Larang tukar parti jamin kestabilan politik

Larang tukar parti jamin kestabilan politik

tukar parti
MENJADI harapan pengundi, wakil rakyat yang tidak lagi sehaluan dengan parti politik masing-masing tidak mengekalkan kerusi yang mereka menang atas tiket parti berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA menstabilkan sesuatu kerajaan serta keadaan politik dan menjadikan kepercayaan rakyat serta keyakinan mereka kepada sistem demokrasi hendaklah sentiasa menjadi usaha kerajaan. Tindakan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti politik adalah usaha baik.

Kerjasama kerajaan dan para ahli Dewan Rakyat secara keseluruhannya dalam memperkenalkan RUU ini boleh membantu usaha untuk menjadikan demokrasi sebagai satu sistem pentadbiran yang dipercayai oleh khalayak dan seterusnya dapat menjadi sistem yang menjamin kestabilan negara.

Maka, bagi menyakinkan rakyat tentang keberkesanan sistem demokrasi yang mengutamakan kejujuran para perwakilan, RUU ini hendaklah sewajarnya disokong oleh semua pihak.

RUU ini secara langsung akan dapat mengenal pasti para perwakilan yang sebenarnya setia kepada parti politiknya yang sekali gus menunjukkan mereka juga setia kepada para pengundi yang memilih mereka berdasarkan kewibawaan parti politiknya.

Langkah ini akan dapat membantu menjadikan negara dan sistem politiknya kelihatan dan sebenarnya stabil dengan memastikan atau menjamin pengekalan kerusi kepada parti politik yang telah dipilih rakyat. Keadaan ini juga sekali gus membolehkan kepercayaan kepada kerajaan dikekalkan.

Sepertimana kita semua maklum tentang kepentingan kestabilan politik, yang mana ia akan memberikan kemakmuran kepada keseluruhan negara yang seterusnya akan menyebabkan negara menjadi berdaya saing dalam menghadapi situasi politik dan juga ekonomi serta kesihatan awam.

Dari segi sejarah beberapa buah negeri telah cuba memperkenalkan dan sebenarnya telah memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang lebih kurang serupa dengan RUU ini.

Sebagai contoh, Kelantan telah meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk menjadikan sesuatu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kosong apabila seorang wakil rakyat telah meninggalkan parti politik yang menjadi tiket kepada mereka menang dalam pilihan raya dengan menyertai parti politik lain.

Pindaan tersebut bagaimanapun telah dipersoalkan dan kemudiannya telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah kerana seseorang itu dianggap mempunyai kebebasan berpersatuan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Walaupun begitu, negeri lain, seperti Pulau Pinang juga memperkenalkan undang-undang seumpama itu dan sehingga kini ia masih beroperasi dengan sah.

Peruntukan tersebut belum lagi dicabar dalam mana-mana mahkamah. Secara prinsip, undang-undang itu dianggap sebagai berperlembagaan sehinggalah terdapat ia diisytiharkan sebagai tidak sah atau tidak berperlembagaan. Justeru, peruntukan di dalam Perlembagaan Pulau Pinang tersebut adalah sah.

SETIA

Tindakan kerajaan-kerajaan negeri yang telah membuat undang-undang bagi menyatakan kekosongan kerusi sekiranya berlaku pertukaran parti politik oleh mana-mana ahli DUN menunjukkan bahawa pada peringkat negeri, para ahli dan parti politik beranggapan undang-undang melarang tukar parti politik adalah wajar diperkenalkan.

Dengan kata lain, adalah difikirkan bahawa menukar parti politik seharusnya disekat melalui peruntukan undang-undang. Justeru, adalah wajar bagi Kerajaan Persekutuan memperkenalkan suatu akta untuk menyamai kehendak atau kemahuan yang serupa pada peringkat Persekutuan.

Tindakan kerajaan untuk memperkenalkan RUU ini adalah sesuatu yang hendaklah diterima baik dan juga disokong oleh semua wakil rakyat serta khalayak pengundi. Ini kerana ia dapat memberi kebaikan kepada kestabilan kerajaan dan secara langsung akan menyebabkan demokrasi itu dipercayai oleh rakyat.

Sesungguhnya keberkesanan sistem demokrasi yang berasaskan parti politik ini adalah bergantung kepada kesetiaan para ahli DUN yang telah dipilih oleh rakyat.

Sekiranya mereka dijamin kebebasan untuk menukar parti politik sampai bila pun suatu sistem demokrasi itu tidak akan memberikan keyakinan kepada rakyat dan tidak dapat memenuhi kemahuan ataupun tujuan demokrasi itu sendiri iaitu mempunyai kerajaan yang stabil dan berintegriti.

Dalam konteks negara kita yang mengamalkan ketinggian atau keluhuran Perlembagaan, maka pengenalan RUU ini pastinya hendaklah dilakukan mengikut peraturan pindaan pindaan atau gubalan undang-undang sebagaimana dimasyhurkan dalam undang-undang berkaitan.

Sekiranya persoalan peraturan gubalan ini telah diselesaikan oleh pihak kerajaan maka tidaklah menjadi sesuatu yang sukar atau boleh melahirkan kekeliruan dalam pengenalan RUU ini.

Adalah menjadi harapan kepada keseluruhan khalayak pengundi supaya wakil-wakil rakyat yang dipilih nanti akan terus taat setia kepada parti politik masing-masing dan sekiranya mereka tidak lagi sehaluan dengan parti politik mereka, mereka seharusnya meletakkan jawatan dan tidak lagi mengekalkan kerusi yang mereka menang melalui pilihan raya bertiketkan kepada parti politik asal.

Walaupun dengan wujudnya RUU ini, tidak memberikan jaminan 100 peratus kepada ahli politik untuk terus kekal di dalam parti politik masing-masing, namun ia akan lebih menyelamatkan jaminan kepada para pengundi kerana mereka hendaklah meletakkan jawatan serta mengosongkan kerusi.

Keadaan ini membolehkan rakyat memilih semula wakil rakyat mereka. Ini menjadikan konsep perwakilan dalam demokrasi itu menjadi bermaruah pada pandangan pengundi dan menjadi lebih wajar dalam konsep amalan demokrasi.

Selain daripada memperkenalkan RUU ini, usaha lain bagi mengekalkan kestabilan politik dan keberkesanan sistem demokrasi adalah dengan membasmi amalan politik wang yang berkaitan dengan integriti dan peribadi pemain demokrasi.

Perkara ini juga perlu diusahakan oleh kerajaan dan hendaklah setulusnya disokong oleh semua wakil rakyat.

Moga usaha-usaha kerajaan dapat diterima dan disokong oleh semua pihak demi kepentingan demokrasi dan menghormati pilihan rakyat sebagai pengguna sebenar sistem demokrasi. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz ialah Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN