Bunga dan Tembok adalah puisi malar segar yang ditulis penyajak dan aktivis Indonesia, Wiji Thukul. Puisi ini dijadikan lagu oleh anak Wiji, Fajar Merah.
Buat anda yang tidak tahu, sebelum demonstrasi besar-besaran menolak Undang-undang Omnibus di Indonesia berlangsung baru-baru ini, protes di Indonesia pernah berlangsung rancak lebih setahun lalu.
Ketika giat berdemonstrasi menolak undang-undang berkaitan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Oktober tahun lalu, mahasiswa Universitas Islam Negeri Jakarta (UIN Syarif Hidayatullah) menganjurkan acara Tangsel Memanggil buat meredakan ketegangan melalui persembahan kesenian.
Dalam acara itu, Cholil Mahmud dari Efek Rumah Kaca menyanyikan lagu Bunga Dan Tembok. Beberapa peserta menitiskan air mata.
Seumpama bunga, kami adalah yang tak kau hendaki tumbuh
Seumpama bunga, kami adalah yang tak kau hendaki adanya
Rakyat selalu menjadi peredam keraian ahli politik.
Gerakan Rakyat Sabah (GRS) sepatutnya meraikan kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu. Namun, usai memenanginya, mereka dihujani caci maki rakyat kerana peningkatan mendadak kes Covid-19.
Ahli politik dimarahi kerana ‘dituduh’ sebagai pembawa virus. Rakyat marah kerana mereka tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) dan tidak kuarantin diri selepas pulang dari Sabah. Mengapa rakyat menjadi peredam keraian ahli politik?
Kau lebih suka membangun rumah, merampas tanah
Kau lebih suka membangun jalan raya, membangun pagar besi
Sampai bila rakyat akan menjadi penghalang aspirasi ahli politik? Dalam kekalutan pandemik, kita tidak lupa pada pelan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menambak kawasan pantai di selatan Pulau Pinang.
Kawasan itu mahu di tambak untuk membina tiga pulau buatan. Di atas pulau itu nanti, mahu didirikan bangunan-bangunan serba canggih dan mahal. Kerjanya akan bermula pada suku pertama tahun hadapan.
Namun, mengapa para nelayan mahu gagalkan usaha kerajaan ini? Tahun lalu, nelayan-nelayan ini sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk berdemonstrasi di pekarangan Parlimen. Mengapa begitu gigih?
Seumpama bunga, kami adalah yang tak kau hendaki tumbuh
Seumpama bunga, kamilah yang rontok di bumi kami sendiri
Mungkin dalam imaginasi utopia ahli politik, rakyat tak patut ada. Namun, itu tidak logik. Siapa mahu undi mereka nanti?
Maka, khayalan yang lebih logik adalah rakyat ini semuanya bodoh-bodoh belaka dan akan menurut semua kata ahli politik. Ini syurga buat ahli politik. Semua impiannya akan termakbul kerana rakyat tanpa otak tidak akan menghalang aspirasi mereka.
Bayangkan dalam isu kerajaan sebuah negeri beli kereta mewah ketika rakyat menderita, seorang menteri tidak kuarantin diri selepas pulang dari Turki atau krisis air yang tidak sudah-sudah, rakyat semuanya bodoh dan bungkam belaka. Bukankah seronok menjadi ahli politik dalam situasi begini?
Jika kami bunga, engkaulah tembok itu
Telah kami sebar biji-biji di tubuhmu
Suatu saat kami akan tumbuh bersama dengan keyakinan
Saya mewakili seluruh rakyat mahu memohon maaf kepada ahli politik. Jika impian kamu untuk melihat kami diam, itu terpaksa dikuburkan.
Kami akan terus ada dan bersuara. Satu langkah kamu cuba membungkam kami, 10 langkah kami mara untuk meredam impian kotor kamu.
Kami juga akan terus lahir dan melekat di tubuh kamu, menjadi rantai yang membelenggu tangan kamu dari terus merobek kesejahteraan negara.
Kami akan terus mencaci jika kamu masih kebulur kuasa sehingga menolak kepentingan kami ke sisi.
Kami akan terus berdemonstrasi dengan apa saja cara jika kamu terus membaling pasir dalam periuk nasi kami.
Kau harus hancur
Kau harus hancur
Kau harus hancur
Kau harus hancur
Kami mungkin bukan siapa-siapa, tapi kami ada kekuatan tersendiri. Kami mungkin tiada kebolehan mengubah undang-undang jadi perisai pelindung diri. Kamu mungkin ada ilmu kebal itu, ditikam kanun tak mati.
Namun, kami ini rakyat. Kami pelindung negara ini dari kerosakan yang kamu mahu bawa. Biarlah dengan apa cara sekalipun, suara kami akan terus bergema.
Kau harus hancur…
Jadi, berbalik kepada soalan tadi: sampai bila rakyat mahu jadi batu penghalang aspirasi ahli politik? Jawapannya: selagi bunga terus tumbuh di tubuh tembok – sampai bila-bila.
PENULIS ialah wartawan Mingguan Malaysia
MINDA AHAD, MINGGUAN MALAYSIA










