Sokong kepemimpinan tulus - Adi Putra - Utusan Malaysia

Sokong kepemimpinan tulus – Adi Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK berselindung menyatakan sokongannya kepada sebuah parti politik sejak beberapa tahun lalu, kala ini bukan mengejutkan jika ada yang mempersoalkan niat sebenar pelakon popular ini.

Malah terbaharu muncul pula dakwaan dirinya juga ditaja seseorang yang berpengaruh dalam bidang politik. Lebih menimbulkan tanda tanya bagaimana hubungan baik itu juga kononnya membolehkan dia kini menikmati kehidupan selesa.

Tidak mengelak untuk menjawab kedudukan sebenar, bagi Datuk Adi Putra sebagai seorang rakyat Malaysia, dia juga mempunyai hak yang sama. Tambahnya, apa yang dilakukan ini adalah cara untuk mempamerkan kesungguhan dalam menzahirkan apa yang diperjuangkan selama ini.

“Saya nafikan dakwaan ditaja itu. Apa yang saya buat selama ini tiada kena mengena langsung dengan beliau. Hubungan saya dengan beliau sudah bermula dalam agak lama. Ukhuwah terjalin itu bukan berdasarkan pangkat. Cuma saya tidak salahkan pengguna laman sosial yang hanya percaya apa yang mereka lihat.

“Saya pula bukan orang yang aktif dalam media sosial, jadi tuduhan tidak berasas ini tidak memberi kesan kepada saya,” kata pelakon kelahiran Singapura ini.

Mengakui tertarik dengan kepemimpinan yang menjadi asas hubungan dirinya dan ahli politik itu, tambah Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, dia sentiasa menghormati mereka yang mempunyai pandangan yang utuh dalam konteks kemakmuran negara.

“Saya menghormati dirinya sebagai pemimpin. Malah jika beliau tidak lagi berada di tampuk yang sama, saya tetap bersamanya. ini prinsip yang saya tekankan.

“Apabila gambar saya tersebar ketika berkempen di Sabah baru-baru ini, ramai mengecam. Tetapi mereka perlu tahu apa yang saya lakukan ini bukan baru. Saya sudah bersama Barisan Nasional sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi.

“Mengapa saya memilih untuk terus mendokong kepimpinan beliau ketika ini adalah kerana sikap tanggungjawab yang ditunjukkan sepanjang perubahan suasana politik di negara ini. Saya juga melihat dari sudut istiqamah beliau yang masih bertahan walaupun menerima pelbagai tekanan ,” kata pelakon berusia 39 tahun ini.

Turut diajukan soalan sama ada apa yang dimulakan ini sebagai langkah awal untuk berada dalam arena politik, ternyata jawapan yang diberikan pelakon KL Gangster ini cukup jujur. Jelasnya, tidak pernah timbul rasa untuk bergelar seorang ahli politik.

“Saya cukup selesa dengan kerjaya pelakon dan pemilik syarikat agensi pelancongan. Tidak semestinya menjadi ahli kepada sesebuah parti politik membuatkan niat saya terarah ke situ.” ujarnya yang juga pemilik agensi pelancongan Hadid Travel & Tours Sdn. Bhd.

Pengundi sah

Tahu ada masih mempertikaikan status dirinya sebagai warganegara, buat masa ini bukan keperluan untuk Adi sendiri berkongsi secara terperinci soal berkenaan. Memendekkan bicara, kata pelakon hebat ini, secara jelas dia kini mewakili satu undi dalam PRU akan datang.

“Saya sudah membuang undi sejak PRU lalu, sudah termaktub dengan jelas itu adalah kewajipan sebagai rakyat Malaysia. Cuma saya tidak kongsikan secara terperinci apa yang dilalui untuk memohon.

“Saya juga tidak mahu perkara ini menjadi bahan untuk pihak tidak bertanggungjawab di luar sana. Cuma apa yang boleh dikatakan, saya mengikut prosedur yang betul selain mempunyai dokumentasi yang sah,” katanya yang kini bahagia melayari perkahwinan dengan Datin Zuhaida Yusof sejak 16 tahun lalu.

Menjadi antara wajah sinonim Barisan Nasional, di lokasi berkempen ketika ini, tiada apa yang mahu diselindungkan dirinya lagi. Jelasnya , setiap perkongsian yang dilakukan dalam setiap ceramah adalah tulus dalam mengelakkan rakyat terus keliru.

“Sebagai orang yang pernah melalui sistem pemerintahan di negara yang berbeza, jadi harapan saya hanya satu untuk rakyat tidak lagi keliru. Saya hanya sebagai orang perantara yang berkongsi pengalaman dan pandangan.

“Fokus sokongan saya tidak terbatas kepada mental tetapi secara fizikal juga, itu yang ditunjukkan kepada perjuangan parti,”katanya lagi. –  Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN