E-rokok: Alternatif atau ancaman?

E-rokok: Alternatif atau ancaman?

PERTUBUHAN Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa Majlis Raja-raja mempertimbangkan permohonan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kesihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) meletakkan merokok sebagai salah satu ancaman kesihatan awam terbesar.  Merokok membunuh lebih lapan juta orang setahun di seluruh dunia dengan kira-kira 1.3 juta kematian adalah dalam kalangan perokok pasif. 

Terdapat kira-kira 1.3 bilion perokok ketika ini atau sekitar 22.3 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia dengan 80 peratus daripada mereka berada di negara berpendapatan rendah dan sederhana. 

Daripada jumlah itu, empat juta orang berada di Malaysia atau kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan lelaki dewasa di negara ini, satu peratusan yang sangat tinggi.

PUNCA

Merokok juga kekal sebagai salah satu punca utama penyakit paru-paru kronik (COPD). Dianggarkan terdapat 392 juta orang yang menghidap COPD dan 75 peratus daripada mereka tinggal di negara miskin dan membangun.

Isu rokok juga sangat kompleks untuk ditangani dan tidak sama di antara negara. Kaedah yang digunakan juga tidak boleh sama kerana latar belakang masyarakat yang berbeza. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tiada tahap pendedahan yang selamat terhadap tembakau dan badan dunia itu juga belum mahu menerima hasil kajian saintifik yang dilakukan oleh pemain industri tembakau. 

Menurut kajian, 60 peratus daripada perokok berazam untuk berhenti tetapi tidak ramai yang berjaya. Walaupun menyedari bahaya merokok tetapi ketagihan terhadap nikotin membuatkan mereka mengabaikan bahaya itu. 

Kempen antirokok yang diadakan sejak sekian lain gagal mencatatkan kejayaan yang memberangsang. Namun, semenjak wujud alternatif kepada rokok seperti rokok elektronik, vape dan terapi pengganti nikotin, jumlah perokok mula menurun terutama di negara maju. 

AMARAN

Dalam Sidang Kemuncak E-rokok edisi ke-11 yang menghimpunkan saintis, profesor perubatan, penyelidik, pakar kesihatan awam dan juga pertubuhan bukan kerajaan di Royal College of Physicians di London baru-baru ini, pakar-pakar memuji inisiatif masa depan tanpa asap tetapi dalam masa sama, memberi beberapa amaran.

Antara amaran itu ialah langkah itu harus dilaksanakan secara berperingkat untuk mengekang pasaran gelap rokok dan juga akses terhadap produk e-rokok dalam kalangan generasi muda terutama mereka yang tidak pernah merokok.

Mereka berkata, strategi tepat memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan bahaya tembakau tetapi menegaskan, larangan total terhadap semua produk tembakau secara serta-merta bukan strategi yang berkesan.

“Tindakan perundangan yang keras tidak berkesan terutama di negara membangun dan kurang membangun. Begitu juga dengan langkah menaikkan cukai. Kenaikan cukai akan membawa kepada peningkatan aktiviti penyeludupan. Perokok akan beralih kepada rokok haram untuk memenuhi ketagihan nikotin mereka,’’ kata pakar-pakar berkenaan.

Dalam konteks Malaysia, sempadan laut yang sangat panjang menjadikan usaha membanteras penyeludupan rokok sebagai mustahil. Walaupun rondaan dilakukan sepanjang masa dan rampasan dilakukan setiap minggu tetapi masih banyak yang terlepas. 

TINDAKAN penguatkuasaan yang berterusan sangat diperlukan dalam mengekang kebanjiran rokok tidak sah dalam pasaran.

Nielsen Inc. dalam laporan Kajian Rokok Haram (ICS) di Malaysia mendapati, kadar rokok haram di peringkat kebangsaan pada 2022 adalah 56.6 peratus, salah satu yang tertinggi di dunia.

MULAKAN

Sidang kemuncak itu juga melihat e-rokok seperti vape, tembakau yang dipanaskan dan pek kecil nikotin yang diletakkan dalam mulut sebagai alternatif kepada rokok tradisional, malah beberapa negara seperti United Kingdom (UK) dan New Zealand antara yang sudah memulakan langkah ke arah itu.

