Audit infrastuktur sekolah perlu dilaksanakan

Audit infrastuktur sekolah perlu dilaksanakan

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses audit perlu dilaksanakan terhadap infrastruktur sekolah di seluruh negara bagi mengenal pasti titik risiko dan melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelak insiden tidak diingini berulang.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tindakan menyeluruh dan sistematik mesti dilaksanakan sambil menyifatkan ia sebagai tragedi kehilangan nyawa yang tidak boleh dipandang ringan.

Malah katanya, keselamatan murid harus menjadi agenda utama dalam pengurusan sekolah dan Kementerian Pendidikan. 

“Tiada kompromi boleh diberikan apabila ia membabitkan nyawa dan kementerian pendidikan  perlu memperkukuh prosedur keselamatan, mengutamakan aspek penyelenggaraan, serta memastikan persekitaran sekolah bebas daripada risiko berbahaya.

“Keselamatan murid adalah amanah negara. Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang pelajar berusia sembilan tahun terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah sekitar pukul 9 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi merasmikan majlis tersebut, bergegas ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim memaklumkan bahawa setakat ini seramai lapan saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan dijangka lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu Adnan berkata, kementerian pendidikan  juga wajar memberi perhatian serius terhadap isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sekolah agar kejadian seperti itu tidak lagi berlaku pada masa akan datang

“Aspek keselamatan bukan sahaja membabitkan pelajar, malah guru, ibu bapa, serta seluruh komuniti sekolah.

“Kejadian berkenaan amat menyedihkan dan tidak seharusnya berlaku di sebuah institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak,” katanya.

Adnan berkata, sekolah yang tidak selamat akan menjejaskan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN