
BAK perumpamaan Melayu, burung terbang dipipiskan lada.
Belum tahu lagi kemungkinan sahihnya sesuatu hal, persiapan untuk menjawat jawatan Perdana Menteri sudah pun dibuat.
Adakah esok, Selasa 13 Oktober, peluang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyandang jawatan Perdana Menteri kesembilan yang bermain di gelanggang telah diuar-uarkan secara berlebih-lebihan?
Walaupun baginda Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah kuasa nasihat dalam hal-hal semacam ini, baginda dipercayai memiliki residual power. Ertinya, baginda boleh untuk tidak menandatangani perjawatan pelantikan Perdana Menteri. Itu kuasa baginda.
Maka sekali lagi yang bermain di fikiran rakyat, adakah perebutan jawatan Perdana Menteri mencerminkan ‘lahapnya selera mana-mana politikus?’ Padahal pimpinan kerajaan hari ini dilihat semakin meningkat dari segi menentukan kebajikan, kestabilan dan arah tuju kerajaan yang lebih bertanggungjawab?
Daripada tinjauan peribadi rambang saya, orang UMNO mengatakan, dakwaan sesiapa yang memiliki ‘nombor’ waktu ini hanyalah sekadar ‘pm tepi’. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menyebut ‘gebang lebih’. Dan sebilangan penganalisis politik percaya, ‘ini semua game orang itu.’ Hanya PKR solid ‘mengesahkan dia ada nombor.’
Ada menyatakan kepada saya bahawa perebutan menjadi Perdana Menteri tidak kena buat masa ini. Dalam musim anti Covid-19, masyarakat terhimpit. Dalam pemikiran masyarakat tidak timbul soal siapa jadi Perdana Menteri kerana Perdana Menteri sudah ada. Tinggal lagi hendak beri markah kepada Perdana Menteri boleh, tetapi ‘menggantikan’ Perdana Menteri, itu sudah jadi isu lain.
Kalau hendak digantikan sekarang, kata mereka, bukti kukuh mesti dibuat. Anwar kata cukup bilangan ahli Parlimen menyokongnya, adakah elok ia disimpan dulu? Apabila reda Covid-19, bolehlah dipersembahkan kepada Tuanku. Sementara itu, tolonglah dulu rakyat. Misalnya, bagaimana PKR boleh membantu usaha-usaha berkisar antikemiskinan, antikesihatan mudarat serta antigerakan yang memecahbelahkan masyarakat. Cari jalan ini dulu.
Apabila Anwar menyatakan nama tertentu ada dalam senarainya tetapi orang itu sendiri menafikan, sudah jadi macam mana perkiraannya itu? Seperti mana Datuk Seri Bung Moktar Radin telah melaporkan, beliau tak tahu menahu, tapi namanya konon masuk senarai. Ada lima, enam orang lagi. Sudah tentu ini tidak beberapa baik.
Pada hemat saya, bukanlah tugas diraja untuk melihat akuan bersumpah (Statutory Declaration atau SD) ahli Parlimen masing-masing. Ini bukan masanya. Pendekatan Anwar barangkali tidak dapat kita hargai di perenggan ini.
Sebab itu ada yang mohon beliau bersabar menggunakan modul atau pendekatan demokratik yang ada pada Parlimen. Ia paling sesuai disebabkan nas besar menentukan kepercayaan atau tidak terhadap sesuatu kerajaan khususnya Perdana Menteri atau ketua menteri adalah di lantai Parlimen.
Dan buat orang tertentu yang sedikit sebanyak mengkaji berhubung modul kepercayaan demokrasi – soal siapa layak sebagai Perdana Menteri masih di Parlimen.
Namun, bagi pihak diraja khasnya Tuanku Yang di-Pertuan Agong dipercayai boleh menggunakan mekanisme soal siasat itu. Namun, tidak semuktamad seperti yang ada di lantai Parlimen.
Justeru, jika Anwar gentleman, itulah yang paling baik digunakan. Sama ada Yang Dipertua Dewan Rakyat bersetuju dengan usul, itu soal lain. Tetapi ia mesti diuji di sana dengan berkesan.
Di istana, ada pengamal undang-undang menyatakan kepada saya, “itu hanya satu pendekatan yang tidak konvensional mengikut Perlembagaan.” Ini khususnya merujuk kepada kes yang bernama Stephen Kalong Ningkan (1966). Tetapi mahu menggunakan modul lain pun boleh, cuma yang lebih berwibawa (authoritative) ialah di Parlimen.
Usul tak percaya pun bergantung kepada peraturan-peraturan mesyuarat atau standing orders. Kalau di Dewan Negara, 17. Ia mesti diuji untuk dikemukakan usul tersebut. Dan tidak sekadar menyatakan, “saya cukup bilangan tetapi tidak nyatakan bilangan itu.”
Lebih teratur adalah menerusi usul tidak percaya. Cuma sama ada berjaya atau tidak Anwar apungkan usul itu, ia soal lain. Kalau hanya bawa hal ini kepada Agong, Seri Paduka berhak pula membandingkannya dengan penyandang Perdana Menteri. Iaitu, Perdana Menteri berhak pula bandingkannya di bawah Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan supaya boleh menentukan sikap subjektifnya, bukan sikap objektifnya. Sikap subjektifnya adalah Agong boleh menguatkuasakan di bawah Perkara 43.
Ya, barangkali kebanyakan orang akan fikir bahawa “oh! bila sudah diumumkan ramai ahli Parlimen menyokong, terus seseorang itu boleh diangkat sebagai Perdana Menteri.” Bukan begitu kerana tidak semestinya Agong bersetuju dengan apa yang dicakapkan kerana ia terserah kepada keputusan raja.
Sebab itulah ada kuasa timbang dan imbang pada raja. Adakah sidang akhbar Anwar tempoh hari bahawa beliau memiliki nombor adalah suatu pertunjukan galeri sebab ia tidak menunjukkan satu pembuktian Perlembagaan? Wallahualam.
Tarikh pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini barangkali agak terlalu lambat untuk orang itu yang memilih esok untuk ‘diletuskan.’ Sama ada benar-benar berlaku, tunggu dan lihat sahaja.
‘Buaian’ 11 kali
Salah satu topik hangat diperkatakan sampai ke hari ini adalah mengapa Anwar tidak diangkat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Mengapa?
Ada beranggapan Anwar sendiri sudah salah kira. Sepatutnya pada Julai 2018 lagi beliau sudah boleh buat perkiraan. Entah macam mana agaknya, Anwar terlena dengan hayunan Dr. Mahathir.
“Jangan gaduh, akan dapat itu. Kita dah buat keputusan, saya akan serahkan kuasa. I will transfer the power to you.”
‘Buaian’ itu kalau tidak silap, sudah 11 kali dan ramai maklum Dr. Mahathir tidak akan beri kuasa Perdana Menteri kepada Anwar secara normal. Kalau begitu, kenapa Anwar tidak terasa?
Dengan kebijaksanaan yang meluas dengan perjuangan begitu hebat, retorika yang berapi, tidak dapatkah mengesan? Dikira harus dikesan tetapi Anwar tidak mengesannya, kenapa?
Bahkan, ada beberapa ketika Pakatan Harapan (PH) dalam ‘kerajaan 22 bulan’ yang turut dianggotai DAP waktu itu boleh memaksa Dr. Mahathir tetapi tidak nampak kenapa itu tidak boleh dilakukan. Pada 2019, Presidential Council telah bermesyuarat malah di situ telah dibayangkan yang Dr. Mahathir kena turun, namun tiba-tiba Anwar sendiri melembutkan diri hingga tidak lagi meneruskan tuntutannya.
Justeru, ini teka-teki yang sangat besar. Tapi kita orang Melayu, orang Islam mengatakan itu bukan rezeki Anwar.
Seperkara lagi yang terdetik dalam fikiran kita, bukankah pada malam 9 Mei 2018 semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah waktu terbaik untuk Anwar menjadi Perdana Menteri kerana PKR memiliki kerusi Parlimen terbesar (49) dalam PH? Waktu itu pun kerusi Bersatu masih kecil bilangannya (13) bila menang pilihan raya. Maka sepatutnya Presiden PKR ketika itu yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terus sahaja menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ya, sepatutnya itu tindakan Wan Azizah. Tetapi kenapa Wan Azizah tidak berbuat begitu?
Ketidakpercayaan Dr. Mahathir terhadap Anwar, hanya Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu sahajalah yang tahu.
Krisis 1966
Tan Sri Stephen Kalong Ningkan (20 Ogos 1920-31 Mac 1997) merupakan Ketua Menteri Sarawak yang pertama (22 Julai 1963-September 1966) sebelum pembentukan Malaysia pada 16
September 1963. Beliau menang besar dalam pilihan raya 1962 dan membolehkannya dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak pertama oleh Gabenor Sarawak British, Sir Alexander Waddell yang berprinsipkan Perlembagaan Sarawak 1941.
