54 kerusi Parlimen, 92 DUN Felda milik siapa? - Utusan Malaysia

54 kerusi Parlimen, 92 DUN Felda milik siapa?

zulkifli jalil
ZULKIFLI JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA tak pasti pengamatan di perenggan kedua ini dikongsi sama nadanya oleh pihak lain atau tidak.

Kelihatannya pertelagahan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) waktu ini (sebenarnya Pas pun terjebak sama walaupun ‘tampak’ macam jadi ‘perantara/orang tengah’) seolah-olah seperti politik Malaysia ini berlingkar pada tiga parti Melayu ini sahaja.

Ibarat tanpa tiga parti ini, politik Malaysia tidak ada umpph!; tiada warna-warninya atau tiada impaknya. Bukan begitu? Tampak tiga parti ini lebih highlighted oleh media khususnya media sosial.
Pendek kata, ‘mahu tidur sebantal dalam kerajaan tapi mimpi mahu lain-lain.’ Yakni dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), UMNO mahu ikut haluan sendiri. Pas dan Bersatu pula mahu UMNO bersama demi pastikan tidak bertembung menjadi tiga penjuru. Demi Islam dan kesatuan Melayu.

Satu parti mahu agihan kerusi lebih banyak; ‘dibelenggu’ dilema kluster menteri; kluster Bersatu; kluster mahkamah serta macam-macam julukan, lapor media sosial. Bergelora politik negara – mengundang pengamatan rakyat cenderung pada was-was dan kurang yakin.

Padahal parti-parti politik lain tak banyak sinetronnya khususnya DAP. DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) serta dua lagi parti belum didaftarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), saya percaya tidak sekadar ‘tunggu dan lihat’. Tapi tatap pasang strategi untuk berdepan ‘hidup mati’ PRU-15 paling sengit dalam sejarah pilihan raya dan politik Malaysia.

Saya andaikan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan PKR begitu ‘strategis’ kerana selain perhati kemelut UMNO-Bersatu-Pas, perancangan mereka selalunya menjadi. Ingat tak lagi dalam PRU-14 ketika kawasan Felda mustahil untuk ditembusi pembangkang?

Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU-13 hanya menang enam daripada keseluruhan 54 kerusi Parlimen dalam tanah rancangan itu iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput. Seingat saya di Pahang sahaja, sejumlah 12 daripada 14 kawasan Parlimen di negeri itu penempatan Felda. Hanya dua kawasan tidak ada penempatan Felda iaitu Kuantan dan Indera Mahkota, dengan kedua-duanya dimenangi PKR dalam pilihan raya umum, Mei 2013 itu.

Felda begitu sentimental kepada orang Melayu. Melihat dunia peneroka Felda membuatkan seseorang insaf sesungguhnya rakyat negara ini cukup diberi perhatian oleh kerajaan.

Di negara lain, pemerintah di sana tidak membekalkan kemudahan-kemudahan atau memberi pemilikan tanah seperti dilaksanakan di Malaysia. Pembinaan surau dan masjid pun terpaksa dikendalikan rakyat sendiri.

Suatu ketika, peladang di Bukit Tinggi, Sumatera Barat tidak mendapat bantuan baja, tiada bantuan tanam semula antara RM9,320 hingga RM14,000 sehektar (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) seperti pernah dinikmati pekebun kecil negara ini.

Skim rancangan pemilikan tanah kebun ala Felda juga tidak ada. Skim pemulihan tanah seperti yang dikendalikan Felcra tidak kedengaran oleh mereka.

Tiada siapa dapat menyangkal sumbangan dan jasa Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang begitu sinonim dan dekat di hati warga Felda khususnya peneroka.

Bakti dan sumbangan Perdana Menteri kedua itu dalam usaha menubuhkan Felda untuk membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat bagi tujuan pembangunan, lebih 50 tahun lalu bukan sahaja berjaya mengatasi masalah kemiskinan masyarakat luar bandar bahkan meningkatkan taraf hidup golongan itu sehingga hari ini.

