“KEMER-DEKAAN media adalah salah satu wujud kedaulatan rakyat yang berasaskan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan dan kedaulatan undang-undang.” – Pasal 2 Undang-Undang Nombor 40 Tahun 1999 Indonesia.
Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia merupakan salah satu RUU yang menjadi perhatian pada tahun ini. Cita-cita mewujudkan Majlis Media Malaysia (MMC) ini bukanlah suatu kisah yang baharu memandangkan sejak 2019 lagi, Kabinet ketika itu bersetuju mewujudkan MMC bagi menjaga kepentingan media dan para pengamalnya.
Jawatankuasa sementara diwujudkan untuk merangka draf RUU dan kini telahpun diserahkan kepada pihak kementerian.
RUU ini sebenarnya bukan sahaja menjadi perhatian bagi pengamal media tetapi juga ahli masyarakat umum.
Menerusi penubuhan MMC, diharapkan dapat menghakupayakan lagi pengamal media dan mewujudkan pengamal media yang lebih bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.
Tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Digital (ketika itu) Fahmi Fadzil menyatakan bahawa RUU ini akan dibentangkan pada Mac 2024. Kemudian ketika pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia, Menteri Komunikasi memaklumkan bahawa draf RUU MMC ini berada di tahap terakhir sebelum dibentangkan ke Kabinet.
Banyak negara-negara yang mempunyai sebuah majlis yang menyelia perjalanan pengamal media atau wartawan. Misalnya, Australia mempunyai Majlis Wartawan Australia yang ditubuhkan pada 1976. Negara jiran, Indonesia pula sememangnya terkenal dengan kebebasan media dan mempunyai pertubuhan yang sama untuk menyelia hal-hal berkenaan dengan media di Indonesia. Begitu juga dengan India yang mempunyai Majlis Wartawan India yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Wartawan 1978. Ini hanyalah sebahagian negara-negara luar yang mempunyai majlis media atau wartawan.
Walau bagaimanapun, RUU MMC ini masih belum diketahui butiran perinciannya. Tidak dapat dipastikan model perundangan yang mana satu telah dijadikan rujukan utama dalam penubuhan MMC. Hakikatnya pengamal media di Malaysia selayaknya diiktiraf setanding dengan profesion yang lain seperti peguam, doktor atau jurutera yang mempunyai majlis khusus yang diwujud di bawah perundangan untuk mengawal selia perjalanan profesion berkenaan.
Inilah sebabnya RUU ini dilihat bertepatan untuk diwujudkan supaya adanya satu badan khas yang mengawal tindak tanduk pengamal media dan syarikat-syarikat media.
Sekiranya disoroti perundangan di India misalnya, di bawah Akta Majlis Wartawan 1978, ia ada menjelaskan secara khusus dalam seksyen 13 berkenaan dengan objektif dan peranan majlis. Antaranya Seksyen 13(1) menyebut bahawa objektif majlis ini adalah untuk memelihara kebebasan wartawan dan untuk mengekalkan serra meningkatkan tahap kualiti akhbar dan agensi berita di India. Peranan majlis ini turut diterangkan dalam Subseksyen 2 yang memperuntukkan, antara lain, membina kod perlakuan bagi akhbar-akbar, agensi berita dan wartawan dengan tahap profesional yang tinggi.
Tidak cukup dengan itu, Majlis Wartawan di India juga mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana kandungan yang menyalahi tahap kewartawanan, etika ataupun kepentingan awam selepas diberikan peluang kepada wartawan terlibat memberikan penjelasan.
Majlis Wartawan di India juga telah diberikan kuasa di bawah akta khas untuk menjalankan apa-apa inkuiri dan memanggil mana-mana pihak untuk memberikan keterangan, yang mana inkuiri yang dijalankan oleh majlis ini dianggap sebagai prosiding kehakiman menurut Kanun Keseksaan India. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 15 Akta Majlis Wartawan 1978.
Mekanisme bagi memanggil dan menjalankan inkuiri ini juga wujud di Australia dan New Zealand. Majlis-majlis media atau wartawan di sana mempunyai hak untuk memanggil pihak media untuk menjawab aduan awam yang dibuat kepada majlis, bila mana pihak media boleh mempertahankan diri dengan memberikan justifikasi terhadap kandungan yang diterbitkan.
Malah di kedua-dua negara ini misalnya, keputusan berkenaan aduan akan diterbitkan di laman sesawang masing-masing untuk menunjukkan tindakan yang telah diambil.
BEBAS
Ini juga menjadi justifkasi kepada komposisi ahli dalam MMC yang sepatutnya bebas daripada pengaruh pihak kerajaan seperti majlis atau badan profesion lain di Malaysia. MMC diharapkan menjadi bebas dan diatur dengan peraturan yang tersendiri untuk mengawal tindak tanduk setiap pengamal media. Sebarang kod etika yang diperkenalkan oleh MMC kelak diharapkan mempunyai kesan perundangan dan bukan sahaja terbatas kepada amalan terbaik industri semata-mata.
Sekiranya sebarang kod dan garis panduan mempunyai kesan perundangan, mahu ataupun tidak, pengamal media dan syarikat berkenaan dengan media terpaksa menuruti peraturan dan garis panduan tersebut untuk mengelakkan kesan hukuman dalam perundangan.
Diharapkan juga agar definisi media diperluas dengan meliputi media dalam talian.
Pengamal media tradisional lazimnya adalah seorang wartawan yang bertanggungjawab menjaga nama baik syarikat media yang mereka wakili. Namun dikhuatiri kebanjiran media dalam talian kini dipenuhi dengan wartawan tanpa tauliah yang akan mengganggu ekosistem kewartawanan dan media.
Tuntasnya, penubuhan MMC ini diharapkan menjadi pemangkin kepada nilai kewartawanan yang mengikut acuan tempatan.
Kebebasan dan integriti dalam laporan masih menjadi satu keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang berfikiran matang dan bebas.
Semestinya kebebasan media perlu diimbangkan dengan kepentingan awam dalam mematuhi Perlembagaan Persekutuan kerana inilah kemuncak kepentingan media dalam masyarakat.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










