Negara juga boleh diisytihar sebagai pengganas - Utusan Malaysia

Negara juga boleh diisytihar sebagai pengganas

ISRAEL memang patut berada di dalam senarai negara pengganas kerana penindasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Kelapan antara Negara-Negara Liga Arab dan Negara-Negara OIC di Riyadh, Arab Saudi pada Sabtu lalu telah memberi mandat kepada lapan negara untuk memulakan tindakan bagi pihak OIC dan Liga Arab untuk menghentikan peperangan di Gaza.

Indonesia, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Qatar, Turkiye, Nigeria dan Palestin telah diberi mandat untuk membantu memulakan proses politik bagi mencapai perdamaian antara Israel dan Palestin.

Sidang kemuncak tergempar itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Memuatkan artikel berkaitan…

OIC turut mengecam pemindahan paksa 1.5 juta warga Palestin dari utara ke selatan Gaza, yang menurut Konvensyen Geneva Keempat adalah satu jenayah perang. OIC juga mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan ketetapan mengecam serangan ke atas hospital di Gaza oleh Israel.

Saya berpendapat OIC perlu juga mengeluarkan satu resolusi rasmi bagi mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara pengganas berikutan segala penindasan dan kekejaman yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin.

Setelah semua langkah ini selesai, usaha yang sama kemudiannya boleh diambil melalui PBB untuk meminta semua negara dunia supaya mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara pengganas.

Susulan pengisytiharan itu, pemimpin dan anggota tentera Israel perlu didakwa di semua saluran mahkamah antarabangsa di atas segala perbuatan mereka terhadap rakyat Palestin.

Pihak Israel telah mengambil tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dengan mengenakan sekatan ke atas Gaza. Lebih 11,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh akibat serangan udara tanpa henti serta operasi darat yang kejam lebih sebulan oleh rejim Israel di bumi Gaza.

Beribu-ribu lagi masih tidak dapat dikesan dan mereka dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang telah musnah.

Sebenarnya, Israel memang patut berada di dalam senarai pengganas kerana penindasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin selama bertahun-tahun.

Buat sekian lama, Israel telah mengetepikan banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Terdapat juga usaha diambil oleh pihak Israel serta pihak-pihak tertentu untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka seperti pengisytiharan bandar raya Baitulmuqaddis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung 2017 yang lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melalui banyak kempen pilihan raya Israel tidak beberapa lama dulu turut menyatakan hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Semenjak penubuhan negara Israel pada 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Zionis untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka sekali gus menafikan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka.

LANGGAR
Untuk rekod, Israel telah banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang-undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.

Antara Konvensyen Geneva yang banyak telah dilanggar oleh pihak Israel termasuklah melakukan pembunuhan kejam terhadap orang awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina.

Rejim terbabit turut memindahkan rakyat Israel ke tanah milik Palestin yang ditakluki mereka di Tebing Barat, menyusahkan kehidupan rakyat Palestin dengan mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung, sekatan dan penutupan jalan serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta menggunakan kuasa ketenteraan mereka secara berlebih-lebihan terhadap rakyat Palestin.

Pada masa sama, pihak Israel telah melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi PBB yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan di tanah Palestin.

Kerajaan Zionis juga meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok di tanah milik Palestin, serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri. Ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa Israel memang sebuah negara pengganas.

Dalam pada itu, media massa Barat sering memaparkan kumpulan Hamas sebagai pengganas. Ini selaras dengan langkah Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan Hamas sebagai kumpulan pengganas pada 1995, Kanada (2002) and United Kingdom (2021).

Kesatuan Eropah (EU) telah mengisytiharkan kumpulan Hamas sebagai pengganas pada 2001. Jepun dan New Zealand pula mengisytihar unit ketenteraan dalam kumpulan Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Persoalan harus ditanya, adakah Hamas benar-benar kumpulan pengganas? Kumpulan Hamas wujud bagi melindungi hak dan keselamatan rakyat Palestin.

Segala tindak-tanduk kumpulan Hamas adalah bagi melindungi rakyat Palestin daripada penindasan dan kekejaman Israel.

Hamas adalah singkatan Gerakan Perjuangan Islam. Hamas ditubuhkan pada penghujung 1980-an yang lalu. Ia ialah sebuah organisasi kebangsaan, ketenteraan dan pejuang Islam Palestin. Ia mempunyai sayap bantuan masyarakat, dakwah dan ketenteraan.

Hamas memenangi pilihan raya perundangan Palestin pada 2006 dan telah membentuk pemerintahan di Semenanjung Gaza sehingga ke hari ini. Hamas diasaskan untuk membebaskan negara Palestin daripada penaklukan Israel semenjak negara Zionis itu ditubuhkan pada 1948.

Hamas diasaskan oleh Syeikh Ahmed Yassin yang mewakili gerakan Islam, Al-Ikhwanul al-Muslimun Cawangan Gaza. Sejak penubuhannya, kumpulan Hamas telah melancarkan banyak serangan ketenteraan terhadap Israel.

Terbaru, serangan mengejut besar-besaran yang dilakukan pada 7 Oktober lalu terhadap Israel. Serangan ini telah menyebabkan ramai rakyat Israel yang maut, cedera dan dijadikan sebagai tebusan. Serangan mengejut terhadap Israel ini adalah yang terbesar semenjak Perang Arab-Israel meletus pada tarikh yang sama tahun 1973. – UTUSAN

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×