SEDIKIT pun dia tidak marah atau bahkan menunjukkan reaksi tidak selesa tatkala pertanyaan mengenai soal cinta dilayangkan kepada dirinya.
Cuma, wanita bernama Zara Zya ini sudah pandai meletakkan sedikit parameter dalam hal ini dengan alasan enggan terlalu menjaja bahagia bercinta sebagaimana yang pernah dilaluinya dahulu.
“Cukuplah orang tahu hati saya sudah dihuni oleh seseorang,” ringkas dia memulakan cerita usai sesi fotografi bersama Pancaindera yang berlangsung cuma di kediamannya sahaja tempoh hari.
Sebenarnya, si manis ini kerap kali menerima komen dan tanggapan salah yang menyangka imej berhijab yang menjadi pilihannya sekarang adalah dikeranakan dia mahu berumah tangga atau paling tidak kerana putus cinta.
Cuma tertawa, kata Zara soalnya dia juga tidak merasa patah hati bahkan jauh lagi untuk memikirkan soal perkahwinan yang masih belum tentu dengan siapa.
“Mentaliti orang kita macam itu lah. Kalau ada yang bertudung, dia dikatakan nak berkahwin. Kalau buka tudung pula, dikatakan putus cinta, bercerailah dan sebagainya.
“Macam saya,berhijab kerana keterbukaan hati sendiri tanpa paksaan sesiapa, tanpa ada sebab, tanpa perlu ada mimpi atau petunjuk tertentu. Kalau nak berhijab kena ada perihal-perihal macam itu ke baru nak buat?
“Ada yang pernah bertanya. Tetapi saya tak boleh nak jawab sebab bukan satu isu penting. Kalau saya tiada sebab nak bertudung, tapi kena jawab juga, tak kanlah saya perlu mereka cerita pula?” katanya.
Kini sedang hangat dengan drama berjudul Beri Sedikit Waktu di TV3, kata pelakon ini keputusannya untuk berhijab berlaku sebegitu mudah dan lancar. Semuanya bermula pada minggu terakhir penggambaran drama tersebut.
Langsung tidak merasa kekok, Zara yang sebelum ini seringkali membawa watak wanita bertudung bersyukur kerana setelah sekian lama memasang hajat, akhirnya berupaya menunaikan tuntutan yang satu ini.
“Sebetulnya memang ramai kawan rapat terkejut dengan perubahan dan keputusan saya ini. Namun, rata-ratanya memberi sokongan.
“Cuma, saya tak mahu orang di luar sana terlalu mengharap atau menjangkakan yang luar biasa hanya kerana saya sudah berimej begini. Sebolehnya, saya mahu menjaga keperibadian dan prinsip yang lebih baik dalam imej baharu ini.
“ Bab agama, saya akui masih kurang namun merasa bertuah kerana sekurang-kurangnya Allah SWT menjentik hati saya untuk berubah kerana ada orang, walaupun sudah berumur, belum tentu hatinya terbuka,” katanya.
Berkali-kali menegaskan bahawa dia masih belajar memperbaiki diri, Zara yang berusia 35 tahun menganggap setiap hari adalah peluang baharu buat setiap manusia.
Lantaran itu, dia tidak pernah menganggap bahawa dirinya adalah insan terpilih. Dia tidak mahu dilabel ‘artis On-Off bertudung’.
Masalah jiwa
Mengheret Zara berbicara mengenai dirinya yang bersifat introvert, kata pelakon ini mungkin ramai yang tidak tahu sisi dirinya seperti ini sementelah dia sering mempamerkan sikap gila-gila ketika berada di satu-satu tempat.
Hakikatnya, pada kebanyakan masa, Zara mengakui sukar mengikis sikapnya yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu malah ada waktu dirumitkan lagi dengan penyakit anxiety dan suka menyendiri.
Sedar bahawa semua itu tidak bagus untuk dirinya, pelakon ini sendiri tidak tahu mengapa dia berdepan dengan masalah jiwa seperti ini. Dia sedar gelaran seorang selebriti dan artis menyaksikan kontradiksi ketara.
