Mukadimah
TIDAK lokek berkongsi pandangan dan nasihat, pemilik tunggal Kumpulan SP Care, DR. N. SATHIA PRAKASH sentiasa terbuka untuk menghulurkan bantuan sama ada berkaitan kesihatan, makanan, pekerjaan mahupun kaunseling kepada mereka yang memerlukan.
Walaupun pencapaiannya begitu mengagumkan, namun pemilik 13 cawangan Klinik SP Care di seluruh negara dan dua buah lagi di India serta Rusia dalam tempoh 11 tahun itu sentiasa merendah diri dan mudah mesra walaupun kali pertama bertemu.
Pun begitu, anak jati Rawang, Selangor itu tegas dan tidak bertolak ansur sekiranya membabitkan isu penularan Covid-19 yang meragut ribuaan nyawa rakyat.
Melihat dengan mata sendiri dan merasai penat lelah petugas barisan hadapan, beliau berkali-kali menzahirkan rasa kecewa terhadap situasi semasa negara. Harapan beliau, negara kembali pulih serta rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa seperti dahulu.
Ikuti temu bual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar, AMIR KHALID, baru-baru ini.
UTUSAN: Boleh ceritakan latar belakang Dr.?
SATHIA PRAKASH: Saya merupakan anak seorang posmen yang dibesarkan di Rawang yang sentiasa dahaga untuk manabur bakti di kawasan kelahiran saya. Bidang kedoktoran bukanlah pilihan utama, sebaliknya saya hanya mengikut nasihat dan mendapat restu daripada ibu bapa.
Apabila memilih untuk membuka klinik, tujuan saya hanya satu, mahu melihat penduduk menerima akses kesihatan yang baik tanpa perlu bergerak jauh. Pada masa sama, saya juga mahu membuka ruang pekerjaan kepada penduduk di sini.
Boleh Dr. komen tentang situasi negara hari ini dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19?
Melihatkan peningkatan kes Covid-19, saya amat risau memikirkan kepenatan petugas barisan hadapan, kemudahan kesihatan yang lumpuh, tekanan yang dihadapi rakyat dan ekonomi negara. Kita tiada pilihan lain selain benar-benar membuat sekatan pergerakan penuh untuk tempoh seminggu ke 14 hari.
Saya sedar, ramai yang menderita kerana tiada pekerjaan, berhadapan masalah mental, kemurungan dan sebagainya, namun kita perlu hentikan pergerakan orang ramai.
Sekatan pergerakan yang dibuat pada 1 Jun lalu tidak menunjukkan keputusan yang positif, maka satu tindakan drastik perlu diambil untuk menyelamatkan negara daripada penularan wabak ini.
Cabaran Dr. hadapi sepanjang pandemik?
Saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pesakit yang tertekan apabila dijangkiti Covid-19. Ini kerana dia terlalu emosi apabila diuji dengan masalah kesihatan.
Saya penat, pekerja penat kerana terpaksa bekerja 24 jam.
Kami di SP Care bukan sahaja merawat tetapi turut memberi bantuan kaunseling, bakul makanan dan menyediakan bank makanan kepada mereka yang memerlukan.
Warga SP Care turut membantu setiap kali ada masa terluang. Untuk makluman, makanan yang disediakan sentiasa habis. Ini bermakna ramai yang terkesan.
Oleh itu, saya berharap kerajaan mengambil satu langkah ke hadapan sebelum sesuatu lebih serius berlaku. Mereka harus berfikiran ke hadapan, perlu ada pelan-pelan penimbal. Mahu tak mahu, perlu fikir tentang kehidupan rakyat yang semakin hari semakin tertekan. Jika tidak lakukan sekatan pergerakan penuh seperti Mac tahun lalu, negara boleh mencatat antara 25,000 ke 30,000 kes dalam masa terdekat.
Bagaimana pula dengan kadar vaksinasi negara?
Bagus, ia ada peningkatan tetapi negara sebenarnya boleh mencapai imuniti kelompok lebih awal jika kerajaan membenarkan klinik atau hospital swasta terlibat secara langsung dalam pemberian vaksin kepada orang ramai. Ini kerana klinik dan hospital swasta mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk melakukan perkara itu.
Sebanyak 8,000 klinik swasta di seluruh negara dan jika setiap klinik dibekalkan vaksin, sudah pasti ketika ini sudah ramai menerima sekurang-kurangnya satu dos. Kita tidak akan ada isu warga emas terlepas suntikan vaksin atau perlu membawa warga asing menaiki bas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Tanpa disedari virus mungkin boleh merebak sepanjang perjalanan ke PPV. Jumlah penerima vaksin yang ramai di PPV juga boleh menjadi punca penularan Covid-19.
Begitu juga dengan isu aplikasi MySejahtera. Ramai warga emas yang tidak pandai mengendalikan aplikasi itu menyebabkan mereka tidak memohon atau terlepas tarikh janji temu. Jika benarkan klinik berdekatan (beri vaksin), pastinya perkara ini dapat dielakkan. Malah, kami sendiri ada pelbagai cara untuk memastikan penduduk sekitar menerima vaksin.
Pandangan Dr. mengenai penjualan vaksin kepada pihak swasta?
Mengapa perlu jual vaksin? Kerajaan sudah umumkan untuk diberikan (vaksin) percuma. Jadi, bagi sahajalah percuma kepada seluruh rakyat. Jika diteruskan usaha ini, ia akan merugikan golongan yang tidak mampu. Buat masa ini, utamakan dahulu pemberian suntikan untuk satu dan dua dos kepada rakyat.
Pada masa sama, kita tidak perlukan lagi dos vaksin tambahan. Apa yang penting adalah capai imuniti kelompok dahulu. Pemberian dos ketiga tidak adil kepada mereka yang masih belum menerima sebarang vaksin.
Selain itu, kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini. Janganlah flip flop macam selalu. Buat kajian terperinci terlebih dahulu seperti menetapkan harga siling, siapa yang layak membeli dan sebagainya. Kenyataan yang tidak selari hanya akan mengelirukan rakyat dan sektor kesihatan negara.
Ramai merasakan diri mereka kebal selepas menerima vaksin hingga memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Pandangan Dr.?
Vaksin bersifat sebagai perlindungan dan ia tidak bermakna seseorang tidak akan dijangkiti Covid-19. Orang ramai perlu faham dengan mengambil vaksin sahaja tidak cukup, sebaliknya terus jaga diri dengan mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan.
Pengambilan vaksin membantu mengurangkan kesan teruk (elak jangkitan peringkat akhir) akibat jangkitan Covid-19 dan bukannya menjadikan seseorang kebal daripada dijangkiti.