Sebagai contoh, di UK, program Swap To Stop dilaksanakan di bawah pembiayaan kerajaan. Di bawah program itu, sejuta kit permulaan vape diberikan kepada perokok yang mahu berhenti bersama dengan sokongan dari segi perubahan tingkah laku.

Pakar kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh ketika ditemui di luar sidang kemuncak itu berkata, jika vape dilihat sebagai alternatif, undang-undang yang lebih ketat perlu diperkenalkan.

Katanya, vape yang dijual mestilah dipastikan tidak menggunakan bahan terlarang dan jumlah nikotinnya perlu ditetapkan pada kadar yang selamat. 

Beliau berkata, undang-undang kawal selia e-rokok di Malaysia sekarang terlalu longgar apabila tidak sekatan dari segi nikotin, tidak diketahui bahan kandungan dalam vape terutama jenis pakai buang dan produk itu boleh dijual di mana-mana. 

“Sekatan hanyalah di segi umur tetapi penguatkuasaan amat lemah,’’ katanya.

KERAJAAN perlu menguatkuasakan peraturan lebih tegas termasuk mewajibkan pelabelan yang lengkap pada setiap produk vape dan menyekat akses kepada generasi muda.

Beliau berkata, perlu ada undang-undang yang mewajibkan setiap vape mempunyai label yang tertera maklumat bahan dalam vape dan kepekatan nikotinnya. 

“Kajian kami mendapati apabila pengguna vape tidak tahu kandungan dalam vape, pengguna berisiko terdedah kepada bahan yang beracun dan mengambil nikotin lebih daripada apa diperlukan,” katanya.

Beliau juga bimbang vape menjadi trend dalam kalangan remaja termasuk mereka yang tidak pernah merokok sedangkan ia sepatutnya hanya digunakan untuk perokok dewasa sebagai satu alternatif dan akhirnya berhenti merokok.

SASARAN

Eve Taylor dari Kumpulan Penyelidik Nikotin, King’s College London dalam pembentangannya berkata, pemasaran produk vape tidak boleh menjadikan generasi muda sebagai sasaran.

Katanya, vape juga perlu dijual dalam bentuk dan warna yang standard, perisa yang terhad serta tertera maklumat yang lengkap seperti bahan yang digunakan, nama dan alamat pengeluar dan amaran bahawa ia adalah untuk kegunaan orang dewasa sahaja.

Pengarah Counterfactual Consulting Ltd, Clive Bates juga melihat produk e-rokok seperti vape, produk tembakau yang dipanaskan dan pek nikotin secara oral adalah antara kaedah yang boleh diperluaskan.

Beliau berkata, pendekatan mengharamkan terus produk tembakau mungkin membawa kepada pertumbuhan pasaran gelap produk tembakau yang akan menjejaskan usaha mengurangkan tabiat merokok.

Beliau juga tidak yakin dasar generasi penamat (GEG) adalah cara terbaik untuk menangani remaja merokok, sebaliknya, cara berkesan ialah dengan memberi pendedahan dan pendidikan tentang risiko dan masalah yang timbul akibat merokok sejak awal.

INTERVENSI

Pakar kesihatan awam, Dr. Tikki Pang berkata, strategi intervensi untuk membantu orang ramai khususnya di rantau Asia Tenggara untuk berhenti merokok atau beralih ke kaedah yang lebih sihat perlu ditingkatkan.

Katanya, penyelidikan saintifik untuk menjana bukti bahawa wujud alternatif kepada rokok perlu diteruskan dan diperbanyakkan.

Usaha ini, katanya, perlu disokong dari kaca mata politik dengan melobi negara-negara berpengaruh seperti United Kingdom dan Jepun untuk mengetuai usaha mengubah pandangan WHO terhadap strategi pengurangan bahaya tembakau (THR). 

“Tumpuan harus diberikan kepada peraturan dan bukan larangan, meningkatkan akses perokok dewasa kepada alternatif yang lebih sihat dan yang paling utama, menyekat akses kepada remaja dan belia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN