Kartel swasta lagi dahsyat - Utusan Malaysia

Kartel swasta lagi dahsyat

cuepacs
Adnan Mat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Hangat dan panas, itulah yang dapat disimpulkan melalui wawancara kali ini. Ceritanya, Mingguan Malaysia menemu bual Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat, berhubung soal saguhati kerajaan kepada kakitangan awam dalam pembentangan bajet baru-baru ini.
Leka berbual dari satu topik ke topik lain, perbincangan kemudian menjurus isu rasuah dan kartel yang didakwa berakar umbi dalam agensi kerajaan, terutama soal tender.
Dari situlah, beliau menjelaskan bahawa istlah ‘kartel’ yang sering ditohmah terhadap agensi kerajaan, sebenarnya sengaja diperbesarkan untuk menutup kegiatan kartel yang didakwa bergerak dalam sektor swasta, yang jauh lebih agresif dalam memonopoli sektor ekonomi negara.
Ikuti temu bual yang disertai wartawan FAHMI FAIZ ini. Dalam wawancara ini juga, beliau menyentuh soal sikap kakitangan kerajaan yang ‘tikam belakang’ dan menjatuhkan pegawai mereka, sehingga secara tidak langsung mengakibatkan kebocoran rahsia negara.

 

MINGGUAN MALAYSIA:
Reaksi berhubung langkah kerajaan umumkan bonus RM700 kepada kakitangan kerajaan dalam bajet?
ADNAN: Ini adalah imbuhan atau saguhati kepada penjawat awam kerana telah bertungkus lumus sepanjang pandemik ini. Mereka telah memberi perkhidmatan yang terbaik walaupun negara bertukar pemerintah, namun penjawat awam telah memberikan perkhidmatan terbaik meskipun berlaku penularan wabak.
Malah kami juga telah membuat vaksinasi, kami yang bertugas di pusat vaksin, kami yang telah bertugas di sekatan jalan raya, malah kami juga yang bertugas untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok sehingga akhirnya negara kembali pulih dan perjalanan rentas negeri dibenarkan seperti sekarang.
Maknanya inilah hasil komitmen kami kepada kerajaan, komitmen kami kepada rakyat dan negara. Justeru, pemberiaan yang dianggap sebagai bonus RM700 itu sebenarnya bukanlah bonus, sebaliknya adalah satu saguhati sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan dalam pandemik ini.

Ramai mendakwa, pemberian RM700 itu tak setimpal dengan mutu dan kualiti kerja penjawat awam. Apa reaksi Cuepacs?
Kalau pihak luar sana merasakan ia tak setimpal, itu pandangan masing-masing. Tapi pada kami, sumbangan itu amat kami syukuri. Pada kami, ia adalah imbuhan dan saguhati, dan kami belum lagi dapat bonus. Harapan kami, agar kami diberi bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji. Tapi swasta, satu ketika dulu kita sering dengar dapat bonus tiga bulan gaji. Ada juga yang dapat enam bulan gaji, malah ada swasta yang dapat bonus 15 bulan gaji, kita biasa dengar.
Pada ketika swasta yang mendapat bonus berbulan-bulan gaji ini, mereka tak pernah beritahu kerajaan pun, “bayarlah bonus penjawat awam macam mana swasta dapat”, kita tak pernah dengar. Kita hanya dengar mereka merungut, tapi apa yang mereka (swasta) dapat itu, tak pernah pun beritahu kerajaan, “bayarlah kepada penjawat awam macam mana kami dapat bonus, kami dapat lebih kenapa penjawat awam dapat sikit?” Tapi tiba-tiba, bila kami dapat saguhati RM700, mereka bising pula, tak bolehlah macam itu.

Ada suara nakal sering sebut, kakitangan kerajaan terlalu dimanjakan dengan pencen dan segala kemudahan lain, sedangkan kerja tak seberapa, kaunter perkhidmatan tak dibuka dan banyak culas, jadi apa komen Datuk?
Itu adalah persepsi atau mungkin kebetulan pada orang tertentu menerima perkhidmatan sebegitu. Tapi Cuepacs merasakan dari segi perkhidmatan kaunter kerajaan, kita telah banyak tambah baik. Dari segi sistem juga, kerajaan memperkenalkan sistem elektronik atau e-kerajaan yang menggunakan sebagaimana bank-bank. Tapi di bank, mereka tak pernah merungut pun, mereka beratur panjang sampai keluar bank, tapi mereka tak pernah merungut pun terhadap bank, sebab apa? Sebab mereka ada keperluan wang mereka dalam bank itu.
Begitu juga perkhidmatan kerajaan, kita telah ada e-kerajaan dan sistem bayaran atas talian. Jadi sebenarnya samalah dengan perkhidmatan swasta, tapi kita tak pernah lihat orang awam di kaunter pejabat kerajaan ini, yang beratur seperti pelanggan bank yang terpaksa beratur panjang sampai di luar pintu bank. Tapi masa di bank, mereka tak bising pun pada kerajaan, “tutuplah bank itu kerana kaunter perlahan, kami panas beratur di luar”.

SWASTA ADA PERUNTUKAN ‘MERASUAH’

Reaksi berhubung isu rasuah yang hangat diperkatakan, membabitkan kakitangan awam?
Jentera yang memajukan negara ini adalah kolaborasi antara swasta dan kerajaan. Swasta memajukan negara ini, dan kerajaan memudahkan pihak swasta untuk memajukan negara. Ini bermakna saling berkait antara swasta dan kerajaan dalam membangunkan negara.
Jadi, siapakah yang telah membuat kecelakaan dalam bentuk rasuah dalam negara ini? Sebenarnya, tiada siapa yang memulakan. Penjawat awam, kami tidak pernah dilatih untuk menerima rasuah. Kalau lihat, di universiti adakah satu subjek yang ajar bagaimana menerima rasuah? Tiada bukan. Atau di sekolah, ada tak kita tengok apa-apa buku yang ajar cara terima rasuah? Tiada. Tapi kenapa ia berlaku? Kerana ada segelintir rakyat negara ini yang tamak dan haloba.

Siapakah ‘mereka’ yang tamak itu?
Mereka adalah individu yang melangkaui peraturan dan undang-undang sedia ada. Sedangkan undang-undang dan peraturan sedia ada ini telah digubal di Parlimen, dibahas dan digazet sebagai undang-undang untuk dipatuhi seluruh rakyat termasuk swasta dan kerajaan. Tapi pihak tertentu di luar sana yang haloba, dan melihat apakah bentuk kecuaian atau kelonggaran, atau ruang-ruang yang mereka mampu untuk menjadi jalan pintas dan mengabaikan peraturan dan undang-undang, seterusnya berpakat dengan anggota yang menguatkuasakan peraturan di mana saja perkhidmatan tersebut untuk mereka lebih mara ke hadapan.

Maksudnya?
Maknanya pihak di luar yang memulakan, yang sentiasa memancing anggota perkhidmatan awam. Malah sama ada kita setuju atau tidak, di sektor-sektor tertentu swasta ini, mereka ada peruntukan yang memang mereka letak sebagai satu peruntukan untuk melobi, peruntukan entertainment.
Jadi, maknanya entertainment yang mereka maksudkan itu, bagi mereka mungkin untuk hiburan, tapi apabila sampai pada kita, itu jadi rasuah. Jadi, siapa yang mulakan? Bagi saya, sama ada penjawat awam, pihak swasta mahupun rakyat, kita adalah sama-sama rakyat Malaysia yang perlu bertanggungjawab untuk negara kita.
Kumpulan perasuah yang memberi rasuah ini, mereka beranggapan inilah jalan pintas, dan inilah yang mereka nampak ruang-ruang ketirisan yang mereka mampu untuk beri kepada anggota perkhidmatan awam.
Jadi bagi kami, permulaan kepada budaya rasuah ini tetap bermula dari pemberi kemudian penerima. Sudah tentulah jika mereka tak beri, maka tidak ada penerima. Dan jika tiada penerima, tiadalah pemberi. Maknanya, ia bukanlah seperti bertepuk sebelah tangan, sebaliknya kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab.

Komen terhadap sikap segelintir politikus yang asyik meratib semua orang makan rasuah sehingga memberi persepsi terhadap perkhidmatan awam?
Orang politik sepatutnya memainkan peranan, mereka ini pembuat dasar. Mereka buat dasar di peringkat Parlimen, di peringkat Dewan Undangan Negeri. Kami penjawat awam adalah pelaksana dasar, yang mengurus dasar-dasar yang mereka buat. Jadi kalau dasar yang dibuat itu menjurus kepada keharmonian dan kemajuan negara, ia bagus. Tapi kita tak pernah mendengar mereka beri satu pandangan bagaimana untuk menjadikan negara ini bebas rasuah, sebaliknya mereka sering menuding orang itu rasuah, orang ini rasuah. Ratib orang itu, ratib orang ini, ratib saja kerja dia.

