Sidang Parlimen bersemuka - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen bersemuka

. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada 26 Julai ini akan ber­langsung secara bersemuka se­perti kebiasaan sebelum ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, sidang secara hibrid masih belum dapat dilaksanakan pada tarikh itu selagi tidak mendapat kelulusan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat dan Jawatankuasa Dewan untuk dipraktikkan dalam mesyuarat kali ini.

“Selepas mendapat kebenaran dua-dua jawatankuasa ini, barulah sidang hibrid dilakukan pada sesi akan datang. Ini sebagai langkah mendepani kemungkinan mendatang ekoran penularan Covid-19 yang sukar dijangka.

“Selain itu, mesyuarat khas ini akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sama seperti sesi Parlimen lalu. Cuma kami perlu mendapatkan panduan Kementerian Kesihatan sebagai SOP tambahan dengan melihat keperluan baharu bagi mengelakkan penularan virus,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia semalam.

Kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri da­lam kenyataan memaklumkan, tempoh mesyuarat bagi Dewan Rakyat itu berlangsung dari 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Dewan Negara pula akan berlangsung tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos depan.

Dalam pada itu, Rais menjelaskan, mesyuarat khas berke­naan adalah menyambung sesi sidang lalu dan tidak dijadualkan untuk pembukaan Parlimen menerusi titah pembukaan Yang di-Pertuan Agong.

Justeru beliau berharap ahli Parlimen dan Senator dapat menunjukkan sikap dan contoh yang baik dan tidak bersikap kurang ajar dalam dewan memandangkan gelagat mereka diperhatikan rakyat.

“Saya menganggap ia (mesyuarat khas Parlimen) adalah satu berita menggembirakan dan paling menepati susulan titah Seri Paduka sekali gus menyegarkan prinsip demokrasi dalam amalan berparlimen negara ini,” katanya.

Selain itu, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan, tidak timbul isu keabsahan sidang Parlimen hibrid selepas pelaksanaannya memperoleh kelulusan Jawatankuasa Peraturan dan Jawatankuasa Dewan.

Katanya, walaupun ahli Parlimen berada di luar dewan untuk berbahas, namun tidak bermakna mereka tidak tertakluk di bawah imuniti sebagai anggota dewan.

“Perbahasan ini mengikut penyertaan sidang dan bukannya mengikuti lokasi. Jadi tidak timbul isu imuniti atau melanggar perlembagaan atau tidak, asalkan ia telah mendapat kebenaran jawatankuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN