Seperti Belanda minta tanah

Seperti Belanda minta tanah

Peratus keluar mengundi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka tidak tinggi seperti pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selama beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), seluruh negara berada dalam situasi termangu-mangu kerana tidak pasti adakah Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan dan adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mencapai impian menjadi Perdana Menteri ke-10. Suasana genting dan penantian penuh mendebarkan itu ditambah pula dengan tindakan beberapa ahli Parlimen dan blok parti tertentu mengemukakan pelbagai tuntutan sekiranya mahu bekerjasama membentuk kerajaan campuran.

Peribahasa yang tiba-tiba muncul dalam minda saya ialah ‘seperti Belanda minta tanah’, walaupun mungkin tidak tepat sepenuhnya. Maka, sementara tekun menanti perkembangan dari Istana Negara, saya memikirkan tentang peribahasa itu yang saya pelajari sewaktu di sekolah rendah.

Pada masa sama, nama-nama seperti ayam belanda, durian belanda, tikus belanda, terung belanda dan beberapa istilah lain yang mungkin sering atau jarang kita gunakan. Apabila bercakap tentang penjajah, kita secara automatik terfikir akan Portugis, British dan Jepun. Agak aneh juga mengapa kita sering kurang memperkatakan tentang Belanda walaupun negara itu menjajah Melaka sekitar 180 tahun, berbanding Portugis (sekitar 130 tahun), British (sekitar 120) dan Jepun (sekitar 4 tahun).

Namun begitu, nama Belanda tetap kekal dalam pelbagai frasa dan peribahasa. Memelihara hamster dan tikus belanda (guinea pig) sangat popular dalam kalangan masyarakat. Hamster memiliki tubuh yang kecil dan bulat sementara tikus belanda pula lebih besar dan badan lebih panjang.

Gelaran ‘kucing belanda’ pula merujuk arnab yang digelar kelinci di Indonesia. Unggas yang digelar ‘kulkun’ di Indonesia pula lebih kita kenali sebagai ‘ayam belanda’. Apabila dibawa dari Amerika Utara ke Britain melalui Sepanyol, penduduk di situ menggelarnya turkey. Apa yang pasti, unggas ini tidak berasal dari Turki mahupun Belanda.

Begitu juga halnya dengan ‘durian belanda’ yang turut dikenali sebagai ‘durian eropah’ dan ‘sirsak’ di Indonesia. Istilah lain yang mungkin semakin jarang digunakan termasuk beras belanda (barli), sagu belanda (sejenis pohon palma), terung belanda, petai belanda, cukai belanda, cermai belanda, asam belanda dan murai belanda.

Pada masa dahulu, kapur putih yang digunakan untuk menulis pada papan hitam digelar ‘kapur belanda’. Istilah ‘paku belanda’ pula merujuk keadaan di mana harga barangan adalah tetap dan tawar-menawar tidak dibenarkan. Kesemua penggunaan ini akan ditemui jika kita rajin membaca buku-buku lama dari Malaysia dan Indonesia.

KAHWIN CAMPUR
Bercakap tentang Indonesia, republik itu pernah dijajah Belanda selama 350 tahun. Maka, tentulah ada banyak pengaruh dari segi bahasa dan budaya. Di Indonesia, gelaran ‘Belanda liplap’ merujuk orang peranakan Belanda iaitu anak hasil kahwin campur orang Indonesia dengan orang Belanda. Kalau di Malaysia ada amalan ‘mengarabkan’ dan ‘memelayukan’, maka di Indonesia pula ada amalan ‘membelandakan’ iaitu menjadikan bersifat seperti orang Belanda.

Masih tertanya-tanya punca ‘belanda’ diletakkan pada ayam, kucing, terung dan durian? Nama ‘batu belanda’ mungkin akan memberi jawapan yang dicari. Istilah itu merujuk kepada ‘permata buatan’ iaitu bukan permata asli. Nah! Penggunaan ‘belanda’ di sini merujuk kepada objek yang tidak asli atau menyamar seperti objek lain. Misalnya, ‘durian belanda’ ialah buah yang menyerupai ciri durian tetapi bukan buah berkenaan secara tulen.

‘Ayam belanda’ memiliki ciri-ciri seekor ayam yang kita kenali tetapi unggas itu bukan ayam yang asli, sebaliknya dianggap ‘menyamar’ menyerupai ayam. Demikianlah juga petai belanda, terung belanda, kucing belanda, tikus belanda dan sebagainya yang memiliki ciri hampir serupa tetapi dianggap oleh penduduk Tanah Melayu dan Indonesia sebagai menyamar dan tidak asli.

Beralih pula kepada peribahasa ‘seperti Belanda minta tanah’ yang memiliki makna hampir sama dengan peribahasa ‘beri betis hendak paha’ dan ‘diberi sejengkal hendak sehasta, diberi sehasta hendak sedepa’. Ketiga-tiganya merujuk sikap tamak orang yang meminta lebih banyak setelah diberi sedikit. Dikiaskan kepada orang yang licik dan rakus mengambil apa yang bukan miliknya. Jika sejarah penjajahan Belanda di Tanah Melayu dan Indonesia diteliti, maka kita akan faham asal usul peribahasa ini.

Apabila saya berbual dengan rakan-rakan dari Indonesia, ada dua versi bagaimana munculnya peribahasa ini. Dalam satu versi, orang Belanda meminta izin membina kubu di tiga tempat. Kemudian, Belanda mengaku ketiga-tiga tapak itu milik mereka. Malah, akhirnya Belanda merampas tanah luas yang terletak di antara ketiga-tiga kubu berkenaan.

Dalam versi kedua, Belanda meminta diberi tanah seluas kulit lembu yang dibawa. Sebaik diberi izin, kulit lembu dipotong menjadi tali panjang dan digunakan untuk mengukur kawasan yang lebih luas.

Bukti yang lebih konkrit saya temui dalam tulisan ilmiah pensyarah Universiti Leiden, Dr Surya Suryadi bertajuk Melepasi Belenggu Kontrak Kompeni (Malay Literature, 2018). Beliau merujuk kerajaan Buton iaitu kerajaan maritim di Sulawesi Tenggara pada kurun ke-18. Kerajaan Buton terlibat dalam perebutan kuasa dengan dua kerajaan lain iaitu di Gowa dan Ternate. Terdapat dokumen dan surat yang menunjukkan secara jelas usaha licik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) mengurangkan kuasa dan wilayah/tanah milik kerajaan Buton. Pencerobohan dan serangan Belanda secara besar-besaran ke atas Buton bermula pada Jun 1752.

Terdahulu, Belanda yang datang ke Kepulauan Melayu untuk membeli rempah berjaya menguasai Betawi di Pulau Jawa. Kemudian, berjaya pula menjajah Melaka pada 1641 dengan bantuan askar kerajaan Johor. Sejak itulah peribahasa ‘seperti Belanda minta tanah’ digunakan sebagai kiasan kepada sikap ditunjukkan pedagang Belanda yang kemudian bertukar menjadi penjajah.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×