KUALA LUMPUR: Selepas pendedahan Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai rintihan peneroka berhubung isu penyata dan pemotongan bayaran hasil, Felda tampil memohon maaf.
Felda menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya turut mengakui kesilapan terbabit yang melibatkan masalah teknikal pada potongan kos operasi ladang bagi penyata pendapatan bulan Ogos.
Katanya, kesilapan ini adalah disebabkan usaha dalam mengautomasikan pemindahan data daripada Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTPSB) ke dalam sistem pembayaran hasil Felda yang disatukan dan dilaksanakan sejak bulan April lalu.
“Objektif penyatuan ini untuk meningkatkan kecekapan operasi namun kesilapan pada peringkat awal ini tidak dapat dielakkan memandangkan bilangan data yang terlalu besar.
“Sehubungan itu, bagi sejumlah peneroka yang terlibat, pelarasan akan dibuat dengan mengambil kira kos operasi yang lebih tepat seperti potongan baja, kos buruh dan kos bahan. Felda akan membuat pelarasan dan membayar kembali perbezaan jumlah bayaran kepada peneroka terlibat menerusi bayaran hasil pada Oktober,” katanya semalam.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan terdapat sebahagian peneroka Felda berdepan pemotongan hasil bayaran tanpa ada butiran terperinci serta pemotongan melibatkan jumlah upah RM1,000 dan ke bawah.
Malah, apa yang menyedihkan ada peneroka menerima bayaran sebanyak hanya RM50 sebaik hasil sawit atau getah dijual.
Dalam pada itu, Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh, dalam satu kenyataan sama berkata, pihaknya memandang berat isu yang ditimbulkan dan sentiasa meletakkan keutamaan memastikan pendapatan peneroka lebih mampan.
Justeru, untuk memastikan pendapatan bersih peneroka tidak terlalu rendah, Felda sedang mengkaji dan menambah baik dasar pendapatan minima yang kini hanya berdasarkan pendapatan kasar peneroka.
“Pemindahan data FTPSB juga akan mula dilaksanakan secara automasi penuh bermula bulan Januari 2021 dan akan mengurangkan kesilapan teknikal pada pengendalian data.
“Felda juga kini berada di landasan yang tepat dalam usaha pemulihan termasuk memuktamadkan penyata hutang peneroka. Kita meletakkan fokus menambah baik operasi ladang untuk memastikan produktiviti ladang ‘Page 2 of 3’ peneroka yang lebih tinggi dan kos operasi yang lebih rendah.
“Selain itu, kita juga sedang giat melaksanakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) untuk mempelbagaikan sumber pendapatan selain mengurangkan pergantungan kepada hasil komoditi sawit dan getah,” jelasnya.