BOCOR RAHSIA NEGARA

Komen terhadap tindakan segelintir kakitangan awam yang membocorkan rahsia kerajaan sama ada kepada pembangkang atau pihak luar?
Sebagai anggota perkhidmatan awam, tunjang kepada dasar kerajaan dan tunjang kepada kerajaan yang memerintah, kami melihat mereka yang terlibat ini adalah satu kumpulan yang tak sepatutnya wujud. Kalau dulu zaman Tun Abdullah Badawi, kumpulan daulah terpendam ini disebut ‘Napoleon Kecil’.
Jadi bagi kami, mereka tak patut wujud. Sebab itulah ada satu ketika, kita perlu ambil tindakan drastik kepada pegawai-pegawai di peringkat tertinggi yang sentiasa memberi rahsia-rahsia tertentu di luar sana. Sama ada tindakan itu kononnya bersifat mahu selamatkan Malaysia, selamatkan itu atau ini, apapun hakikatnya itu tindakan salah.

Kenapa?
Sebab kita berada dalam perkhidmatan, kita sudah berikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan rakyat negara ini. Pada masa sama, kami juga telah membuat angkat sumpah dan akujanji untuk menjaga kerahsiaan sepanjang kami berkhidmat dengan kerajaan. Jadi kewujudan perkara ini adalah amat tidak munasabah dan tidak betul, dan malang kepada perkhidmatan awam tersebut jika ada pegawai-pegawai sebegini.

Adakah kumpulan ini masih wujud?
Ia bergantung kepada jaringan yang wujud antara mereka. Jadi mereka ini, kadang-kadang mereka tak selesa dengan menteri-menteri tertentu. Jadi bagi saya, sama ada kita bersetuju dengan menteri atau tidak, kita hanya menjalankan dasar sewaktu itu. Kalau tak bersetuju, kita boleh beri pandangan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi.
Jika kerajaan telah membuat dasar yang tak memberi faedah kepada rakyat dan negara, ketua-ketua perkhidmatan boleh memberi pandangan kerana kita ada mesyuarat peringkat tertinggi. Memang diadakan selalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Macam mana pula reaksi Cuepacs berhubung langkah Pakatan Harapan (PH) yang lantik calon bidan terjun sebagai ketua perkhidmatan?
Orang politik, mereka boleh buat kerja-kerja politik mereka. Tapi orang kerajaan yang telah berikrar dan berakujanji untuk bekerja dalam kerajaan, mereka hendaklah membuat kerja-kerja dengan kerajaan memerintah semasa itu sahaja, tiada masalah. Bagi saya, pegawai-pegawai perkhidmatan kerajaan yang dilantik ini, hendaklah dipisahkan dalam bentuk pegawai politik.
Contohnya, macam kes ketua perkhidmatan yang bukan daripada sistem. Misalnya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latifah Koya yang terus berada sebagai ketua perkhidmatan. Contoh bagaimana Tan Sri Tommy Thomas, dari luar terus berada sebagai ketua perkhidmatan. Yang ini kita tak setuju.

Kenapa?
Sebab mereka tak berada dalam perkhidmatan, kenapa tiba-tiba terus berada di atas? Mereka tiada ‘roh dan semangat’ dalam badan-badan tersebut. Dari segi hasrat perjawatan tersebut, serta penjiwaan terhadap perkhidmatan itu. Yang ini kita tak setuju.
Kita mahu yang dari dalam, dari bawah, semangatnya kita sudah tahu, bagaimana kecintaannya kepada negara kita sudah tahu, tapi yang di atas itu tiba-tiba terbang terus masuk, dengan gaji beratus ribu, kemudian cakap bahasa Malaysia pun tak boleh, jadi itu tak patut.