Pada 1963, jajahan-jajahan Britain di Asia Tenggara iaitu Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung untuk membentuk Malaysia.
Sekitar 1965, pentadbiran Sarawak diterajui Ningkan tidak putus-putus menghadapi masalah. Walaupun krisis undang-undang tanah telah pun selesai, namun timbul pula masalah yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu.
Isu pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga menimbulkan perasaan tidak puas hati pemimpin kerajaan Pusat terhadap Ningkan terutamanya Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.
Isu-isu ini telah membawa krisis pada 1966 di mana pemimpin Melayu dari Barisan Rakyat Jati Sarawak atau Sarawak Native People’s Front (Barjasa), Abdul Taib Mahmud berjaya mempengaruhi ahli-ahli majlis negeri untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
Abdul Taib berjaya mendapat tandatangan dan sokongan daripada 21 orang ahli majlis negeri menyokong cadangan menjatuhkan Ningkan. Mereka menandatangani surat tidak percaya terhadap pentadbiran Ningkan.
Kumpulan yang menandatangani surat tidak percaya yang terdiri daripada 21 orang pergi ke Kuala Lumpur berjumpa dengan Tunku. Dan Tunku pada masa sama tidak berapa suka dengan Ningkan kerana beberapa isu dan tiada pandangan yang baik terhadap corak pentadbirannya.
Akhirnya, kumpulan itu meminta Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Haji Openg untuk memecat Ningkan sebagai ketua menteri. Yang Dipertua Negeri menemui 21 orang ahli majlis negeri tadi dan akhirnya beliau meminta nasihat peguam negara dan menggulingkan Ningkan yang dipecat daripada jawatannya.
Kerajaan Pusat mengambil keputusan untuk meminta Yang di-Pertuan Agong mengumumkan pindaan Perlembagaan Sarawak yang membolehkan Yang Dipertua Negeri bersidang, kemudian mempunyai kuasa memecat ketua negeri.
Tunku tidak berdiam diri, beliau mahu Ningkan disingkirkan daripada terus menjadi Ketua Menteri Sarawak. Beliau mengambil tindakan dengan menggunakan kuasa yang ada padanya dengan mengarahkan Gabenor Sarawak melucutkan jawatan Ningkan dengan merujuk Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Maka akhirnya hasrat Tunku untuk menyingkirkan Ningkan daripada Kabinet kerajaan negeri Sarawak berjaya. Ningkan kemudian membawa parti SNAP keluar daripada parti perikatan Sarawak.
Jawatan ketua menteri digantikan oleh Penghulu Tawi Sli yang juga seorang Dayak berketurunan Iban, mengantikan jawatan ketua menteri sementara sebelum pilihan raya iaitu pada 17 Jun 1966.
Namun, Ningkan tidak puas hati. Beliau membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi Borneo. Dalam perbicaraan tersebut, mahkamah memutuskan tindakan Gabenor Sarawak tidak sah di sisi undang-undang kerana gabenor bertindak di luar kuasanya. Dalam masalah tersebut, Yang Dipertua Negeri Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk memecat ketua menteri.
Seterusnya perbicaraan diadakan dan akhirnya Ningkan dilantik semula menjadi ketua menteri. Setelah dilantik menjadi ketua menteri semula, Ningkan meminta supaya kemasukan Sarawak ke dalam Malaysia dikaji semula. Beliau juga meminta pilihan raya diadakan sekali lagi di Sarawak supaya rakyat dapat menentukan kedudukannya.
Kesan daripada tindakan tersebut telah menyebabkan kerajaan Pusat yang diterajui Tunku berasa tercabar serta tidak puas hati. Sehinggakan darurat diisytihar di Sarawak pada 15 Ogos oleh Yang di-Pertuan Agong atas alasan kerajaan Ningkan mendapat sokongan SUPP yang sering dikaitkan dengan komunis yang mengancam keselamatan Sarawak. Pengisytiharan darurat di
Sarawak itu menyebabkan pilihan raya 1968 ditangguhkan. Kemudian Perlembagaan Negeri Sarawak dipinda dengan memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak untuk memecat ketua menteri.
Dengan pemecatan kali ini, Ningkan tidak dapat mengembalikan kedudukannya. Pada 1966, Stephen dipecat daripada jawatannya sebagai ketua menteri dan Tawi Sli dilantik sekali lagi menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kedua (23 September 1966-7 Julai 1970). – UTUSAN










