‘LOMPAT tikam’ merupakan sejenis kuih tradisional Melayu yang sangat popular di Pantai Timur. Mempunyai dwi lapisan, bahagian bawah kuih ini berwarna hijau dilengkapi sebatian rasa pandan, manakala bahagian atasnya pula berwarna putih, lemak bersantan dengan dilebihkan sedikit rasa masinnya. Kuih ini hanya lengkap apabila dimakan bersama air gula Melaka.
Berbeza dengan lompat tikam versi Kelantan yang dimakan bersama pulut berwarna merah, lompat tikam versi Terengganu pula tidak dihidangkan bersama pulut.
Di bulan Ramadan, lompat tikam merupakan antara juadah yang seringkali dihidangkan oleh ibunda di kampung halaman. Teksturnya yang lembut dan sejuk selepas didinginkan amat melegakan esofagus yang kekeringan selepas seharian berpuasa.
Lebih dua dekad berada di ibu kota, saya menyedari kelibat lompat tikam sememangnya jarang kelihatan di bazar Ramadan. Kuih-muih tradisional tersebut diganti dengan juadah versi baharu seperti donut peach, mochi ala Korea, potato spring dan popia crab ragon. Menyedari evolusi tersebut, terasa benar sama ada citarasa masyarakat kini kian berubah ataupun kerana umur saya yang semakin meningkat.
EKONOMI
Pada 9 Januari lalu, Bank Dunia memberi amaran bahawa pertumbuhan ekonomi dunia pada 2024 dijangka lebih perlahan buat tiga tahun berturut-turut. Perkara ini dijangka memburukkan lagi masalah kemiskinan dan kadar hutang yang membebankan di kebanyakan negara membangun.
Laporan Bank Dunia tersebut juga memaklumkan setelah dilanda pandemik Covid-19, perang di Ukraine, inflasi, diikuti kadar faedah yang melonjak di seluruh dunia, separuh pertama 2020-an dijangka bakal menyaksikan prestasi setengah dekad terburuk dalam tempoh 30 tahun lalu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedunia juga dijangka meningkat kepada 2.4 peratus pada 2024, lebih perlahan berbanding peningkatan 2.6 peratus pada 2023, 3 peratus pada 2022 dan 6.2 peratus pada 2021. Statistik ini menzahirkan pertumbuhan lebih lemah sepanjang 2020 hingga 2024, berbanding tempoh krisis kewangan sedunia sepanjang 2008 hingga 2009, krisis kewangan Asia pada akhir 1990 dan kelembapan ekonomi pada awal 2000.
Ketua pakar ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Indermit Gill menyatakan pertumbuhan jangka terdekat akan kekal lemah, menyebabkan banyak negara membangun, terutamanya negara termiskin, terjerat dalam perangkap hutang dengan kadar yang melumpuhkan serta akses kepada makanan berkurangan untuk hampir satu daripada setiap tiga orang.
Malah menurut Bank Dunia lagi, menjelang akhir 2024, seorang bagi setiap empat penduduk negara membangun dan 40 peratus daripada negara berpendapatan rendah akan menjadi lebih miskin berbanding keadaan mereka sebelum pandemik.
PERANCANGAN
Sungguhpun pelbagai amaran dan tip diberikan pakar dunia bagi mendepani kemelut ekonomi menjelang 2020-an, ironinya, laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2023 menunjukkan secara purata sebanyak 19,228 tan sisa makanan dibuang setiap hari di bulan Ramadan.
Angka ini menjadikan jumlah kumulatif pembuangan sisa makanan sepanjang bulan berkenaan sebanyak 576,840 tan. Jumlah ini juga merekodkan peningkatan sisa buangan bagi bulan yang sama pada 2022 dan 2019 yang masing-masing berjumlah 252,521 tan serta 208,143 tan.
Pertambahan sisa makanan pada bulan Ramadan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding kutipan di bulan lainnya. Malah angka yang direkodkan tersebut menzahirkan pertambahan signifikan sisa makanan yang dibuang pada bulan yang mana umat Islam digalakkan untuk berhemah dan mengelakkan pembaziran.
Oleh kerana sisa makanan merupakan lebihan makanan yang tidak habis dimakan atau makanan basi, maka ada baiknya semua pihak sama ada terdiri daripada individu, ibu bapa, pengusaha gerai makanan mahupun pihak pengurusan hotel bermuhasabah dan meneliti pola perbelanjaan serta penyediaan makanan harian.
Bukan hanya mengelakkan pembaziran, namun sikap berhemah ini mampu mendidik diri untuk lebih bertanggungjawab, memelihara kestabilan ekonomi keluarga di samping melestarikan alam sekitar.
Kebaikan-kebaikan yang diserap kepada diri ini bukanlah tidak berasas. Ini kerana, menurut laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Bulanan Purata 2016 hingga 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 15.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah diperuntukkan bagi perbelanjaan makanan dan minuman di luar rumah, manakala 16.3 peratus lagi dimanfaatkan untuk membeli bahan mentah bagi penyediaan hidangan.
Daripada laporan tersebut juga didapati hanya 1.4 peratus perbelanjaan dimanfaatkan untuk pendidikan, 2.8 peratus untuk kesihatan dan 4.0 peratus untuk insurans dan perkhidmatan kewangan.
Justeru, sekiranya pembuangan sisa makanan dapat dikurangkan, maka berkemungkinan peruntukan tersebut dapat disalurkan dengan lebih baik untuk keperluan lainnya dan dimanfaatkan demi kestabilan ekonomi keluarga. Apatah lagi apabila kajian yang saya jalankan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) mendapati punca utama pembubaran perkahwinan di negeri berkenaan adalah disebabkan faktor ekonomi.
KECUKUPAN
Allah SWT menerusi ayat 43 hingga 45, surah Al-Najm berfirman, “Dan bahawasanya Dialah yang menjadikan seseorang tertawa dan menangis. Dan bahawasanya Dialah yang mematikan dan menghidupkan. Dan bahawasanya Dialah yang menciptakan pasangan- lelaki dan wanita.” Seterusnya Allah SWT menerusi ayat 48 berfirman “Dan bahawasanya Dialah yang memberikan kekayaan dan kecukupan.”
Sesungguhnya kekayaan, kecukupan mahupun kemiskinan merupakan perkara relatif yang saling berkait dengan minda, spiritual dan emosi seseorang. Kadang-kadang individu yang zahirnya kelihatan senang, sebenarnya merasakan hidupnya di lembah kemiskinan, justeru menjadi hamba kebendaan.
Namun, kadangkala pula individu yang dilihat serba kekurangan, jiwanya tenang menjadi tuan perasaan kerana ditunjangi keredaan.
Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang bakal bertandang, uruslah perbelanjaan dengan berhikmah. Suami, isteri atau ahli keluarga berperanan menyusun komitmen kewangan berdasarkan keperluan masing-masing, menghargai diri menerusi pengambilan makanan bernutrisi, mengelakkan pembaziran dan menambah gizi peribadatan.
Indeks Kebuluran Global 2023 melaporkan terdapat lebih 735 juta penduduk dunia yang diancam kebuluran, termasuklah rakyat di negara yang bergelut dengan peperangan seperti Palestin, Yaman dan Sudan. Rentetan itu manfaatkanlah Ramadan sebagai pusat pentarbiyahan, menguatkan antibodi keimanan, menggandakan sifat mahmudah serta menikam nafsu mazmumah.-UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