KARTEL DIKUASAI SEKTOR SWASTA

Komen terhadap budaya segelintir kakitangan awam yang didakwa memintas kertas kerja tender yang dihantar oleh orang awam, seterusnya menyalurkan kertas kerja yang hampir sama kepada pihak lain?
Budaya mencantas ini tak pernah berada dalam pengetahuan Cuepacs, tapi bagi kami jika berlaku, ia adalah bukan satu budaya sihat dalam perkhidmatan awam, untuk apa saja perkara termasuk dalam pemberian tender misalnya. Kami juga ada SOP tender, kami juga ada SOP dalam proses-proses menentukan projek itu perlu diwujudkan atau tidak. Jadi mencantas ini, jika berlaku ia tak patut berlaku. Cuma kami belum lagi terima aduan tersebut, sebab Cuepacs lebih kepada aduan berkaitan kebajikan anggota perkhidmatan awam.

Pandangan terhadap dakwaan, ada ‘kartel’ tertentu dalam satu-satu institusi kerajaan yang menguasai proses tender, dengan berpakat bersama syarikat luar?
Yang itu saya tidak pasti, dan Cuepacs tidak pernah dimaklumkan. Tapi sudah menjadi dasar untuk mana-mana rakyat negara ini, malah sesiapa saja untuk mendaftar syarikat-syarikat, tidak ada tegahan. Mereka boleh mendaftar sebanyak mana syarikat, kemudian boleh buat kumpulan atau konsortium sendiri, itu normal. Tapi perkara ini, oleh kerana tender ini di peringkat kerajaan, ia menjadi satu isu yang dibesarkan.

Maksudnya?
Kalau kita tengok di peringkat swasta yang dimonopoli oleh kumpulan tertentu, tiada pula isu itu dibangkitkan. Kalau kita tengok jawatan-jawatan di syarikat-syarikat swasta mega, yang dimonopoli kaum tertentu, tiada isu pun. Kalau kita tengok di syarikat swasta besar, jawatan pengurusan tertinggi dimonopoli oleh kaum mereka saja, tiada isu pula. Tapi perkara ini menjadi isu apabila berlaku kepada kita. Jadi istilah kartel ini sebenarnya wujud di swasta, bukan di jabatan kerajaan.
Kartel perjawatan misalnya, dan kartel dari segi tender ini, sebenarnya mereka yang lebih memonopoli. Kita tengok syarikat-syarikat perumahan, siapa yang mereka lantik untuk buat pembinaan? Siapa yang mereka lantik untuk bekalkan bahan? Siapa yang mereka lantik buat pendawaian dan sebagainya? Semua adalah kumpulan itu saja. Tapi mereka itu tidak dianggap kartel pula?
Jadi slogan ‘kartel’ ini hanya mereka tujukan untuk penjawat awam yang berkhidmat untuk negara saja. Yang tak berkhidmat untuk negara, slogan mereka adalah ‘bukan kartel’.

VAKSIN

Komen terhadap segelintir penjawat awam yang enggan divaksin?
Keperluan untuk ambil vaksin bagi penjawat awam adalah wajib. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah mengeluarkan pekeliling untuk mewajibkan penjawat mengambil vaksin dan jika enggan divaksin selepas 1 November lalu, tindakan boleh diambil oleh ketua jabatan ke atas mereka.

Jadi kakitangan awam memang perlu divaksin?
Bagi Cuepacs kami berpendapat pengambilan vaksin bagi kakitangan awam adalah perlu. Ini kerana kami adalah pekerja kerajaan, dan kakitangan awam yang menjalankan dasar-dasar kerajaan. Ketika ini, dasar kerajaan menghendaki semua rakyat mengambil vaksin bagi menjamin kesihatan seluruh rakyat negara ini.
Ini penting kerana apabila kerajaan menetapkan dasarnya memberi vaksin kepada rakyat, sudah pastilah pekerja kerajaan, iaitu orang yang menjalankan dasar tersebut adalah amat tidak munasabah pada masa sama mengingkari dasar itu. Bagaimana rakyat mahu yakin dengan vaksin ini, jika penjawat awam sendiri tak mengambil vaksin tersebut?
Ia penting kerana menjamin persekitaran tempat kerja yang selamat. Ini untuk menjamin keselamatan pekerja di jabatan tersebut serta pelanggan yang hadir ke jabatan itu untuk mendapatkan perkhidmatan. Rakyat akan yakin untuk mendapatkan perkhidmatan di premis kerajaan.
Bagaimanakah sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan jika penjawat awam itu sendiri enggan mendapatkan vaksin? Justeru kami merayu seluruh penjawat awam yang pada ketika ini kira-kira 1.6 peratus belum divaksin, iaitu kira-kira 16,000 orang, supaya segera mendapatkan suntikan vaksin. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×