SEBELUM menjadi Perdana Menteri lagi, beberapa pihak sudah mempersoalkan komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Dakwa mereka, disebabkan sifat PKR sebagai parti berbilang kaum dan kewujudan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) maka, Kerajaan PH akan didominasi oleh pemikiran sekular dan liberal.
Bagaimanapun, kenyataan-kenyataan dan tindakan Anwar setelah menjadi Perdana Menteri sejak setahun lalu membuktikan tanggapan ini ternyata salah, malah perkara sebaliknya pula yang berlaku.
Dalam tempoh ini, beliau melakukan pelbagai perkara penting yang bukan setakat untuk memastikan kedudukan Islam terjaga, malah ia menjadi jauh lebih kukuh.
Malaysia Madani sendiri adalah bersumber dari Islam. Istilah Madani sebagai satu konsep ditakrifkan Anwar pada 19 Januari lalu merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam di Madinah, pimpinan Nabi Muhammad SAW serta didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama dengan dasar-dasar manfaat (Al-Khayr).
Masih dalam ingatan semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Putrajaya pada 5 Disember 2022, Anwar terus sahaja mengumumkan pengurangan kekerapan cabutan khas nombor ramalan kepada lapan kali berbanding 22 kali setahun yang diluluskan sebelum ini atas dasar bahawa Kerajaan Perpaduan yang beliau ketuai tiada kecenderungan untuk mengutip dana haram.
Dalam memorandum persefahaman kerjasama yang dimeterai oleh lima gabungan utama yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri pada 16 Disember tahun lalu, tercatat jelas komitmen untuk memelihara Islam sebagai agama Persekutuan serta dalam masa sama memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan mereka terus terjamin.
Tidak cukup dengan itu, dalam satu program di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 Januari pula, Anwar menegaskan dakwaan bahawa akan bertapak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas beliau menjadi Perdana Menteri adalah igauan di siang hari kerana hal ini tidak mungkin berlaku.
Sebagai reaksi balas kepada tindakan biadab ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Sweden, selain memanggil duta Sweden di Malaysia bagi menyampaikan suara bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan biadab itu, Anwar pada 28 Januari mengarahkan Yayasan Restu serta-merta mencetak sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia bagi memartabatkan Islam.
Pada 11 Disember 2022 pula telah terlaksana buat julung kalinya Program Mahabbah Ulama dan Asatizah bersama Perdana Menteri bertempat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Dalam majlis ini, Anwar menyatakan hasrat beliau supaya ulama dan umara bergandingan untuk memberi kesedaran dan memperbaiki tradisi ilmu dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini.
MAJLIS ILMU
Anwar memberi penekanan terhadap peranan ulama dan asatizah untuk mendidik, berdakwah serta mempertahankan sikap kesederhanaan. Di akhir ucapan, beliau turut menyatakan kesediaan dan komitmen untuk menjadikan Kompleks Seri Perdana yang dikenali sebagai Kediaman Rasmi Perdana Menteri sebagai tuan rumah bagi siri majlis-majlis ilmu secara berkala.
Sejak tarikh ini, majlis-majlis ilmu tidak putus-putus dilaksanakan di Kompleks Seri Perdana dengan sebahagian besarnya adalah melibatkan tokoh-tokoh ulama antarabangsa seperti dua ilmuan tersohor dari Turkiye, Profesor Dr. Habib Abdul Hamid Al-Mahdali dan Profesor Dr. Mehmet Fadil Ceylani, yang merupakan pimpinan umum Markaz al-Jailani, Istanbul, pada 3 Januari.
Selainnya ialah Majlis Ilmu Madani pada 16 Mac yang membawakan seorang ulama dari Mesir, iaitu Dr. Yosry Gabr dan pada 18 Jun melibatkan Imam Masjid Al-Aqsa di Palestin, Syeikh Dr. Ekrima Sabri; ulama dari United Kingdom, Syeikh Ahmed Mohamed Saad Al-Maliki Al-Azhari Al-Hasani dan ulama dari Gambia, Syeikh Muhammad Haydara Al-Jilani.
Pada 26 Mei pula, lebih 18,000 hadirin mendengar tausiah bekas Mufti Agung Mesir, Profesor. Dr. Ali Jumuah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa, Tarim, Yaman, Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafidz di Masjid Putra manakala pada 10 Julai pula Dr. Muhammad Al-Qaradawi dan Abdurrahman Al-Qaradawi memberikan tausiyah di Kompleks Seri Perdana.
Begitulah seterusnya majlis-majlis ilmu lain seperti membabitkan Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad dan Penasihat Agama Presiden Mesir, Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari di Masjid Putra pada 22 Julai serta Mudir Pertubuhan Mujamma Ibnu Sunni Lit Talaqqi, Pendang, Kedah, Abdullah Abdul Rahman, di Kompleks Seri Perdana pada 27 Oktober.
Banyak lagi tindakan Anwar bagi mengukuhkan kedudukan Islam. Ini termasuklah memperuntukkan sebanyak RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024, khasnya memberi sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700 terus kepada lebih 70,000 guru takmir, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, siak, noja dan marbut.
Satu lagi sumbangan besar Anwar ialah memperluaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merentasi fungsi tradisinya selain mengembalikan semula geran bantuan perkapita sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar di bawah JAKIM yang ditarik balik oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003.
Seterusnya ialah program melahirkan Huffaz Cilik dengan projek perintis di 100 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta perlaksanaan Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM17 juta supaya pelajar tahfiz dapat mempelbagaikan kemahiran mereka.
Kesimpulannya, pandangan bahawa Kerajaan Perpaduan akan didominasi oleh pemikiran sekular dan liberal adalah salah kerana Islam kekal terjaga dan diperkukuh di bawah Anwar.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah (Protege) di Bahagian Khidmat Pengurusan, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).











