Malang sekali apabila berlakunya sebilangan kes suntikan kosong dalam program vaksinasi negara. Namun, ia tidak patut disensasikan sebagai perbuatan jenayah yang harus dikenakan hukuman berat, selain dispekulasikan.
Biarkanlah pihak berkuasa menyiasat untuk mengetahui punca yang barangkali disebabkan kepenatan petugas kesihatan memerangi pandemik Covid-19 mulai awal 2020 lagi. Dalam pada itu, hentikanlah segera apa-apa jua syak wasangka terhadap mereka dalam kes ini khususnya dan lain-lain amnya.
Sehubungan itu, amat dikesali apabila bekas kepimpinan ulung negara bukan sahaja ikut menyertai perbuatan menuduh secara melulu tetapi juga cuba mengaitkannya dengan penipuan yang mungkin berlaku. Sementelah ini, ada pula dalam kalangan kepimpinan politik semasa yang mahu perundangan khusus digubal sebagai tindakan wajar kepada kejadian penyuntikan vaksin dengan picagari kosong. Ramai juga rakyat yang mahu proses penyuntikan dibenarkan dirakam sebagai bukti.
Begitu sekali kurang dan tiadanya kepercayaan dan keyakinan kita terhadap petugas kesihatan. Kemungkinan kecuaian berlaku dalam kes picagari kosong tetap ada.
Namun, ia kes amat terpencil yang tidak pun perlu digembar-gemburkan seolah-olah ia bersifat rutin, yakni berleluasa sehingga menjadi fenomena kerap.
Sebenarnya sebelum penyuntikan bermula, pada kebiasaan yang sudah menjadi peraturan adalah petugas kesihatan menunjukkan picagari dipenuhi sukatan vaksin yang betul. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita yang akan disuntik untuk memastikannya. Dengan ini, tidak perlu sama sekali adanya penggubalan perundangan baharu dan kebenaran penggambaran yang bukan sahaja mahu menyatakan kesangsian kita terhadap petugas kesihatan, ia sebenarnya ikut ingin mempertikai integriti mereka.
Sesungguhnya kita hendaklah bersangka baik terhadap petugas kesihatan.
Mereka sejujurnya senantiasa mahu melakukan tugas dengan niat luhur, prestasi jitu, pengakuran piawai, selain tanpa hasrat untuk menipu. Ini kerana mereka adalah orang-orang baik yang memiliki kualiti kemanusiaan bestari. Antaranya selalu simpati dan empati, penuh dengan kasih sayang, bertanggungjawab dan baik hati. Lagi pun, mereka juga manusia biasa yang tetap tidak dapat elak daripada membuat kesilapan yang tidak disengajakan. Oleh itu, mereka hendaklah segera dimaafkan dan bukannya terus diherdik.
Dengan kita terus-terusan menuntut agar mereka dikenakan tindakan keras, kita sebenarnya memperlihat sisi kita yang langsung tidak bertimbang rasa kepada mereka yang begitu banyak sekali berkorban untuk melindungi kita dengan membahayakan diri mereka sendiri. Walaupun begitu, masih ada dalam kalangan kita yang mahu berhujah bahawa tugas hakiki mereka bersifat sedemikian, justeru tidak perlu diberikan simpati, apatah lagi empati. Sikap begini sesungguhnya memperlihat sesetengah kita sudah kehilangan nilai kemanusiaan yang membezakan kita dengan binatang.
Sebetulnya sumbangan petugas kesihatan adalah terlalu agam dalam bidang kesihatan di negara ini. Dalam hal ini, mereka secara khususnya membekalkan perkhidmatan penting yang amat diperlukan untuk mencegah penyakit, mempromosikan kesihatan bestari, selain menyumbangkan tenaga penjagaan untuk memastikan kesihatan asas individu, keluarga dan komuniti senantiasa afiat.
ANGKARA
Pada waktu pandemik Covid-19 ini, petugas kesihatan bukan sahaja perlu berhadapan dengan risiko sebenar kepada diri sendiri semasa menguruskan pesakit, malah keluarga mereka ikut terdedah kepada bahaya yang lebih hakiki, jika dibandingkan dengan pihak lain yang keluarga mereka bukan petugas kesihatan. Akan tetapi mereka menghadapi semua ini bukan sahaja dengan tabah, mereka juga berbangga kerana dapat berbakti pada masa segenting ini.
Kejadian malang yang tidak disengajakan ini didapati ingin dijadikan isu besar oleh sesetengah ahli politik yang mahu hukuman jenayah dikenakan.
Sedangkan disebabkan angkara mereka ini, pilihan raya negeri yang terpaksa diadakan tidak lama dahulu ternyata telah menyebabkan jangkitan teruk, bukan sahaja dipura-purakan mereka sebagai tidak pernah berlaku, mereka juga cuba mengelak daripada bertanggungjawab tentangnya. Ia bukan sahaja tidak ubah peribahasa, kuman seberang laut nampak, gajah hadapan mata tidak nampak. Ia jelas sekali memperlihat sifat bangsat dan banjingan mereka ini.
Mengapakah mereka ini begitu sekumat terhadap petugas kesihatan dalam hal ini? Dari satu segi, ia ibarat pukul anak sindir menantu, iaitu sikap berang kepada petugas kesihatan sebenarnya ditujukan kepada pihak berkuasa sebagai pihak yang harus dipersalahkan. Dalam hal ini, mereka ini serta sebahagian rakyat hendaklah memahami bahawa pandemik Covid-19 menular kembali kini dengan dahsyatnya di merata tempat di dunia, termasuklah Amerika Syarikat yang mencatatkan peningkatan sebanyak 53 peratus. Ia fenomena sejagat akibat varian baharu dan bukan sahaja berlaku di Malaysia. Justeru, ia bukan semata-mata kegagalan kerajaan.
Berbalik kepada kejadian picagari kosong, jangan kerana kesilapan yang tidak disengajakan ini, kita mahu terus melupakan jasa baik petugas kesihatan selama ini.
Sebaliknya kita hendaklah selalu bersangka baik terhadap mereka. Ini kerana mereka senantiasa menjalankan amanah bukan sahaja dengan baik, mereka juga melakukannya dengan jujur. Oleh itu, kita tidak patut berprasangka terhadap mereka ini yang bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan sistem kesihatan negara dapat berfungsi dengan baik pada setiap masa.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