“Saya dah cuba untuk ubah tetapi entah mengapa, susah. Orang ingat saya ini gila-gila sedangkan itu semua untuk menutup ‘sakit’ saya yang ini.
“Betul, memang pada kebanyakan masa saya lebih suka menyendiri. Kalau tak ada kerja atau ke set penggambaran, sebulan cuti pun saya lebih rela duduk di rumah tak ke mana-mana daripada bertemu orang.”
“Kalau ke acara-acara besar misalnya, mesti ada yang tak percaya bila saya kata malu atau takut berdepan dengan orang walhal bukannya apa-apa,” katanya.
Dek sifat yang ada, Zara berterus-terang bahawa apabila dunia dilanda pandemik Covid-19 dan kerajaan pula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia adalah individu yang paling tiada masalah.
“Saya sudah lama buat semua ‘arahan’ SOP itu. Dulu, kalau keluar rumah saya memang akan pakai pelitup muka dan pernah juga pakai niqab sebab tak nak orang kenal. Malu, tak yakin diri semua ada.
“Duduk rumah seorang diri pun saya tiada masalah sebab lagi suka. Bayangkan, saya pernah rasa nak ke pusat beli-belah, saya hidupkan enjin dan sampai di tempat parking,
“Tapi tak turun pun daripada kereta dan cuma duduk di dalamnya. Kemudian dah rasa bosan, saya balik semula ke rumah. Banyak kali ya kejadian macam tu,” katanya ketawa.
Sentiasa merasa aneh apabila ada orang memerhati atau melihat dirinya, Zara akui, terkadang dia sendiri lupa dirinya adalah seorang selebriti dan sepatutnya itu bukan menjadi satu hal.
Sehinggakan, dia perlu diperingatkan oleh teman atau keluarga untuk mengubah sikap kekoknya itu saban waktu.
“Kalau orang puji kata lakonan saya bagus di layar kaca, saya tak mudah termakan kata kerana tak yakin diri. Sehingga sekarang saya ada lagi rasa itu selain sikap malu-malu,” katanya.
Tak ambil tahu
Dalam pada itu, Zara telah meninggalkan cuma empat akaun Instagram yang diikuti, sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya mengapa bertindak demikian.
Dalam kalangan rakan industri, Zara sedar barangkali ada berkecil hati dengan tindakannya itu sementelah media sosial bagi sesetengah orang, merupakan satu daripada medium perantara yang sering digunakan untuk bersilaturrahim.
Mengaku ada sebab berbuat demikian, kata Zara, dia perlu mementingkan hati dan kesihatan mentalnya sendiri kerana dalam kebanyakan masa, dia merasakan media sosial memakan dirinya tanpa diminta.
“ Saya bukan jenis yang suka mengambil tahu pasal orang. Akaun Instagram yang saya ada selama ini, adalah untuk urusan kerja dan berinteraksi dengan peminat.
“Satu ketika, saya merasa serabut untuk menganggap diri perlu ambil tahu perihal orang lain menerusi media sosial sedangkan hati berkata tak payah. Kalau tak ambil tahu, saya mungkin dianggap terkebelakang.
“Tetapi bila fikir balik, untuk apa? Sampai bila nak fikir apa orang kata? Jadi, saya nekad unfollow semua orang kecuali empat akaun berkaitan diri. Ajaibnya, hati terus rasa tenang,” katanya.
Akui Zara, sebelum ini, setiap kali dia merasa perlu untuk memuat naik semua perkara dalam media sosial dan perkara-perkara itu membuatkan dia merasa tidak sihat. Bahkan, sering memegang telefon di tangan juga bukanlah apa yang digemarinya. Jadi jangan pelik jika Zara terkadang menjerit mencari telefon pintarnya lantaran tidak tahu letak dan tinggalnya di mana.
“Bayangkan, seumur hidup pakai telefon pintar, sekali pun saya tak pernah tukar ke mode dering. Tak suka dan terasa bingitnya di telinga. Apatah lagi nak pastikan telefon sentiasa di tangan.
“Kalau ada yang berkecil hati disebabkan saya unfollow, saya harap janganlah begitu ya.
“Persahabatan bukan diukur menerusi media sosial,”katanya. – Pancaindera