Kini, selepas kira-kira 45 tahun pemergian Allahyarham Tun Razak pada 14 Januari 1976, Felda yang lebih dikenali sebagai legasi Tun Razak terus menjadi kebanggaan dan pembakar semangat warganya untuk terus bersaing dan mengorak langkah dalam pelbagai lapangan seiring perubahan semasa.

DOMINASI PH

Dalam Felda sahaja, selain 54 kerusi Parlimen sedia ada, turut meliputinya adalah 92 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tanah rancangan orang Melayu itu mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka. Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar – majoritinya di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Begitupun, PH berjaya membuktikan sesuatu itu tidak mustahil digapai asalkan jentera parti bekerja keras. Ini berikutan pertambahan drastik kerusi Parlimen dimenangi PH di kawasan Felda.

Dalam PRU-14, PH dianggotai DAP, PKR, Bersatu dan Amanah yang memakai lambang PKR menguasai 19 kerusi Parlimen di Felda berbanding hanya satu kerusi diraih PKR secara solo pada 2013.

Nasib malang menimpa UMNO/BN yang pernah memenangi 48 kerusi Parlimen Felda pada 2013, tetapi sekadar memungut 27 kerusi Parlimen pada PRU-14 – antara penyebab tumbangnya BN.
Di Pahang sahaja, selain angka kerusi Parlimen dilitupi Felda yang disebut tadi, kerusi DUN di negeri itu turut merekodkan 27 daripada 42 kawasan adalah Felda. Kawasan Felda di Johor juga dikatakan dalam kedudukan 50-50. Pembangkang menyasarkan 29 kerusi selepas mengejutkan BN di sana dengan kemenangan 19 kerusi DUN.

Undi masyarakat Felda memainkan peranan besar menjamin kemenangan parti-parti politik bertanding. Kehadiran generasi baharu sudah mengubah iklim politik peneroka, menjadikan kawasan Felda tidak lagi dianggap hak mutlak mana-mana parti.

Isu perumahan generasi ­kedua, himpitan kos sara hidup selain masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka dikatakan antara yang perlu ditangani. Meskipun suatu ketika banyak pencapaian diraih Felda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, masih ada pihak tidak berpuas hati atau mengiktirafnya.

LAIN HULU, LAIN PARANG

Masih ingat lagi tak rakan-rakan dari UMNO, Pas atau Bersatu akan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, 1 Mac lalu:

“Sekiranya BN tidak bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang, PH mempunyai peluang cerah untuk kembali menjadi kerajaan,” dakwa Guan Eng yang dipetik daripada laporan akhbar Cina.

Kata Guan Eng lagi: “Sekiranya memperoleh sokongan tambahan 15 peratus pengundi Melayu, matlamat PH untuk kembali menjadi kerajaan mungkin dapat direalisasikan.

“Berdasarkan satu dapatan kajian, situasi itu boleh berlaku sekiranya jumlah peratusan itu ditambah dengan pengundi bukan Melayu yang sedia menyokong PH.”

Barangkali UMNO tidak lagi hanya boleh bergantung kepada Pas untuk analogi ‘campur tolak undi di kira-kira 30 kerusi Parlimen’ dalam PRU-14 yang dicanangkan boleh dikuasai Muafakat Nasional (MN) sahaja – andai kata dijayakan hanya pertembungan dua penjuru atau satu lawan satu dengan PH.

Mungkin dengan penyertaan PN diketuai Bersatu bersama MN dalam PRU-15 sahaja mampu memastikan penguasaan besar 54 kerusi Parlimen berserta 92 kerusi DUN dalam Felda. Memasuki PRU sebagai parti kerajaan bukankah satu bonus?

Tambah perit lagi untuk UMNO-Pas kerana terdapat peningkatan 474,761 pengundi baharu sejak PRU-14, 9 Mei 2018 hingga Ogos 2020. Dari Ogos itu ke Ogos 2021, berapa pula tambahannya?

Apa lagi jika ‘dilepaskan’ secara automatik kira-kira enam atau tujuh juta pengundi seawal 18, 19 dan 20 tahun sebagai pengundi berdaftar, tak ke ‘naya’ semua parti mahu susun strategi tarik minat mereka? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN