Dalam mengatakan profesor kita tidak bermutu, pihak terbabit itu mengaitkannya dengan kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan rakyat dan memajukan negara. Sehubungan itu, beliau menyalahkan penggunaan bahasa Melayu bagi pendidikan tinggi serta membandingkan mutu graduan yang diajar dalam bahasa Inggeris dengan yang dalam bahasa Melayu.
Walaupun sama ada diputuskan sebagai dasar rasmi atau hanya berupa amalan tertutup, yakni terpilih dan terhad, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam tertentu, bukan sahaja tidak perlu diagung-agungkan, ia sama sekali tidak boleh diperbanding dengan bahasa Melayu. Ini kerana perbuatan sedemikian akan memperkecil selain memperlekeh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.
Tidak dapat dinafikan bahasa Inggeris selain lebih berkuasa, tinggi pula prestijnya dan besar lagi glamornya jika dibandingkan dengan bahasa Melayu, memiliki nilai ekonomi yang lagi tinggi daripada bahasa Melayu. Namun, bahasa Melayu yang kurang nilai ekonominya itu masih perlu dan wajib kita semua sanjungi. Ini kerana ia memiliki nilai budaya istimewa sebagai bahasa negara kita. Oleh itu, ia mulia sekali dan wajib kita semua julangi pada setiap masa.
Malang sekali ketidakyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu disuarakan secara terbuka oleh etnik Melayu sendiri yang merupakan penutur jatinya. Diakui perbuatan kumpulan orang Melayu ini yang merupakan anglofil, yakni mereka yang menyanjungi budaya Inggeris khususnya bahasa Inggeris telah menafikan seluruh sejarah etnik Melayu, lebih-lebih lagi berkenaan bahasa Melayu.
DWISTANDARD
Amalan tertutup untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam beberapa program pengajian prauniversiti dan universiti, serta di sebilangan IPT awam bukan sahaja mewujudkan sistem dwistandard, iaitu peraturan tidak sama bagi kelompok berlainan. Ia turut menyukarkan usaha jitu untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Tidak salah jika dikatakan kelompok elit yakni terpilih, terbaik dan seumpamanya, disalurkan ke dalam program pengajian tertentu di IPT awam yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Yang tidak terpilih pula kerana kurang baik dan lain-lain terpaksa meneruskan pelajaran mereka dalam bahasa Melayu di sekolah. Sistem dwistandard ini sesungguhnya ikut menjahanamkan syiar bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, selain mewujudkan persiangan yang pasti akhirnya mengalahkan bahasa Melayu.
Dengan kehebatan bahasa Inggeris dari segenap segi, sudah tentu bahasa Melayu dipandang sepi dalam persaingan ini. Ia memang menyulitkan usaha untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat sewajarnya sebagai bahasa negara. Dalam pada itu, ia dilata oleh etnik Melayu sendiri sehingga mengatakan ia tidak dapat melahirkan anak bangsa yang cerdik untuk memiliki daya saing yang kuat. Lataan ini dilakukan dengan membandingkan mutu graduan yang melalui sistem dwistandard itu dalam kejayaan pemerolehan kerja di sektor swasta.
Tidak cukup dengan itu, bahasa pengantar yang digunakan untuk menyampaikan ilmu di IPT awam ikut dipersoal. Ia disyaki bahasa Melayu dengan mengunjurkan mutu rendah pada profesor kita adalah kerana bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa ilmu tinggi. Unjuran ini dibuat berdasarkan kenyataan 95 peratus ahli akademik kini terdiri daripada etnik Melayu yang dianggap menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar, justeru menyebabkan mutu yang rendah. Hal ini dibandingkan pula dengan mutu bukan Melayu yang merupakan 90 peratus daripada tenaga pengajar pada masa dahulu, yang menggunakan bahasa Inggeris.
SIMPLISTIK
Sebenarnya adalah terlalu simplistik, yakni kurang munasabah untuk menghuraikan mutu profesor kita yang didakwa rendah dengan cara yang diajukan itu. Ini kerana mutu bersifat subjektif selain relatif sekali, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang hanya disangka-sangkakan melalui seruan wallahuaklam pada akhir kenyataannya. Lebih menyedihkan ialah persoalan mutu ini pula dibanding-bandingkan antara etnisiti profesor kita pula. Ini bukan sahaja tidak baik untuk keyakinan kendiri profesor kita, ia juga boleh memupuk rasa ketidakyakinan masyarakat kepada profesor Melayu dalam mendidik di IPT awam.
Apa-apa jua dalam soal mutu profesor kita, sebenarnya ia tidaklah seteruk seperti digambarkan itu. Ini kerana untuk mencapai taraf profesor, seorang ahli akademik perlu mempunyai piawai yang unggul, iaitu beliau hendaklah mencapai gred selain memiliki kelayakan tinggi yang ikut dinilai oleh panel antarabangsa. Selain piawai ini, seorang profesor itu sepatutnya juga cemerlang dalam bidang yang ditekuninya.
Malangnya bukan setiap profesor itu berjaya dari segi kecemerlangan ini sehingga menjadi ulung, yakni sangat pintar dan terbaik pula dalam bidang akademik untuk disanjungi kerabat ilmiah di dalam dan luar negara serta di luar bidang akademik oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa. Sehubungan ituy, profesor kita rata-ratanya dikenali dalam bidang akademiknya melalui impak karya termasuklah yang dihasilkan dalam bahasa Melayu. Namun, tidak semua profesor kita yang ikut dikenali umum atas sumbangan kemasyarakatan mereka dalam mempengaruhi, menyokong atau membantah sesuatu dasar, perjuangan dan seumpamanya dalam negara, apatah lagi di peringkat antarabangsa.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










