjadi semakin parah barulah mahu mula bertindak.
Hal ini berpunca daripada kurangnya akhlak dan keupayaan diri untuk berfikir dengan waras sebelum bertindak. Memukul orang lain ialah satu kesalahan dan bukannya cara untuk membuktikan kekuatan fizikal si pemukul.
Sebagai manusia bertamadun, kita semua mempunyai tanggungjawab membentuk kehidupan bermasyarakat yang harmoni. Jika ketika di sekolah, sudah ada pelajar yang berani mencederakan orang lain, maka, nantinya kita akan berhadapan dengan masalah sosial yang amat berat.
Siapakah yang harus dipersalahkan? Daripada kita saling menuding jari dan mencari pihak untuk dipersalahkan, lebih baiklah jika semua pihak bermuhasabah bagi mengenal pasti kelemahan sendiri serta berusaha memperbaikinya.
Pihak sekolah harus bertanggungjawab kerana menjadi tugas dan tanggungjawab mereka menjaga keselamatan pelajar ketika di kawasan sekolah. Namun paling penting sekali, ibu bapa juga mesti menunaikan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka sejak awal lagi agar berakhlak mulia.
Sekolah dan ibu bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membentuk akhlak dan membina sahsiah para pelajar. Kedua-duanya tidak boleh melepaskan tanggungjawab masing-masing kepada pihak lain.
Ramai juga ibu bapa yang memberi alasan sibuk dan tidak mempunyai masa lapang untuk mendidik atau mengawasi perkembangan anak-anak. Bagi mereka, cukuplah dengan duit dan keperluan material yang mereka sediakan untuk kanak-kanak.
Ada yang berpendapat semua itu ialah tanggungjawab guru sekolah. Sejak kecil, anak-anak dibiarkan berbuat sesuka hati tanpa ditegur walaupun anak mereka bercakap kasar, tidak beradab dan mengganggu orang lain. “Biarlah, budak-budak, nanti bila dah masuk sekolah cikgu ajarlah” sering menjadi alasan.
Masuk musim perayaan, kita akan mendengar pelbagai kisah yang berlaku ketika rumah terbuka. Kanak-kanak berlari-lari hingga merosakkan barangan tuan rumah, sengaja mencurah minuman dan makanan, mengambil barangan orang lain – banyak sahaja isu yang sering timbul.
Ada yang mengganggu tetamu lain dan berbuat sesuka hati sehingga mengalahkan ketika berada di rumah sendiri. Ibu bapa mereka leka makan dan berbual, seolah-olah tidak merasa janggal dengan kenakalan anak-anak mereka.
Ada ibu bapa yang berpendirian bahawa anak-anak mesti dibiarkan bebas berbuat apa sahaja. Mereka berpendapat bahawa disiplin dan peraturan akan merencatkan perkembangan minda dan kreativiti anak-anak. Itulah realiti yang kita hadapi hari ini.
Di sekolah rendah, ramai guru-guru terpaksa mengambil alih tugas mendidik anak-anak yang selama ini dibiarkan bebas berbuat sesuka hati. Dalam keadaan sebegini, bukan mudah bagi guru untuk membentuk sahsiah murid yang datang daripada latar belakang yang berbeza.

PERUBAHAN
Persoalannya, apakah yang kita mahukan daripada sistem pendidikan negara? Pelajar yang mendapat gred tinggi semata-mata ataupun kejayaan bersifat holistik yang merangkumi kemahiran insani, berketerampilan, berakhlak tinggi dan sebagainya dan bukannya hanya tertumpu kepada perolehan A sahaja?
Jika gagal membentuk sahsiah murid sejak awal, kita akan menghadapi masalah serius di peringkat yang lebih tinggi. Akhirnya, negara akan bermasalah biarpun majoriti besar pelajarnya berjaya mendapat keputusan yang paling cemerlang dalam peperiksaan.
Sekolah bukanlah tempat ajaib yang akan menyelesaikan semua masalah yang dihadapi para pelajarnya. Semua pihak berkaitan harus memainkan peranan masing-masing bagi mencorakkan generasi yang bakal mewarisi negara.
Hentikan keganasan dan jenayah di sekolah. Jadikan sekolah tempat yang selamat dan ceria untuk menuntut ilmu serta mengembangkan bakat pelajar di samping membina sahsiah diri sebagai anak bangsa yang bijaksana dan patriotik.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










